AntarabangsaIsu Semasa

China Telah Tangkap 13,000 ‘Pengganas’ Di Xinjiang Sejak Tahun 2014?

Kerajaan China baru-baru ini mendedahkan bahawa pihak berkuasa di negara itu telah menahan hampir 13,000 ‘pengganas’ di wilayah Xinjiang sejak tahun 2014.

Pendedahan itu terkandung di dalam kertas putih China yang sekali lagi mempertahankan langkah-langkah anti-keganasan berkontroversi yang dilaksanakan di sana.

Walau bagaimanapun, negara gergasi Asia tersebut telah menerima kritikan hebat daripada masyarakat antarabangsa kerana langkah ‘anti-keganasan’ mereka didakwa bertujuan untuk menindas etnik minoriti Islam Uighur.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) turut menyifatkan kem pendidikan yang menempatkan hampir 1 juta Uighur itu sebagai ‘pusat tahanan’, walaupun Beijing tegas dengan pendirian mereka bahawa pusat tersebut adalah ‘kem pendidikan’.

Menurut dokumen berkenaan, pihak berkuasa Xinjiang telah:

1. Menghapuskan 1,588 kumpulan pengganas

2. Menahan 12,995 anggota pengganas

3. Merampas 2,052 bahan letupan

4. Menghukum 30,645 pesalah atas kesalahan melakukan aktiviti keagamaan secara haram

5. Merampas 345,229 salinan bahan keagamaan yang tidak sah

Jelas dokumen itu lagi, hanya segelintir kecil pesalah sahaja seperti ketua kumpulan pengganas yang telah dikenakan hukuman berat, manakala mereka yang dipengaruhi dengan pemikiran ekstremis menerima pendidikan dan menjalani latihan agar ‘kembali ke pangkal jalan.’

Tetapi, kumpulan tertindas, World Uyghur Congress sekeras-kerasnya mengecam dokumen yang diterbitkan oleh kerajaan China itu.

“China dengan sengaja memutar belitkan kebenaran. Anti-keganasan adalah alasan politik yang digunakan (oleh kerajaan) untuk menindas Uighur.

“Matlamat sebenar ‘deradikalisasi’ mereka adalah untuk menghapuskan kepercayaan keagamaan dan menyebarkan budaya China,” kata jurucakap, Dilxat Raxit dalam satu kenyataan yang dihantar menerusi e-mel.

Sementara itu, kertas putih tersebut berkata bahawa Xinjiang telah mengharungi cabaran khusus sejak tragedi 9/11 di Amerika Syarikat (AS), kerana puak pelampau Turkistan Timur meningkatkan kegiatan keganasan di China.

“Mereka melaungkan kata-kata jahat tentang ‘memasuki syurga dengan mati syahid menerusi jihad’, dan ini mengubah sesetengah orang menjadi pelampau dan pengganas yang dikawal pemikirannya, malah menjadi pembunuh kejam,” kata dokumen tersebut.

Difahamkan, Turki adalah satu-satunya negara yang secara aktif meluahkan kebimbangan dan mengkritik keadaan di Xinjiang memandangkan negara itu mempunyai hubungan budaya yang rapat bersama Uighur, yang bertutur dalam bahasa Turkic.

Namun, China sebaliknya mengecam ‘kebimbangan’ Turki dan menyifatkannya sebagai tindakan yang “tidak wajar dan campur tangan” dalam hal ehwal mereka.

Sebelum ini, China telah meluluskan satu undang-undang baru untuk mengubah cara agama Islam diamalkan di sana dalam tempoh lima tahun akan datang.

Beijing dilaporkan berhasrat untuk menjadikan Islam lebih sesuai dengan sosialisme dan akan mengisi elemen-elemen China dalam agama tersebut.

Kebebasan agama juga dikatakan semakin disekat di bawah pemerintahan Presiden Xi Jinping, pemimpin China yang paling berkuasa sejak Mao Zedong.

Sumber: NST – Reuters

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button