Antarabangsa

Kisah Hidupnya Membuat Kami Semua Menitiskan Air Mata..

Pada hari terakhir kami di Manila, Filipina bersama rombongan MyHarapan, setelah sarapan pagi kami dikunjungi oleh pelopor sebuah organisasi yang banyak membantu anak gelandangan sejak tahun 1987 bernama Bahay Tuluyan.

Mereka ini juga yang mengelolakan tempat penginapan kami iaitu Makabata Guesthouse. Semua yang bekerja di Makabata Guesthouse ialah anak didikan dari Bahay Tuluyan.

Pagi itu merupakan perkongsian di antara Bahay Tuluyan, pemenang dari sebuah program MyHarapan dan Mara Salvacion, CEO Mabuhay Restop.

Mara membuka tirai perkongsian dengan bagaimana beliau dari anak komuniti miskin di Manila yang juga dikenali sebagai ‘slumps’ di Smokey Mountain boleh berjaya menggelar dirinya CEO kepada sebuah syarikat.

Keinginan Mara untuk berkongsi cerita dengan kita dan anak didikan Bahay Tuluyan ialah supaya mereka tidak berhenti untuk bercita-cita tinggi.

Kisah Mara pada pagi itu memang menyentuh hati kita semua sehingga menitiskan air mata terharu.

Mara berkata dia bernasib baik kerana memiliki sebuah keluarga yang penyayang. Keluarga Mara berasal dari sebuah daerah luar dari Manila.

Bapanya merupakan seorang usahawan menjual arang mereka hidup selesa tetapi kerana kawasan perumahannya itu sering dilanda banjir dan ribut taufan, mereka sekeluarga mahu pindah untuk keselesaan.

Seorang kenalan bapanya yang berasal dari kampung yang sama telah mencadangkan mereka sekeluarga pindah ke Manila dan menawarkan tanah kepadanya.

Bapa Mara yang percaya dengan kenalan kampungnya itu pun menjual rumahnya di kampung dan berpindah ke Manila. Mereka tidak pernah terfikir “tanah” yang dijual kepada mereka sekeluarga ialah sekeping tanah kecil di kawasan pembuangan sampah yang lebih dikenali Smokey Mountain.

Kami sempat melawat Smokey Mountain
Smokey Mountain pernah menjadi tempat pembuangan sampah kota Manila satu ketika dahulu

Mereka terpaksa tinggal di situ dan membesar di kawasan kumuh tetapi masih gembira kerana dapat tinggal sekeluarga dengan rasa kasih sayang.

Namun keadaan semakin susah untuk keluarga mereka kerana kerajaan Filipina mengharamkan penggunaan arang dan mereka telah hilang sumber rezeki mereka. Ayah Mara terpaksa melakukan kerja buruh dan kerja-kerja lain untuk menampung kehidupan di bandar Manila dan supaya anak-anaknya boleh ke sekolah.

Mara berniat di dalam hatinya untuk berusaha mengembalikan kehidupan selesa keluarganya dan membalas jasa ibubapanya. Mara juga mahu melihat komunitinya di Smokey Mountain untuk berdikari dan tidak dipandang rendah oleh orang luar.

Mara mengikuti sukarelawan Gawad Kalinga dan menjadi ketua dikawasannya pada usia muda. Kepimpinan Mara telah dilihat oleh Rose Cabrera, pengasas Mabuhay Restop dan menawarkan Mara untuk bekerja dengannya.

Mara telah menunjukkan kesungguhannya dengan niat mahu menyekolahkan adik-adiknya sehingga memasuki universiti kini dilantik menjadi CEO Mabuhay Restop, sebuah perniagaan sosial agensi pelancongan dan kafe yang menyajikan pengalaman menziarahi tempat-tempat di Filipina.

Kelihatan diraut wajah anak muda Bahay Tuluyan yang kerja di Makabata Guesthouse sungguh terinspirasi dengan kisahnya dan seperti mendapat semangat baharu untuk meneruskan impian masing-masing.

____

*Ikuti lagi perjalanan kami bersama myHarapan menelusuri perniagaan sosial di Manila, Filipina pada rencana seterusnya

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button