AntarabangsaIsu Semasa

Isu Kekurangan Pekerjaan Akan ‘Menghantui’ PM India Menjelang Pilihan Raya

Ikrar untuk memodenkan India dan mewujudkan peluang pekerjaan bagi sejuta golongan muda yang dianggarkan memasuki pasaran buruh setiap bulan merupakan salah satu faktor yang membawa kepada kemenangan Perdana Menteri India, Narendra Modi dalam Pilihan Raya Umum negara itu pada tahun 2014.

Namun kini sudah memasuki tahun ke lima pemerintahannya, janji itu dilihat gagal ditunaikan dengan baik dan dilihat akan menjadi isu utama bagi pengundi menjelang Pilihan Raya Umum pada tahun ini.

Salah seorang individu yang terkesan adalah Vishal Chowdhary. Chowdary, 27, merupakan seorang pemuda yang bijak dan mempunyai kelulusan Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA), namun dia masih mengalami kesukaran untuk mendapatkan pekerjaan.

“Saya menghadiri 50 temuduga pekerjaan pada tahun lepas, namun tidak berjaya,” katanya.

Menjadi semakin terdesak hari demi hari, Chowdary menjadi salah seorang daripada 23,000 pemohon bagi lima pekerjaan di bawah sektor awam sebagai “peon” atau “budak pejabat”, yang ditugaskan bagi kerja-kerja seperti membuat teh dan fotostat dokumen, dan ia dilihat jauh lebih rendah berbanding kelayakan yang dimilikinya.

Difahamkan, 65% rakyat India berusia 35 tahun ke bawah, dan pertumbuhan ekonomi sejak kebelakangan ini berada pada paras bawah 8% yang dilihat penting untuk mewujudkan peluang pekerjaan yang cukup.

Malah, terdapat laporan yang diterbitkan oleh sebuah akhbar tempatan, yang menyatakan kadar pengangguran di bawah pentadbiran Modi berada pada tahap tertinggi sejak tahun 1970an.

Rahul Gandhi, ketua pembangkang daripada parti Kongres, turut menyelar Modi kerana mencetuskan “bencana kebangsaan.”

Dalam pada itu, hampir separuh tenaga kerja di sana adalah dalam bidang pertanian, dan walaupun pekerja-pekerja beralih kepada sektor perkilangan dan perkhidmatan susulan modernisasi ekonomi, kadarnya masih perlahan berbanding negara-negara lain di Asia.

Sektor-sektor ini juga dikatakan tidak mewujudkan peluang pekerjaan yang cukup, ditambah pula dengan undang-undang buruh yang ketat dan kekurangan pelaburan dalam latihan kemahiran, menurut Organisation for Economic Co-operation and Development (OECD).

Seorang profesor di Jawaharlal Nehru University, Santosh Mehrotra berkata, satu lagi faktor yang menjadi punca kekurangan pekerjaan adalah kejatuhan pelaburan swasta, sekali gus menyebabkan kewujudan pekerjaan yang “amat sedikit” dalam sektor swasta.

Jelas Mehrotra, kekurangan pelaburan sebahagiannya disebabkan oleh “krisis besar” yang membabitkan hutang jahat di bank-bank India yang dimiliki oleh kerajaan.

Golongan wanita turut menjadi ‘mangsa’ dalam krisis pekerjaan yang berlaku.

Menurut Bank Dunia, kadar penglibatan wanita dalam tenaga kerja merudum daripada 38.7% pada tahun 2005 kepada 28.6% pada 2017, dan jumlah ini adalah salah satu yang terendah di dunia.

Walaupun universiti-universiti di India melahirkan sejumlah besar graduan, berlaku ketidaksepadanan dengan apa yang diperlukan dalam pasaran buruh.

Lebih memburukkan keadaan lagi, sebuah tinjauan terbaru mendapati bahawa satu daripada lapan pelajar berusia 14 tahun di kawasan pedalaman tidak boleh membaca teks ringkas, sementara 56% tidak tahu bagaimana untuk melakukan pembahagian asas dalam matematik.

Malah, terdapat juga jutaan kanak-kanak yang tidak bersekolah.

“Sektor-sektor yang berkembang adalah perkhidmatan moden – telekomunikasi, pendidikan, kesihatan, dan perbankan. Ini memerlukan tahap pendidikan yang lebih tinggi berbanding apa yang tersedia bagi belia pada hari ini,” kata Mehrotra.

Berdasarkan pungutan suara yang dilakukan oleh portal berita India Today, pengangguran adalah isu yang terbesar bagi para pengundi.

“Pendidikan dan pekerjaan adalah topik yang amat penting bagi belia. Kerajaan telah gagal dalam kedua-dua perkara ini,” ujar S. Malik, salah seorang pelajar yang terlibat dalam satu protes di New Delhi baru-baru ini.

“Kegagalan kerajaan ini bermakna ia perlu ‘ditendang keluar’,” tambahnya lagi.

 

Sumber: The Star – AFP

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button