AntarabangsaIsu Semasa

Al-Qaeda Akan Bangkit Semula Selepas Kejatuhan Militan IS?

Jabatan Negara Amerika Syarikat (AS) baru-baru ini mendedahkan bahawa Hamza Bin Laden, anak kepada mendiang pengasas Al-Qaeda (AQ), Osama Bin Laden, adalah ‘pewaris’ yang akan memimpin kumpulan militan itu pada masa akan datang.

Malah, kerajaan AS turut menawarkan ganjaran bernilai AS$1 juta (RM4.08 juta) bagi sesiapa sahaja yang mempunyai maklumat tentang Hamza.

Walaupun Amerika telah membelanjakan wang bertrilion dolar untuk menghapuskan Al-Qaeda, kumpulan itu telah menunjukkan ketahanan yang luar biasa dan kini dilaporkan sedang bangkit semula susulan kejatuhan pengganas IS.

Difahamkan, pemimpin Al-Qaeda pada masa ini adalah Ayman al-Zawahiri, namun dia melihat Hamza sebagai pemimpin generasi yang akan datang bagi kumpulan itu.

Ketika seluruh dunia memberi fokus terhadap keruntuhan IS yang diragui, Zawahiri berusaha secara senyap untuk memastikan kebangkitan kumpulan itu apabila kepimpinan diserahkan kepada Hamza nanti.

Menurut Sajjian M. Gohel, Pengarah Keselamatan Antarabangsa di Asia-Pacific Foundation, sebuah pusat pemikir yang berpangkalan di London, Zawahiri mempunyai personaliti ‘old school’ (orang lama) dan tidak memiliki karisma seperti Osama.

Namun Gohel berkata, pemimpin AQ itu menyedari kepentingan untuk mengekalkan keutamaan dalam memberi perhatian ke atas ‘Musuh yang Jauh’ (pihak Barat), dan pada masa yang sama bertumpu kepada ‘Musuh yang Dekat’  dengan “mencari kawasan untuk menubuhkan pangkalan di seluruh dunia Islam bagi membolehkan Al-Qaeda dan sekutu-sekutunya untuk berfungsi.”

“Inilah sebabnya mengapa dia mengutamakan tindakan-tindakan yang tidak asing lagi di Arab dan dunia Islam, termasuk menentang militia Syiah yang disokong oleh Iran di Iraq,” kata Gohel menerusi penulisannya pada tahun 2017 bertajuk Perspectives on Terrorism.

Jelas beliau, Al-Qaeda juga menyokong Taliban di Afghanistan, tetapi hanya jika ada keperluan untuk berbuat demikian, dan mencabar serta menentang IS dan membantah rejim-rejim “murtad” seperti yang ada di Mesir dan Syria.

“Semua keutamaan strategik ini telah diselingi oleh al-Zawahiri dengan seruan untuk menyerang Barat dan khususnya, Amerika Syarikat,” ujar Gohel.

Sementara itu, Presiden AS, Donald Trump juga telah berkata bahawa militan IS di Syria dan Iraq telah ditewaskan “100%”.

Namun, beliau gagal menyatakan atau terlepas pandang bahawa kumpulan pengganas itu telah merebak ke lebih 20 buah negara di serata dunia.

 

Sumber: RT 

 

 

 

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker