AntarabangsaIsu SemasaPolitik

Pengaruh Politik Thaksin Masih Kuat Di Thailand. Tetapi, Adakah Golongan Muda Menyokongnya?

Bekas Perdana Menteri Thailand, Thaksin Shinawatra masih mempunyai pengaruh politik yang kuat di negara itu walaupun hidup dalam buangan sejak tahun 2008 lagi.

Parti-parti politik yang berkaitan dengannya seperti Pheu Thai, Thai Rak Thai, dan People’s Power Party juga telah memenangi setiap pilihan raya sejak 2001.

Bagaimana jutawan ini masih mempunyai cengkaman politik yang kuat di Thailand walaupun beliau sudah lama tidak berada di sana?

Sokongan rakyat terhadap Thaksin masih kuat kerana dasar-dasar yang diperkenalkan oleh beliau ketika memerintah dahulu yang dikenali sebagai “Thaksinomics.”

Difahamkan, Thaksin mula menjadi Perdana Menteri tiga tahun selepas Krisis Kewangan Asia 1998, dan beliau berjaya memulihkan ekonomi yang Thailand yang terjejas teruk pada waktu itu.

Dalam tahun pertama pemerintahannya, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Thailand menyaksikan telah meningkat kepada 6.15%.

Beliau juga memberi fokus dan menjaga kebajikan penduduk-penduduk di kawasan pedalaman yang sering dilepas pandang oleh pemimpin-pemimpin terdahulu.

Thaksin memperkenalkan pelbagai program termasuk sistem mikrokredit One Million Baht, One Village Fund Program dan 30 Baht Policy, program penjagaan kesihatan universal pertama di negara itu.

Program-program tersebut ternyata memberi manfaat besar terhadap rakyat, khususnya golongan petani di wilayah Utara dan Timur Laut negara itu, yang sehingga ke hari ini kekal sebagai penyokong besar Thaksin.

Pemimpin-pemimpin lain juga telah cuba meniru model populis Thaksin, namun tiada seorang pun daripada mereka yang berjaya sepertinya.

Walau bagaimanapun, keadaan politik yang berubah dengan pantas memberi cabaran besar kepada ahli politik veteran itu.

Perlembagaan yang telah dipinda juga memerkasakan lagi elemen-elemen konservatif dan tentera di dalam Parlimen, serta melemahkan sebarang usaha demokratik.

Namun, Thaksin masih cuba untuk melawan. Dalam satu langkah mengejut, salah satu jentera politiknya, parti Thai Raksa Chart (TRC) telah menamakan Puteri Ubolratana, iaitu kakak sulung Raja Maha Vajiralongkorn sebagai calon Perdana Menteri dalam pilihan raya umum yang akan berlangsung tidak lama lagi.

Tetapi, langkah berkontroversi itu telah dibantah oleh Vajiralongkorn sendiri memandangkan tindakan melibatkan ahli keluarga diraja dalam politik bercanggah dengan Perlembagaan negara.

Susulan itu, TRC telah dibubarkan oleh Mahkamah Perlembagaan sekali gus menghapuskan peluang parti itu untuk bertanding.

Walaupun Thaksin masih memiliki pengaruh politik yang kuat, golongan belia Thailand dilihat cenderung untuk tidak menyokongnya.

Nirada Ruang, seorang wanita berusia 24 tahun berkata, dia sememangnya menolak Perdana Menteri, Jeneral Prayuth Chan-o-Cha, tetapi pada masa yang sama tidak memberi sokongan terhadap Thaksin.

“Saya tidak akan mengundi Thaksin; sukar untuk generasi saya mengaitkannya dengan kami. Kami terlalu muda untuk memahami politik ketika beliau memegang jawatan Perdana Menteri. Saya hanya berusia 15 tahun ketika beliau dibuang negara.

“Memberi wang kepada kami tidak akan mampu meraih sokongan daripada kami. Ia tidak berkesan lagi,” kata pemilik butik di bandar Phitsanulok itu.

Sebaliknya, Nirada bertekad untuk mengundi parti baru, Future Forward Party (FFP) yang dipimpin oleh bilionair, Thanathorn Juangroongruangkit atau lebih dikenali sebagai “Ake”.

Nirada adalah salah seorang daripada tujuh juta pengundi pertama kali di Thailand – sebuah kumpulan yang mempunyai kesedaran politik yang semakin meningkat sejak pemerintahan adik perempuan Thaksin bernama Yingluck digulingkan oleh tentera pada tahun 2014.

Yingluck merupakan Perdana Menteri Thailand pada ketika itu.

Mengharungi waktu sukar yang menyaksikan pertumbuhan ekonomi rendah dan peluang yang terhad, ramai rakyat Thai kecewa dengan kegagalan Kerajaan untuk membawa perubahan substantif.

 

Bagi Nirada yang bercita-cita untuk menjadi seorang ahli farmasi, masa depan dilihat “tidak berapa cerah” dan pentadbiran kerajaan tentera akan “menerima balasan” kerana mengecewakan rakyat.

Sementara itu, FFP yang dipimpin oleh Ake dilihat berpotensi untuk menjadi parti pilihan rakyat pada zaman ini.

FFP memperjuangkan pengagihan kuasa dalam pentadbiran kerajaan dan memperkenalkan dasar-dasar yang akan menghapuskan atau mengurangkan ketidaksamarataan pendapatan, serta akan memotong bajet pertahanan yang tinggi.

Dasar-dasar populis FFP, ditambah pula dengan pembubaran TRC, mungkin akan menyebabkan ramai pengundi cenderung ke arah mengundi FFP, lebih-lebih lagi kerana Ake dan partinya membawa mesej politik yang positif.

Namun begitu, sokongan terhadap Thaksin di wilayah Utara dan Timur Laut masih kekal utuh dan parti Pheu Thai yang berkaitan dengannya mungkin akan meraih undi yang memberangsangkan juga.

Walaupun parti FFP mungkin berjaya menarik perhatian pengundi muda, Thaksin masih kekal sebagai “individu yang perlu ditewaskan.”

Sumber: The Star

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker