AntarabangsaIsu Semasa

“Golongan Pelampau Dan Rasis Melihat Saya Sebagai Ancaman”

Leila Ali Elmi merupakan Ahli Parlimen (MP) Sweden yang pertama berketurunan Somalia dan memakai hijab.

Ketika baru berusia dua tahun, beliau bersama keluarganya telah melarikan diri dari perang saudara yang berlaku di tanah air asalnya, Somalia.

Sebagai salah seorang MP parti progresif Green Party, wanita berusia 31 tahun itu menjadi suara utama bagi penduduk-penduduk di Angered, sebuah kawasan pinggiran bandar yang sudah menjadi tempat tinggal beliau selama 29 tahun.

Angered merupakan kediaman sejumlah besar populasi pendatang dan menghadapi pelbagai masalah termasuk kadar pengangguran yang tinggi, fasiliti pendidikan yang tidak berada dalam keadaan baik, kekurangan rumah, dan juga pengasingan yang berleluasa.

“Saya menentang perkauman institusi, saya memperjuangkan peluang pekerjaan yang sama rata, saya berjuang untuk memastikan wanita memperoleh peluang sama untuk berada dalam tenaga kerja, khususnya bagi wanita dalam kalangan imigran,” katanya.

Ketika pilihan raya 2018, Sweden menempuhi senario ‘parlimen tergantung’ sehinggalah Perdana Menteri , Stefan Loven yang merupakan anggota parti Demokrat Sosial, dilantik semula untuk memegang jawatan itu pada bulan Januari 2019.

Sepanjang kempen pilihan raya tersebut, pelbagai isu penting seperti penjagaan kesihatan, jenayah, imigresen, dan juga kebangkitan puak berhaluan kanan menjadi topik utama yang diperdebatkan.

Difahamkan, Sweden mempunyai dasar pelarian yang liberal. Pada tahun 2015, negara itu telah menerima kedatangan lebih daripada 160,000 pencari suaka, dan jumlah tersebut lebih banyak daripada pencari suaka yang diterima oleh mana-mana negara lain di Eropah.

Namun pada penghujung tahun itu, Lofven menyatakan bahawa Sweden perlu menghentikan buat sementara waktu pengambilan puluhan ribu pelarian yang datang ke sana.

Pada Ogos 2018, beberapa siri serangan yang membabitkan golongan muda telah menyebabkan puak Demokrat berhaluan kanan mula ‘mencampuradukkan’ atau mengaitkan isu imigresen dengan jenayah.

Perkara tersebut telah membawa kepada peningkatan sokongan terhadap Demokrat, daripada 12.9% pada 2014 kepada 17.6% pada 2018.

Patricia Rodi, seorang penyelidik di Queen Mary University London berkata:

“Demokrat Sweden telah berikrar untuk melindungi agama sivil negara yang telah lama dibangunkan oleh Demokrat Sosial dan mengembalikan konsep ‘folkehmmet’ (tempat tinggal rakyat), sambil membuat tuduhan ia diancam oleh pendatang, Islam, dan jenayah.”

Sementara itu, Elmi menjelaskan bahawa perkauman berstruktur telah membawa kepada ketidaksamarataan sosial dan kaum di Sweden.

Beliau turut menolak dakwaan populis bahawa pelarian dan pendatang “gagal untuk berintegrasi dalam masyarakat.”

“Hal ini bukan tentang kekurangan intergrasi. Ia adalah kekurangan peluang dan (peluang) untuk menjadi sebahagian daripada masyarakat.

“Apabila anda mencari pekerjaan, anda tidak akan menjadi individu pertama untuk diambil bekerja walaupun anda layak, kadang kala terlebih layak, kerana nama keluarga anda memainkan peranan penting. ‘Tahap kelayakan’ yang ditetapkan (untuk diambil kerja) lebih tinggi bagi pendatang,” ujarnya.

Sebelum menjadi MP, Elmi bekerja dalam masyarakat sivil dalam usaha mengurangkan kadar pengangguran dan membimbing individu-individu yang terdedah agar menjauhkan diri daripada ideologi-ideologi ekstrem dan jenayah.

“Saya kini menjadi ‘simbol kebencian’ bagi golongan pelampau dan rasis. Mereka melihat saya sebagai ancaman kepada apa yang patut masyarakat Sweden jadi.

“Tetapi, saya juga menjadi simbol harapan kepada orang lain, kerana saya mewakili golongan yang kurang bernasib baik. Matlamat saya adalah untuk memberi anak muda cita-cita politik, memberi inspirasi kepada mereka untuk menjadi ahli politik, bukan hanya kerana mereka berkulit hitam, pendatang, beragama Islam, atau LGBT,” jelasnya.

Mesej Elmi juga ternyata telah memberi kesan yang positif dan disambut baik oleh individu-individu dalam komunitinya.

“Apabila kita melihat seorang wanita Somalia yang mempunyai pengalaman pahit berdiri di parlimen bercakap tentang isu-isu yang membabitkan kami, maka kerana itu kami mahu mengundinya, bukan semata-mata kerana beliau adalah warga Somalia,” kata Aeni Hussein, pelajar berusia 22 tahun berketurunan Somalia-Sweden.

“Walaupun berlaku kebangkitan puak berhaluan kanan dalam kerajaan Sweden, pelantikan Leila membuatkan kami rasa seperti kami boleh melakukan sesuatu.

“Saya sebelum ini berfikir apabila kita melantik ahli politik, kita boleh berdiam diri dan melihat mereka bekerja. Tetapi, adalah amat penting untuk memahami bahawa kita sebagai rakyat, mempunyai kuasa kerana kita yang memilih mereka, dan kita boleh memastikan mereka bertanggungjawab,” tambah Aeni.

Sumber: Al-Jazeera

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker