AntarabangsaIsu Semasa

Pengganas Dedah Motif Sebenar Serangan Masjid Di New Zealand. Memang Sadis!

Hari ini, seluruh dunia dikejutkan dengan insiden tembakan rambang yang berlaku ketika solat Jumaat di dua buah masjid di bandar Christchurch, New Zealand.

Insiden tersebut telah meragut nyawa sekurang-kurangnya 40 orang manakala terdapat ramai mangsa lain yang mengalami kecederaan, termasuk seorang rakyat Malaysia bernama Mohd Tarmizi Shuib yang kini sedang menerima rawatan di Hospital Christchurch.

“Kita dimaklumkan oleh isteri mangsa bahawa beliau sedang dirawat di Hospital Christchurch tetapi kita tidak tahu buat masa ini keadaannya lagi.

“Pihak berkuasa telah mengeluarkan perintah berkurung dan buat masa ini kita hanya dapat bergantung kepada maklumat daripada pihak berkuasa,” kata Setiausaha Kedua di Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Wellington, Muhammad Azhari Azmi, memetik laporan Astro AWANI.

Setakat ini, pihak polis dilaporkan telah berjaya menahan empat orang suspek, termasuk seorang wanita.

Perdana Menteri New Zealand, Jacinda Ardern menyifatkan tragedi ini sebagai serangan pengganas dan juga menandakan salah satu “hari yang paling gelap” di negara itu.

APA MOTIF SERANGAN?

Pasti ramai orang yang tertanya-tanya, apa sebenarnya motif penyerang itu? Adakah ia kerana kebenciannya terhadap umat Islam? Atau ada sebab lain?

Difahamkan, salah seorang penyerang yang dikenal pasti sebagai warganegara Australia bernama Brenton Tarrant, telah membuat pengakuan bertulis sepanjang 74 muka surat yang diberi tajuk “The Great Replacement”, dan ia kini tersebar luas.

Lelaki berkulit putih berusia 28 tahun itu mendedahkan bahawa antara sebab utama dia melancarkan serangan adalah kerana enggan melihat peningkatan populasi orang Islam disebabkan “kadar kesuburan” mereka yang tinggi Tetapi menafikan dirinya “Islamofobik”. Sebaliknya hanya bimbang populasi Islam yang semakin berkembang dan menjadi majoriti.

“Tidak, saya tidak takut kepada Islam, cuma, disebabkan kadar kelahirannya yang tinggi, ia akan berkembang dan mendominasi orang dan kepercayaan lain,” katanya.

Tambah Brenton, dia tidak membenci orang Islam yang menetap di negara masing-masing, tetapi sebaliknya tidak menyukai “seorang lelaki atau wanita Islam yang memilih untuk menetap dan menceroboh tanah kami, dan menggantikan masyarakat kami.”

Lelaki tersebut juga amat membenci orang Islam Mualaf, kerana berpandangan bahawa mereka telah membelakangkan asal usul, budaya, dan menjadi “pengkhianat” kepada kaum mereka sendiri.

Dia juga tidak mengakui dirinya sebagai seorang xenofobik (orang yang takut kepada budaya lain), tetapi mempunyai keraguan terhadap mana-mana budaya/kaum yang mempunyai kadar kelahiran yang tinggi.

PENYERANG SOKONG DONALD TRUMP, TETAPI…

Dalam pada itu, pengganas tersebut turut menyatakan bahawa dia adalah penyokong Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, tetapi bukan sebagai seorang pemimpin dan penggubal dasar.

“Sebagai simbol identiti individu berkulit putih yang diperbaharui dan untuk matlamat bersama? Ya.

“Sebagai pemimpin dan penggubal dasar? Tidak.” katanya merujuk kepada sokongannya terhadap Trump.

Jelasnya lagi, dia bukan seorang anti-semitik (anti-yahudi) sambil menyifatkan orang yahudi yang menetap di Israel sebagai “bukan musuh,” selagi mereka tidak mempunyai niat untuk memusnahkan atau mencederakan “orang-orang saya (berkulit putih).”

Pembunuh berkenaan juga berkata, dia menyokong individu-individu yang mahukan masa depan yang cerah bagi kanak-kanak berkulit putih, dan ingin terus memastikan kewujudan orang berkulit putih.

 

TERPENGARUH DENGAN PERMAINAN VIDEO

Selain daripada mempunyai ideologi songsangnya yang tersendiri, Tarrant turut mengakui dia terpengaruh dengan elemen-elemen ganas yang terkandung dalam permainan video.

Antaranya ialah “Spyro The Dragon 3” dan permainan popular “Fortnite”.

“Ya, Spyro The Dragon 3 mengajar saya etno-nasionalisme. Fortnite melatih saya untuk menjadi seorang pembunuh,” jelasnya.

PERISTIWA HITAM YANG MENDORONG SERANGAN

Menurut Tarrant, beberapa peristiwa yang berlaku dua tahun lepas di antara bulan April sehingga penghujung Mei 2017, telah mengubah ‘pandangannya’ tentang konflik dunia pada masa ini.

Pendiriannya berubah daripada mencari ‘penyelesaian politik dan demokratik,’ kepada ‘penyelesaian dengan cara yang ganas’ dalam menamatkan krisis yang sedang berlaku.

“Saya pergi ke Eropah Barat sebagai seorang pelancong pada waktu itu, Perancis, Sepanyol, Portugal, dan lain-lain.

“Peristiwa pertama yang memulakan perubahan pada diri saya adalah serangan keganasan di Stockholm (Sweden) pada 7 April 2017.

“Ia hanyalah sebuah lagi serangan pengganas tiada penghujung yang berlaku secara kerap sepanjang kehidupan saya sebagai orang dewasa. Tetapi kerana beberapa sebab, ia (serangan) sebenarnya lain,” katanya.

Jelasnya, ‘kelainan’ tersebut adalah apabila seorang kanak-kanak yang dikenali sebagai Ebba Akerlund, terbunuh dalam insiden yang dilancarkan oleh pengganas Islam pada waktu itu.

“Ebba sedang berjalan untuk bertemu ibunya selepas waktu sekolah, dan dia dibunuh oleh seorang penyerang Islam yang merempuh menggunakan kenderaan curi di kawasan membeli-belah yang dilaluinya.

“Saya tidak boleh lagi mengabaikan serangan-serangan sedemikian. Ia adalah serangan ke atas kaum, budaya, kepercayaan, dan jiwa saya,” ujarnya.

BAWA PENGGANAS KE MUKA PENGADILAN

Kerajaan Malaysia mengecam sekeras-kerasnya tindakan pengganas yang melancarkan serangan ke atas masjid-masjid di Christchurch.

Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah menggesa agar pengganas-pengganas terbabit diheret ke muka pengadilan.

“Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya, tindakan keganasan yang tidak masuk akal ke atas orang awam yang tidak berdosa dan berharap agar mereka yang bertanggungjawab melakukan jenayah kejam ini diheret ke muka pengadilan,” ujar beliau.

 

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker