Isu SemasaTempatan

Militan Lihat Malaysia Sebagai ‘Lokasi Ideal’ Untuk Buka Perniagaan?

Seorang anggota militan warga Mesir yang berkahwin dengan seorang ibu tunggal berusia 54 tahun di Serian, Sarawak dilaporkan mengguna e-mel dan akaun bank isterinya itu untuk menjalankan kegiatan-kegiatan berkaitan keganasan.

Menurut sumber, suspek berusia 22 tahun itu turut menggunakan akaun e-mel anak tirinya untuk berkomunikasi dengan rakan-rakan militan seperjuangannya.

“Dia enggunakan akaun isteri dan anak tirinya untuk memastikan dia tidak dipantau. Dengan adanya akses itu, dia membeli tiket penerbangan dan berkomunikasi dengan rakan-rakan militannya,” kata sumber.

Difahamkan, militan tersebut telah mendirikan rumah tangga bersama isterinya itu pada bulan Julai tahun lepas.

“Pihak berkuasa mempercayai bahawa dia telah menggunakan e-mel dan akaun bank tersebut sejak itu lagi,” ujar satu lagi sumber.

Memetik laporan The Star, militan itu adalah salah seorang daripada enam warga Mesir, seorang Tunisia, dan dua rakyat Malaysia yang ditahan oleh polis dalam operasi anti-keganasan di Lembah Klang dan Sarawak di antara 2 dan 9 Februari 2019.

Sumber menyatakan bahawa suspek-suspek warga Mesir itu adalah anggota kumpulan militan Ikhwanul Muslimin yang merancang untuk melancarkan serangan di negara lain.

“Tiada sebarang petanda ada senjata, tetapi pihak berkuasa sedang memeriksa jika mereka (militan) ada menyeludup senjata api masuk ke dalam negara.

“Semasa soal siasat, dua ketua utama kumpulan itu dilihat terlatih kerana tidak memberikan jawapan betul dan kenyataan mereka juga tidak konsisten,” jelas sumber.

Salah satu sebab utama mengapa Malaysia menjadi titik transit pilihan Foreign Terrorist Fighters (FTF) adalah pelawat asing dari beberapa negara Timur Tengah boleh memasuki negara ini tanpa memerlukan visa.

“Ini memudahkan perjalanan FTF, lebih-lebih lagi jika mereka mempunyai penyelaras dari negara Timur Tengah di Malaysia.

“Pejuang-pejuang ini juga melihat Malaysia sebagai tempat untuk memulakan perniagaan, di mana mereka boleh meraih pendapatan untuk membiayai kegiatan keganasan mereka,” kata sumber.

Oleh itu, sumber perisikan mencadangkan agar pihak-pihak berkenaan meningkatkan usaha untuk mewujudkan kesedaran awam tentang ancaman terorisme bukan hanya menerusi ceramah awam, tetapi juga melalui media sosial.

“Media juga boleh memainkan peranan dalam menyebarkan maklumat supaya rakyat Malaysia tidak terpedaya dengan penipuan kumpulan-kumpulan pengganas ini,” menurut sebuah lagi sumber.

Sumber: The Star

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker