Isu SemasaSains

Bagaimana Nyamuk Aedes Wolbachia Boleh Bantu Mengekang Wabak Demam Denggi

Pada akhir tahun 2016 yang lalu, beberapa institusi dengan kepakaran masing-masing dari dalam dan luar negara telah berkolaborasi untuk mencari penyelesaian terhadap peningkatan populasi nyamuk aedes di Malaysia.

Institut Penyelidikan Perubatan (IMR), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) serta Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) telah mencuba sebuah kaedah dengan memperkenalkan bakteria Wolbachia dengan teknik pensterilan serangga yang dipercayai mampu menangani masalah jangkitan penyakit bawaan virus seperti denggi, chikugunya dan zika.

Pakar akademik penyakit berasaskan vektor di Asia Tenggara yang juga Prof Madya Parasitologi dan Entomologi Perubatan Fakulti Sains Kesihatan UKM Dr Hidayatul Fathi Othman berkongsi dengan Harian Metro tentang dua kaedah melaksana projek pensterilan serangga ini seperti yang disarankan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Kaedah Pertama

1. Nyamuk jantan didedahkan kepada gelombang sinar-X sebelum dilepaskan kepada persekitaran dengan harapan nyamuk ini akan melakukan persenyawaan dengan nyamuk betina dari persekitaran asal.

2. Menerusi kaedah ini, telur yang dikeluarkan oleh nyamuk betina itu akan menjadi hampas dan tidak membiak menjadi larva.

Kaedah Kedua

1. Menghadirkan bakteria Wolbachia yang mampu membunuh dan mengawal perkembangan virus dalam nyamuk kerana berlaku fenomena ketidakserasian sitoplasma.

2. Nyamuk jantan yang bersenyawa dengan nyamuk betina akan menghasilkan telur tetapi larva yang dihasilkan bebas dari virus yang menyebabkan denggi dan Chikungunya. Manakala nyamuk yang “terinfeksi” dengan bakteria Wolbachia tidak dapat menyebarkan virus denggi apabila mangsa terkena gigitan mereka.

 

Apakah Itu Wolbachia dan Kesan Terhadap Manusia

“Bakteria Wolbachia ini tidak akan menjangkiti manusia. Bakteria ini memang wujud secara semulajadi dalam serangga tetapi tidak wujud dalam nyamuk aedes. Menerusi jangkitan Wolbachia ini terhadap nyamuk aedes, ia membolehkan kita mengawal transmisi virus kepada manusia kerana jangkitan nyamuk sudah terhenti serta mengurangkan peratusan populasi nyamuk dewasa,”jelas Dr Hidayatul.

Katanya, gabungan kedua-dua teknik berkenaan juga diakui terbukti berkesan dalam menyekat perkembangan nyamuk Aedes aegypti pernah dilakukan menerusi kajian yang dilakukan Mahidol University di Thailand.

Bagaimanapun beliau berkata, peranan masyarakat juga penting menerusi aktiviti cari dan musnah berikutan kaedah itu paling cepat dan berkesan mengawal nyamuk aedes daripada terus membiak kerana nyamuk aedes membiak dalam air bersih dan jernih.

 

Nyamuk dijangkiti Wolbachia Dilepaskan Di Selangor

Nyamuk yang telah dijangkiti Wolbachia ini telah pun dilepaskan oleh Kementerian Kesihatan dengan kerjasama IMR pada awal tahun 2017 walaupun telah mendapat tentangan oleh kerajaan negeri Selangor ketika itu.

Mengimbas kembali sebuah rencana oleh FMT, Kementerian Kesihatan memberitahu FMT bahawa kerajaan Selangor “mempunyai wakil” dalam mesyuarat mengenai denggi dan mereka sudah mendapatkan pemimpin masyarakat setempat untuk terbabit dalam program itu serta telah melakukan kajian di mana 95% responden bersetuju dengan pelaksaan program tersebut.

Bagaimanapun, Pengerusi Tetap Jawatankuasa Kesihatan, Kebajikan, Hal Ehwal Wanita Dan Keluarga Selangor, Dr Daroyah Alwi memberitahu FMT, Kementerian Kesihatan mahupun Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) tidak membuat permohonan rasmi berhubung pelepasan nyamuk itu di negeri itu.

 

Walaupun Pernah Ditentang Setelah Dua Tahun Ia Menunjukkan Petanda Positif

Setelah dua tahun berlalu, nyamuk ‘Wolbachia’ yang dilepaskan di dua kawasan di Selangor iaitu AU, Ampang dan Seksyen 7, Shah Alam telah memperlihatkan petanda positif.

Menurut laporan NST, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham bin Abdullah berkata projek perintis yang dilakukan oleh IMR melihatkan tanda positif bertepatan pada saat genting apabila jumlah kes denggi meningkat 163% berbanding masa yang sama pada tahun lalu.

Sehingga Februari 23, demam denggi telah mengambil 40 nyawa dan ia telah meningkat 100% berbanding masa yang sama pada tahun 2018.

Bagi Dr Hidayatulfathi Othman apabila dihubungi semula tentang perkembangan projek perintis nyamuk aedes ‘Wolbachia’ ini, beliau sangat gembira dengan tanda positif yang ditunjukkan kerana pelbagai inisiatif untuk mengawal populasi Aedes ini termasuk melepaskan nyamuk yang telah diubah secara genetik tidak berjaya.

 

Nyamuk Aedes Diubahsuai Genetik Tidak Berjaya Seperti Nyamuk ‘Wolbachia’

Bagi nyamuk Aedes yang telah melalui pengubahsuaian genetik, projek tersebut tidak berjaya dilanjutkan kerana ia memerlukan dana yang banyak dan kurangnya kajian mengenainya.

Menurut Dr Hidayatulfathi, nyamuk Aedes ‘Wolbachia’ yang dilepaskan ke kawasan Shah Alam lebih menunjukkan kesan positif berbanding kawasan Keramat/Ampang kerana kawasan Keramat lebih terbuka dan berhubung dengan pelbagai kawasan lain. Oleh itu nyamuk di kawasan Keramat/Ampang itu berkemungkinan tidak mudah beradaptasi dengan kawasan itu.

 

Kajian Mendalam Diperlukan Untuk Menambah Baik

IMR bercadang untuk melakukan kajian lebih mendalam untuk mencari strain bakteria yang plaing sesuai dan memberi kesan yang lebih baik.

“Terdapat banyak strain, oleh itu kita perlu memilih dengan sangat teliti. Ada yang boleh beradaptasi dengan cuaca dan ada yang tidak dapat mengekang pembentukan virus.

 

Faktor-Faktor Untuk Menambahkan Populasi Nyamuk Aedes ‘Wolbachia’

Bakteria Wolbachia ini mempunyai banyak strain dan ia hanya boleh memerangi vektor (nyamuk) dalam suhu diluar lingkungan 26°C hingga 37 °C. Mana-mana vektor yang terdedah pada suhu lingkungan ini pula masih melahirkan telur yang memiliki virus denggi.

Antara faktor kelangsungan melahirkan populasi nyamuk aedes ‘Wolbachia’ ini ialah ia perlu terdedah kepada 20-30% keseluruhan populasi nyamuk di sesebauh kawasan untuk menurunkan populasi nyamuk Aedes yang memiliki virus denggi.

 

Mentaliti ‘kita dah bayar cukai’ Perlu Musnah

Pada masa yang sama Dr Hidayatulfathi menasihatkan pihak kerajaan dan juga komuniti untuk tidak melupakan program kesedaran kepada masyarakat kerana aktiviti manusia merupaklan faktor utama yang menyebabkan populasi nyamuk Aedes meningkat.

“Orang Malaysia sering berfikir bahawa ianya tugas kerajaan sahaja untuk membasmi denggi dan bukannya kerjasama bersama. Mereka sering menggunakan alasan kerana ‘kita membayar cukai’ untuk mengabaikan tanggungjawab tersebut. Tetapi pada masa yang sama apabila pihak perbandanan datang ke kawasan perumahan untuk melakukan semburan, mereka tidak akan membuka pintu.”

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker