MalaysiaPolitik

“Orang India Undi PH Bukan Untuk Lindungi Zakir Naik”

Keterangan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mujahid Yusof Rawa mengenai pendakwah yang penuh kontroversi, Zakir Naik sebagai sumber inspirasi telah menimbulkan perasaan tidak senang dalam kalangan masyarakat India, menurut pemimpin Hindraf, Karthig Shan.

“Jika Zakir Naik memberi inspirasi kepada para pemimpin kita, bolehkah kerajaan menjamin masa depan yang aman di negara kita yang berbilang bangsa dan kaum?

“Masyarakat India tidak mengundi pemimpin Pakatan Harapan pada pilihan raya lepas untuk melindungi dan menyokong Zakir Naik yang terus menimbulkan ancaman terhadap ketenteraman awam dan keselamatan negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Karthig berkata pentadbiran semasa tidak sepatutnya melibatkan Zakir, sama ada dalam bidang agama atau sebaliknya, kerana ia akan menghantar isyarat yang salah.

Beliau juga mendakwa bahawa kehadiran pendakwah kelahiran India itu di Malaysia akan memecahbelahkan negara serta menimbulkan ketegangan kaum dan agama.

Semalam, Mujahid bertemu dengan Zakir Naik yang dituduh India terlibat dalam kegiatan keganasan di Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) di Kuala Lumpur.

Dalam siaran Facebook, menteri yang bertanggungjawab dalam hal ehwal Islam itu menyifatkan usaha dakwah Zakir sebagai sumber inspirasi.

Menurut Malaysia Kini, pertemuan itu juga turut mendapat kritikan daripada pengarah eksekutif Lawyers for Liberty (LFL) dan ahli PKR, Latheefa Koya.

Sementara itu, Karthig menegaskan bahawa Zakir, yang merupakan penduduk tetap Malaysia, adalah seorang pelarian dan India meminta untuk ekstradisi beliau.

Karthig juga menegaskan bahawa pendakwah itu telah diharamkan di beberapa negara.

“Ucapannya yang sering diselidik, kontroversi ‘Peace TV’, dan laman web IRF yang diharamkan menunjukkan bagaimana Zakir memainkan peranan dalam pembiakan sektarianisme dan mempromosikan radikalisasi.

“Lelaki ini secara terbuka menyampaikan ucapan benci yang menyebabkan perpecahan perkauman … Dia menyuruh umat Islam untuk mengundi calon-calon pilihan raya Islam walaupun jika calon itu korup.

“Bukankah Zakir diharamkan berdakwah di beberapa negeri di Malaysia kerana ajaran Salafinya? Ceramahnya adalah keterlaluan dan terdiri daripada unsur-unsur yang menggalakkan kebencian. Kuliahnya mengejek agama lain. Beliau menyalahtafsirkan fakta yang berkaitan dengan agama lain,” katanya.

Walau bagaimanapun, Zakir mendakwa bahawa imejnya telah dicemari oleh fanatik agama tertentu di India dengan dakwaan palsu.

“Seorang pemerhati yang tidak berat sebelah akan menyedari bahawa tidak pernah dalam kuliah saya selama 25 tahun, saya pernah mempromosikan keganasan atas nama Islam atau sebaliknya.

“Sebenarnya, tidak ada satu kuliah, daripada beribu-ribu yang telah saya sampaikan, pernah menerima bantahan daripada orang bukan Islam di India sehingga pada bulan September 2012, apabila sekumpulan fanatik agama berusaha merosakkan imej saya.

“Matlamat saya sentiasa memupuk perdamaian dan keharmonian kaum, bertentangan dengan tuduhan yang dilemparkan kepada saya,” kata Zakir.

Tahun lepas, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata Putrajaya tidak akan tunduk kepada tekanan kepada kerajaan untuk mengusir Zakir.

“Kita tidak perlu mengikuti kehendak orang lain. Kita perlu mengenal pasti sebab-sebab yang kukuh jika ingin bertindak balas terhadap apa-apa tekanan, sama ada benar atau tidak (Zakir) telah melanggar undang-undang. Atau, seseorang akan menjadi mangsa,” kata PM.

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button