Isu SemasaTempatan

Hukuman Mati Tidak Lagi Mandatori, Tetapi Sebaliknya Digantikan Dengan…

Pada Oktober tahun lepas, Kerajaan merancang untuk memansuhkan hukuman mati mandatori bagi 33 kesalahan di bawah lapan Akta dan menggantikannya dengan hukuman penjara seumur hidup.

Antara kesalahan jenayah yang membawa kepada hukuman gantung sampai mati adalah:

KANUN KESEKSAAN

Seksyen 121: Berperang atau mencuba berperang atau menyubahati perang melawan Yang di-Pertuan Agong, Raja atau Yang di-Pertua Negeri.

Seksyen 121A: Kesalahan-kesalahan terhadap tubuh Yang di-Pertuan Agong, Raja atau Yang di-Pertua Negeri.

Seksyen 132: Menyubahati dahagi, jika dahagi dilakukan oleh sebab subahat itu

Seksyen 302: Membunuh

Seksyen 305: Persubahatan bagi kanak-kanak atau orang gila membunuh diri

Seksyen 307(2): Cubaan membunuh ketika sedang menjalani hukuman penjara seumur hidup 

Seksyen 364: Menculik atau melarikan orang dengan tujuan hendak membunuh

Seksyen 374A: Mengambil tebusan dan kemudian tebusan terbunuh

Seksyen 376(4): Merogol sehingga menyebabkan kematian

Seksyen 396: Melakukan rompakan berkumpul serta pembunuhan

AKTA DADAH BERBAHAYA 1959

Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952: Pengedaran dadah berbahaya

AKTA SENJATA API (PENALTI LEBIH BERAT) 1971

Seksyen 3: Penalti bagi rakan sejenayah dalam hal melepaskan tembakan senjata
api

Seksyen 3A: Penalti bagi rakan sejenayah dalam hal melepaskan tembakan senjata
api

AKTA PENCULIKAN 1961

Seksyen 3 (1): Menculik untuk wang tebusan

 

MENGAPA KERAJAAN INGIN MANSUHKAN HUKUMAN MATI?

Pengumuman untuk memansuhkan hukuman mati oleh kerajaan dilakukan ketika sambutan Hari Anti-Hukuman Mati Sedunia pada tahun lalu.

“Malaysia baru, wajah baru, harapan baru di mana setiap orang mempunyai hak untuk hidup, ia selaras dengan konvensyen yang diterima di peringkat antarabangsa mengenai hak asasi manusia,” kata Menteri Di Jabatan Perdana Menteri di bahagian perundangan, Datuk Liew Vui Keong.

Pada pandangan beliau, kes-kes jenayah membabitkan dadah kadang kala menyaksikan tindakan yang terlalu keras ke atas pesalah yang telah dianiaya atau menjadi keldai dadah.

“Undang-undang kita terhadap sesiapa didapati bersalah mengedar dadah lebih daripada jumlah yang ditetapkan (Di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952) adalah hukuman mati mandatori.

“Saya rasa ia tidak adil kepada mereka dan setakat ini hakim diberikan pengkhususan untuk menjatuhkan hukuman mati atau tidak terhadap mereka yang didapati bersalah dibawah Seksyen 39B ADB 1952,” jelas Liew.

Tambah beliau, jika pemansuhan hukuman mati mandatori ini dapat dilaksanakan, tumpuan akan diberikan kepada Seksyen 39B ADB 1952 dan mereka yang disabitkan bersalah melakukan jenayah tertentu akan dikenakan hukuman penjara seumur hidup.

“Tetapi bagi jenayah lain seperti membunuh dan pengganas yang menceroboh kedaulatan negara seperti tragedi berlaku di Tanduo Lahad Datu hingga menyebabkan kematian penduduk kampung dan anggota pasukan keselamatan, perkara ini kita kena pertimbangkan,” ujarnya.

Kata Liew, ini adalah untuk memastikan individu-individu yang ditangkap kerana melakukan kesalahan tersebut akan dikenakan hukuman yang setimpal.

CADANGAN PEMANSUHAN DIBANTAH HEBAT

Namun, rancangan itu telah menerima kritikan dan tentangan hebat oleh pelbagai pihak termasuk rakyat, badan bukan kerajaan, pakar, aktivis dan lain-lain.

Penganalisis kriminalogi di Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Geshina Ayu Mat Saat, telah meminta kerajaan untuk mempertimbang semula keputusan itu kerana sesetengah penjenayah yang ganas layak mendapat hukuman mati.

“Memasukkan mereka di dalam penjara, hanya untuk melepaskan mereka kembali ke masyarakat bukan sesuatu yang baik untuk keselamatan awam, terutamanya bagi penjenayah yang sentiasa melakukan jenayah atau menganggapnya sebagai kerjaya,” katanya.

Malah, bekas ketua polis negara, Tan Sri Musa Hassan pada bulan lepas turut menggesa semua rakyat Malaysia agar membantah pemansuhan hukuman mati demi menjamin keselamatan rakyat dan negara.

“Hukuman mati perlu dilaksanakan kerana saya telah melihat pelbagai jenayah kejam dilakukan,” katanya dalam satu sidang media.

Selain itu, beliau turut menegaskan bahawa badan kehakiman dan sistem siasatan polis perlu diperbaiki lagi demi memastikan hukuman mati tidak disalahguna oleh mana-mana pihak yang mempunyai kepentingan.

‘MANDATORI’ DIGANTI DENGAN ‘BUDI BICARA MAHKAMAH’

Dalam persidangan Dewan Rakyat baru-baru ini pula, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mohamed Hanipa Maidin berkata, kerajaan bercadang untuk menggantikan hukuman mati mandatori dengan hukuman mati atas budi bicara mahkamah bagi 9 kesalahan mengikut Kanun Keseksaan dan 2 kesalahan di bawah Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971.

“Kita telah membuat keputusan. Kerajaan akan hanya akan memansuhkan hukuman mati mandatori. Kami akan membuat pindaan,” katanya ketika menjawab soalan Datuk Che Abdullah Mat Nawi (PAS-Tumpat) ketika sesi soal-jawab di Dewan Rakyat.

Jelas beliau lagi, langkah ini juga adalah selaras dengan janji ke-27 manifesto Pakatan Harapan (PH) untuk memansuhkan hukuman mati mandatori.

Mohamed Hanipa ketika menjawab soalan tambahan Che Abdullah berhubung penubuhan jawatankuasa terpilih Parlimen bagi membincangkan pemansuhan hukuman mati mandatori turut berkata, jawatankuasa sedemikian masih tiada setakat ini.

Namun begitu, beliau menyambut baik cadangan tersebut dan akan mengemukakannya kepada pihak atasan.

TANPA HUKUMAN MATI, PENJENAYAH AKAN ‘BERMAHARAJALELA’

Gantung sampai mati merupakan salah satu hukuman yang paling ditakuti oleh penjenayah-penjenayah yang melakukan kesalahan besar, termasuk mengedar dadah, memiliki senjata api secara haram, dan membunuh.

Pada pandangan penulis, kerajaan telah membuat pertimbangan yang baik untuk tidak memansuhkan terus hukuman mati sepenuhnya, dan sebaliknya menggantikan hukuman mati mandatori kepada hukuman mati di atas budi bicara mahkamah.

Tetapi sekurang-kurangnya, hukuman mati itu akan masih dilaksanakan.

Dengan kes jenayah kejam yang semakin berleluasa, adalah lebih baik untuk terus mengekalkan hukuman mati.

Sebagai contoh pada bulan lepas, berlaku kes pembunuhan kejam yang menyaksikan kematian seorang kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun bernama Siti Masitah Ibrahim.

Siti Masitah ditemui dalam keadaan yang amat tragis dan menyedihkan di sebuah ladang kelapa sawit di Kampung Tanjung Medang Hilir.

Tangan dan kaki diikat, kepala terpisah daripada badan, dan beberapa organ dalamannya juga telah dibuang.

Satu lagi kes terbaru pula membabitkan pembunuhan kanak-kanak perempuan bernama Nur Aisyah Aleya Abdullah yang baru sahaja berusia tiga tahun.

Nyawa Nur Aisyah diragut secara tidak berperikemanusiaan oleh pembunuhnya. Pihak polis menemui tengkorak, dua batang gigi, dan gumpalan rambut yang dipercayai milik mangsa di kawasan gaung Gunung Raya.

Ini baru sahaja dua kes. Terdapat pelbagai lagi kes-kes kejam dan menakutkan yang sudah berlaku di negara kita.

Dengan adanya hukuman ‘yang paling ditakuti’ ini pun, penjenayah-penjenayah di luar sana masih lagi berani dan tidak kenal erti serik.

Cuba bayangkan, bagaimana pula kalau hukuman mati dimansuhkan sepenuhnya? Maka akan lagi ‘bermaharajalelalah’ mereka.

Tidak dinafikan hak asasi manusia, termasuk hak banduan dan penjenayah perlu diberi perhatian. Tetapi, janganlah sampai hak keluarga mangsa untuk menuntut keadilan yang sewajarnya bagi insan-insan tersayang yang sudah ‘diambil’ daripada mereka diketepikan.

 

*Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili Toodia Dot My*

 

Sumber Rujukan: Benar News, Malay Mail, NST, Berita Harian, Harian Metro.

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker