AntarabangsaIsu Semasa

Enggan Menyerah Diri, Isteri Militan Sanggup Letupkan Diri Bersama Anak Berusia 2 Tahun

Isteri kepada seorang militan yang ditahan baru-baru ini telah meletupkan diri bersama anak kecilnya yang baru sahaja berusia 2 tahun pada Rabu, ketika kediaman mereka di Sibolga, Sumatera Utara dikepung oleh polis.

“Sebuah pasukan daripada skuad anti-keganasan Detachment 88 dan pemimpin-pemimpin komuniti di Sibolga meluangkan masa 10 jam untuk memujuknya supaya menyerah diri.

“Kami merayu kepadanya, sambil menegaskan bahawa terdapat kanak-kanak kecil yang terlibat,” kata jurucakap polis, Brigadier Jeneral Dedi Prasetyo.

Polis telah menahan suami wanita itu yang dikenali sebagai Husain @ Abu Hamzah, kira-kira 200 meter dari rumahnya pada Selasa.

Difahamkan, seorang lagi anggota militan turut ditahan dalam satu operasi serbuan di Lampung, selatan Sumatera pada hujung minggu lalu.

Kedua-dua lelaki tersebut dipercayai menjadi anggota militan IS, di mana mereka juga mempunyai rancangan untuk melancarkan serangan ke atas pihak polis.

“Dalam serbuan di Lampung, kami menemui bom sama seperti yang dijumpai di Sibolga. Mungkin terdapat lebih banyak bom di bawah runtuhan.

“Polis setakat ini telah meletupkan beberapa peralatan (letupan) dengan menggunakan robot yang dikawal menggunakan alat kawalan jauh, dan Husain, ketika disoal siasat berkata, dia telah mencipta banyak bom,” jelas Dedi.

Seorang pegawai polis serta bapa saudara kepada Husain yang cuba memujuk isteri militan tersebut untuk menyerah diri, telah tercedera selepas wanita itu membaling bom ke arah mereka.

Namun, kecederaan bapa saudara Husain bertambah buruk selepas itu apabila wanita berkenaan meletupkan sebuah lagi bom di dalam rumah.

Memandangkan letupan itu turut menjejaskan rumah-rumah di kawasan tersebut, jiran-jiran yang tinggal dalam radius 100m dari rumah Husain telah dipindahkan.

Sementara itu, polis juga telah menemui sebanyak 300 kilogram (kg) bahan letupan dan lebih daripada 15 bom di rumah Husain dan rakannya di utara Sumatera.

Bahan-bahan tersebut – termasuk periuk api, bom paip, dan bom jaket – kebanyakannya dijumpai di tempat tinggal Husain di Sibolga.

“Husain mempunyai rancangan besar…Dia mempunyai kemahiran tinggi dalam membuat bom,” kata Dedi.

Penemuan sejumlah besar bom itu turut menimbulkan kebimbangkan terhadap kemungkinan untuk berlakunya satu serangan besar-besaran yang dirancang sebelum Pilihan Raya Presiden (Pilpres) 2019 bulan depan.

Polis Indonesia telah melancarkan operasi besar-besaran bagi memerangi rangkaian militan sejak awal tahun lepas lagi.

Berdasarkan statistik, seramai 396 militan telah dibunuh atau ditahan oleh pasukan Detachment 88 pada tahun 2018.

Pada Mei tahun lalu juga, Ketua Turus Presiden, Moeldoko mendedahkan bahawa hampir 1,500 rakyat Indonesia, termasuk wanita dan kanak-kanak, telah cuba atau sudah pergi ke Timur Tengah untuk berjuang di sisi IS.

Jelas Moeldoko, 590 orang daripada jumlah itu masih berada di Syria atau Iraq, manakala hanya 86 telah pulang semula ke tanah air.

 

Sumber: Straits Times

*Artikel dikemaskini*

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker