Gaya HidupKesihatan

Bagaimana Demam Denggi Boleh Membunuh Anda

Demam Denggi dan denggi berdarah merupakan penyakit febril akut (acute febrile), dijumpai di kawasan tropika termasuk Malaysia.

Ianya merupakan sejenis penyakit yang disebarkan oleh nyamuk aedes betina yang membawa virus Denggi (genus Flavivirus).

Vektor lain adalah seperti nyamuk Aedes albopictus yang merupakan vektor virus denggi di kawasan bandar.

Terdapat dua jenis denggi yang paling berat iaitu Demam Hemoragik Denggi (DHF) dan Sindrom Renjatan Denggi (DSS).

Virus Denggi akan terpendam di dalam badan pesakit selama 3 – 14 hari (purata 4 hingga 6 hari) sebelum menunjukkan tanda-tanda.

Pesakit mungkin akan mengalami demam mengejut diikuti dengan berbagai-bagai tanda dan gejala tidak khusus.

 

BERISIKO MAUT

Berdasarkan kajian, jangkitan kali kedua didapati boleh menyebabkan gejala simptom klinikal dan komplikasi yang lebih teruk berbanding kali pertama.

Walaupun begitu, demam denggi tetap berisiko kematian walaupun kali pertama dijangkiti.

Komplikasi demam denggi boleh berlaku dengan cepat dan secara tiba-tiba. Ini biasanya berlaku terhadap pesakit yang mengalami demam denggi berdarah dan sindrom renjatan denggi.

Keadaan itu kerana platlet darah pesakit semakin berkurangan. Jika ini berterusan, tekanan darah akan menjadi rendah, nadi semakin laju dan akhirnya berlaku kematian. Kematian ini terjadi kerana organ utama seperti hati, buah pinggang dan otak gagal berfungsi akibat pendarahan serta kekurangan air.

Antara golongan yang berisiko mendapat komplikasi lebih teruk sekiranya dijangkiti virus terbabit ialah penghidap kencing manis, tekanan darah tinggi, pesakit jantung, obesiti dan mereka yang mempunyai sistem imuniti rendah termasuk kanak-kanak.

 

BAGAIMANA DENGGI BERJANGKIT

Virus denggi dipindahkan kepada manusia melalui gigitan nyamuk Aedes yang membawa virus denggi. Nyamuk berupaya menyebarkan penyakit berkenaan dalam jangka masa 8 – 12 hari selepas menghisap darah manusia (perumah).

Nyamuk betina yang dijangkiti virus denggi boleh memindahkan virus tersebut ke generasi seterusnya melalui pemindahan transovarial (melalui ovari).

Manusia masih merupakan perumah gandaan utama bagi virus denggi walaupun terdapat kajian menunjukkan di beberapa bahagian tertentu di dunia, monyet boleh dijangkiti dan menjadi sumber virus bagi nyamuk yang belum dijangkiti.

Virus denggi dari perumah pertama (mangsa pertama) hanya dapat menjangkiti/dipindahkan ke perumah kedua 18 jam sebelum suhu badan meningkat dan sekurang-kurangnya 3 hari selepas timbulnya gejala penyakit.

 

SIMPTOM DEMAM DENGGI

Ciri-ciri klinikal demam denggi berubah-ubah mengikut umur pesakit:

– Bayi dan kanak-kanak mungkin mengalami demam yang sukar dibeza-bezakan beserta dengan kemunculan ruam.

– Orang dewasa dan kanak-kanak yang lebih tua mungkin mengalami sama ada sindrom demam yang tidak serius ataupun demam kuat yang mengejut, sakit kepala yang teruk, ruam dan sakit di belakang mata, otot dan sendi.

– Penyakit ini lazimnya bermula dengan peningkatan suhu badan yang mendadak, diikuti gejala-gejala lain yang tidak khusus seperti merah muka dan lain-lain gejala demam denggi yang tidak spesifik.

– Rasa tidak selesa di bahagian ulu hati (epigastrik), sensitif di bahagian rusuk kanan dan sakit di bahagian abdomen merupakan fenomena biasa demam denggi berdarah.

Demam selalunya berterusan selama 2-7 hari dan suhu badan boleh meningkat setinggi 40-41oC dan mungkin diikuti dengan kekejangan dan pendarahan.

– Dalam kes-kes yang sederhana teruk, selalunya semua tanda dan gejala penyakit hilang selepas demam sembuh.

– Pesakit biasanya sembuh secara spontan atau selepas diberi terapi cecair dan elektrolit (ion berasingan seperti natrium, klorida, potasium, bikarbonat dan lain-lain)

 

RAWATAN DENGGI

Sehingga kini, tiada rawatan khusus untuk demam denggi. Dalam kes demam denggi dengan atau tanpa renjatan, cecair yang diberi secara oral sudah memadai untuk menggantikan kehilangan cecair badan akibat demam kuat, anoreksia dan muntah-muntah.

Ubat antipiretik mungkin boleh digunakan untuk meredakan demam.

Walau bagaimanapun, salisilat (sebatian yang mengandungi analgesik untuk melegakan kesakitan, antipyresis – mengurangkan demam dengan menurunkan suhu badan dan aktiviti anti keradangan seperti aspirin) perlu dielakkan kerana ia diketahui boleh menyebabkan pendarahan.

Pesakit perlu diawasi dengan rapi bagi mengesan tanda-tanda awal renjatan.

Untuk pesakit-pesakit sindrom renjatan denggi, penggantian awal dan segera plasma yang hilang dengan plasma, penambah plasma dan/atau larutan elektrolit dan cecair akan menghasilkan kesan yang menggalakkan.

 

CARA MENCEGAH

Berikut adalah langkah-langkah pencegahan utama:

– Perlindungan dari gigitan nyamuk.
– Elak dari melawat atau berkunjung ke kawasan berisiko tinggi pada siang hari.
– Musnahkan tempat-tempat pembiakan nyamuk.
– Hapuskan nyamuk Aedes dewasa.

 

 

Sumber rujukan :
1. http://jknperak.moh.gov.my/
2. http://ms.wikipedia.org/wiki/Demam_Denggi
3. http://www.myhealth.gov.my/…/penyakit-berjangk…/demam-denggi
4. http://pmr.penerangan.gov.my/index.…/…/456-demam-denggi.html

 

Untuk maklumat lanjut, anda boleh hubungi Dr. Khairul Izan Md Ghani di laman Facebooknya, Get Well By Doc K. 

* Dr Khairul Izan Md Ghani merupakan Pakar Bedah yang berpengalaman dalam bidang perubatan lebih daripada 13 tahun dan menjadi Pakar Bedah untuk lebih daripada 10 tahun. Beliau yang pernah berkhidmat di Hospital Kuala Lumpur, Hospital Putrajaya, Hospital Ampang dan Pusat Perubatan UKM ini juga merupakan mantan pensyarah perubatan, penulis dan konsultant di beberapa institusi di Kuala Lumpur. Pengalaman yang luas ini juga menyebabkan beliau sering dijemput untuk memberi ucaptama dalam seminar dan acara di dalam dan luar negara.
Kini beliau berkhidmat di Hospital Colombia Asia Petaling Jaya.

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker