AntarabangsaIsu Semasa

Rakyat Malaysia Yang Sertai Militan Di Timur Tengah Kini “Tidak Sabar Untuk Pulang”

Umum mengetahui bahawa kumpulan militan IS telah kehilangan ‘cengkaman’ di kubu kuat mereka yang berpangkalan di Iraq dan Syria.

Sejak kebelakangan ini juga, ramai rakyat Malaysia yang sebelum ini menyertai perjuangan militan IS di Timur Tengah kini meluahkan hasrat untuk kembali semula ke tanah air.

Salah seorangnya adalah Lidia, seorang juruteknik makmal perubatan yang telah pergi ke Syria secara rahsia bersama suami dan anaknya yang masih bayi pada Oktober 2014.

Namun dua minggu lalu, Lidia menghubungi bapanya yang menetap di Johor dan meminta bantuan dia untuk membawanya pulang ke Malaysia.

“Saya tidak pernah putus harapan bahawa pada suatu hari Lidia akan memberitahu saya yang dia mahu pulang semula,” kata bapanya yang merupakan seorang ahli perniagaan yang berpangkalan di Johor.

Lidia merupakan salah seorang daripada 13 rakyat Malaysia yang ingin kembali semula ke tanah air berikutan operasi ketenteraan Syrian Democratic Forces (SDF) yang disokong Amerika Syarikat (AS) dalam memerangi IS kini sudah memasuki peringkat terakhir.

Pihak berkuasa juga sedang berusaha untuk menghantar mereka pulang.

“Kita sedang cuba untuk membawa mereka pulang….ya, ia termasuk Lidia. Tetapi, situasi ini sukar kerana ia membabitkan pelbagai pihak daripada negara-negara lain,” kata Ketua Penolong Pengarah Bahagian Counter Terrorism Cawang­an Khas Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay.

SEMUA YANG PULANG AKAN DISOAL SIASAT

Sementara beberapa buah negara mengambil tindakan keras seperti melucutkan kerakyatan individu-individu yang menyertai militan, Malaysia sebaliknya membenarkan rakyatnya untuk pulang dengan syarat mereka mematuhi proses siasatan, penguatkuasaan, dan menjalani program pemulihan yang diperkenalkan oleh kerajaan selama tempoh sebulan.

“Tidak semua yang akan ditahan, tetapi semua yang kembali akan disoal siasat. Kita akan melaksanakan pemeriksaan dan siasatan ke atas setiap individu yang pulang.

“Kita juga akan membawa pakar agama dan ahli psikologi untuk menilai ideologi dan keadaan psikologi mereka. (Kemudian), kita akan melihat maklumat perisikan yang diterima dari perkhidmatan-perkhidmatan asing. Jika terdapat bukti individu yang pulang terlibat dalam kegiatan militan IS, dia akan didakwa di mahkamah,” jelas Ayob.

Setakat ini, seramai 11 rakyat Maalaysia telah kembali. 8 daripada mereka yang merupakan lelaki semuanya didakwa di mahkamah dan disabitkan bersalah.

3 lagi terdiri daripada seorang wanita, serta dua kanak-kanak berusia tiga dan lima tahun.

Menurut Ayob, wanita itu sudah menjalani program pemulihan dan telah pun pulang ke kampung halamannya.

“(Namun), dia akan terus dipantau,” ujar beliau.

Walaupun IS sudah runtuh di Iraq dan Syria, masih ada segelintir rakyat Malaysia yang sanggup berjuang demi kumpulan itu.

“Kita sedang memantau mereka. Mereka yang tidak dapat pergi ke Syria kini sedang menyasarkan Mindanao di selatan Filipina, di mana kumpulan militan di sana mempunyai kaitan dengan IS,” kata Ayob.

Kini, beliau menyatakan bahawa terdapat 51 rakyat Malaysia, termasuk 17 kanak-kanak, yang masih berada di Syria.

PERJALANAN YANG SUKAR

Lidia mengharungi waktu yang sukar dalam perjalanannya meninggalkan wilayah IS.

Dia berjalan selama lima hari dari bandar Mayadin di daerah Deir Az Zor bersama dua orang anaknya berusia 2 dan 4 tahun, untuk pergi ke kem yang dikawal oleh puak Kurdish di Hasakah.

“Lidia pergi ke kem al-Hol di Hasakah bersama seorang lagi rakyat Malaysia bernama Aisyah,” kata bapanya.

“Dia mempunyai makanan dan tempat berteduh. Tetapi tempat itu tidak selesa untuk dia dan anak-anaknya. Dia mahu pulang ke rumah (Malaysia) secepat mungkin.

“Dia juga sudah berdaftar dengan Bulan Sabit Merah,” tambahnya lagi.

Difahamkan, ribuan isteri dan anak kepada pejuang-pejuang IS telah melarikan diri ke kem al-Hol susulan kejatuhan IS.

Tetapi menurut Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan (OCHA), kem itu sudah dibanjiri oleh lebih daripada 62,000 orang, dan lebih ramai dijangka akan datang ke sana dalam hari-hari seterusnya.

DUA SUAMI MENINGGAL DUNIA

Dalam tempoh 4 tahun lalu, Lidia hanya berkomunikasi bersama bapanya menerusi aplikasi WhatsApp.

Bapanya sebelum ini tidak mengetahui niat Lidia untuk ke Syria  selepas melahirkan anak pertamanya pada tahun 2014.

Dia hanya sempat berjumpa dengan cucunya sebanyak tiga kali sebelum dia dibawa bersama oleh Linda dan suami ke negara bergolak itu.

“Suami yang membawanya ke sana. Dia (Lidia) tidak memahami apa IS sebenarnya pada waktu itu.

“Selepas suaminya meninggal dunia, Lidia masih enggan pulang ke Malaysia walaupun sudah dipujuk oleh saya. Dia kemudian berkahwin sekali lagi, namun suami keduanya turut terbunuh.

“Saya yakin dia kini mahu pulang kerana kedua-dua suaminya sudah meninggal dunia,” tambah bapa Lidia.

PEMULANGAN AKAN MENGAMBIL MASA

Dalam pada itu, Lidia juga merupakan antara 102 orang rakyat Malaysia yang dikenal pasti telah meninggalkan negara untuk menjalani kehidupan di bawah IS.

Daripada jumlah itu, kira-kira 40 individu terbunuh ketika berjuang di Syria dan Iraq, di mana 9 daripada mereka pula adalah pengebom berani mati.

Selepas mengadakan perbincangan bersama Bulan Sabit Merah di Kuala Lumpur, bapa Lidia menjangkakan pemulangan anaknya akan mengambil masa.

“Saya berjumpa dengan seorang lagi bapa di Bulan Sabit Merah. Dia memberitahu saya bahawa anak perempuannya masih berada di sebuah kem di Syria. Sudah setahun berlalu dan dia masih berada di sana,” kata bapa Lidia.

Yang paling penting sekali, ahli perniagaan itu berharap agar pengalaman pahit ini akan memberi pengajaran kepada anaknya.

“Biar pengalamannya di bawah IS menjadi pengajaran untuknya. Kini sudah terbukti Malaysia adalah lebih baik berbanding militan itu. Sekarang dia boleh membuat perbandingan,” jelasnya.

Sumber: Al-Jazeera

Kredit Imej: FMT

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button