AntarabangsaIsu Semasa

‘Kem Pendidikan’ Di Wilayah Xinjiang Akan ‘Hilang’ Secara Berperingkat?

Baru-baru ini, seorang pegawai kerajaan China membidas kritikan antarabangsa terhadap kem tahanan yang diwujudkan di wilayah Xinjiang yang menempatkan hampir sejuta etnik Islam Uighur.

Malah, pegawai itu menyifatkan kem tahanan tersebut sebagai pusat latihan pekerjaan yang “akan hilang secara berperingkat” jika “masyarakat tidak memerlukannya lagi” pada satu hari nanti.

Seorang pegawai Amerika Syarikat (AS) pula menyifatkan situasi di Xinjiang sebagai “menakutkan”.

Walau bagaimanapun, Beijing menafikan segala tuduhan ke atasnya, sambil menyatakan bahawa individu-individu yang berkenaan menghadiri “pusat pendidikan vokasional” tersebut untuk menghapuskan sebarang bentuk pandangan ekstremis yang ada dalam diri mereka.

“Pusat pendidikan dan latihan kami telah ditubuhkan selaras dengan keperluan kami. Pelajar-pelajar yang datang ke sana untuk belajar, ia adalah jumlah dinamik yang akan berubah.

“Secara keseluruhan, jumlah individu dalam pusat pendidikan itu sepatutnya akan berkurangan, dan jika satu hari nanti masyarakat tidak lagi memerlukannya, pusat-pusat pendidikan ini akan ditutup secara berperingkat,” kata Shohrat Zakir, pengerusi kerajaan Xinjiang.

Zakir turut menyatakan bahawa pusat pendidikan itu memainkan peranan penting di wilayah tersebut dalam memerangi ekstremisme, dan turut mengajar penduduk Xinjiang Bahasa Cina, membantu mereka mewujudkan kesedaran undang-undang, serta meningkatkan kemahiran vokasional.

“Apabila (pelajar) mampu membezakan perkara yang betul dan salah, dan mampu menahan diri daripada pemikiran yang melampau…mereka akan mempunyai keinginan yang kuat untuk menghapuskan kemiskinan dan menjadi kaya, dan secara aktif mengejar kehidupan yang lebih baik,” tambahnya.

Dalam pada itu, beliau turut mengecam “pihak-pihak tertentu” yang dikatakan telah “mengsensasikan” jumlah individu yang ada di kem itu.

“Ia bukan seperti itu,” tegasnya.

Namun, bekas-bekas tahanan di kem tersebut berkata bahawa mereka telah dipenjarakan atas ‘kesalahan melanggar undang-undang’ hanya kerana menyimpan janggut yang panjang, memakai penutup muka (burqa), atau mengongsikan ucapan perayaan Islamik di media sosial.

Pengkritik mendakwa bahawa warga Uighur yang ditahan telah dipaksa untuk mengubah pemikiran politik, membentuk semula identiti, menghapuskan kepercayaan terhadap agama Islam, dan bersumpah taat setia kepada Parti Komunis.

Sementara itu, wartawan yang membuat liputan di wilayah Xinjiang juga dilaporkan telah diganggu dan dipantau oleh pihak berkuasa.

“Saya rasa, sedang berlaku satu situasi buruk dan tragik di sana,” kata Duta khas AS bagi kebebasan beragama, Sam Brownback.

Xinjiang, yang berkongsi sempadan dengan beberapa negara termasuk Pakistan dan Afghanistan, telah lama dibelenggu pergolakan yang ganas.

China mendakwa bahawa pergolakan itu dirancang oleh pergerakan teratur “pengganas” yang mahu memerdekakan wilayah tersebut.

Sebelum ini juga, kerajaan China telah menafikan kewujudan kem-kem itu, namun ia kini mengakui kewujudannya, tetapi menegaskan ia adalah untuk “pendidikan vokasional” yang penting dalam perjuangan menentang sentimen pemisah dan pelampau agama.

Sumber: NST – AFP

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker