AntarabangsaIsu Semasa

Walaupun Dikecam, Ilhan Omar Berjaya Dedahkan ‘Sikap Hipokrit’ Pemimpin AS Yang Menyokong Israel

Dewan Perwakilan Amerika Syarikat (AS) pada Khamis lepas telah meluluskan resolusi bersejarah yang mengecam kebencian dan sikap tidak bertoleransi, termasuk diskriminasi anti-semitik (anti-yahudi) dan anti-Islam.

Resolusi itu diluluskan selepas menerima undian 407 anggota Kongres, sementara 23 lagi membantahnya.

Namun menurut laporan Saudi Gazette, resolusi ini sebenarnya lebih fokus kepada mengecam anti-semitisme berbanding anti-Islam.

Sejak kebelakangan ini juga, Ilhan Omar yang merupakan salah seorang anggota Kongres wanita Islam yang pertama di dalam sejarah telah digelar sebagai ‘anti-Yahudi’ oleh kedua-dua anggota Republikan dan partinya sendiri, iaitu parti Demokratik.

Salah satu sebab Ilhan menjadi ‘sasaran’ adalah kerana beliau menjadi anggota Kongres pertama yang menyokong pergerakan Boycott, Divestment dan Sanctions (BDS) yang diwujudkan untuk memberi tekanan kepada Israel agar menamatkan penempatan haram mereka di Tebing Barat serta bagi memperjuangkan hak rakyat Palestin.

Bukan itu sahaja, malah beliau turut mendedahkan ‘rahsia terbuka’ berhubung pengaruh besar kumpulan pelobi Israel, American Israel Public Affairs Committee (AIPAC) ke atas penggubal undang-undang AS.

Difahamkan, kewujudan AIPAC bermatlamat untuk mempertahankan kepentingan dan memperjuangkan agenda politik Israel dengan memberi tekanan terhadap penggubal undang-undang Washington.

Berikutan itu, ahli politik serta cendekiawan mendakwa bahawa kritikan Ilhan tentang pengaruh pelobi Israel di dalam politik AS adalah perbuatan prejudis terhadap Yahudi.

Tetapi pada hakikatnya, penuduh (ahli politik dan cendekiawan) adalah pihak yang kerap mengaitkan pelobian teratur Israel dengan kaum Yahudi secara umum.

Sehubungan dengan itu, tindakan AIPAC yang memberi tekanan ke atas penggubal undang-undang AS juga dikatakan bertujuan untuk mendiamkan pengkritik, dengan menggunakan ‘ancaman’ label anti-Semitisme dalam usaha mengekalkan status quo Israel.

Walaupun Ilhan (selepas didesak) terpaksa meminta maaf di atas pandangannya tentang Israel, beliau berjaya mendedahkan sikap ‘pilih kasih’ dan hipokrit ramai pemimpin AS yang selama ini menyokong hubungan AS-Israel berdasarkan kepentingan bersama, namun pada masa yang sama mengabaikan ketidakadilan dan penindasan yang Israel lakukan terhadap rakyat Palestin.

Ini sekali gus menunjukkan bahawa mereka sudah jauh ‘terpesong’ daripada pengundi-pengundi dan rakyat Amerika, khususnya golongan muda dan progresif yang semakin kritikal terhadap Israel dan menyokong rakyat Palestin dalam memperjuangkan kebebasan mereka.

Ilhan juga mempunyai kisahnya tersendiri. Pernah menjadi seorang pelarian, beliau tahu bagaimana orang awam yang tidak berdosa dipaksa untuk mengharungi ketidakadilan yang dilakukan oleh kerajaan serta ‘pelakon-pelakon’ berkuasa yang lain.

Oleh yang demikian, beliau berhasrat untuk menggunakan kedudukan dan suaranya sebagai anggota Kongres bagi melindungi golongan yang lemah dan terdedah.

Ini termasuk rakyat Palestin. Ilhan dan beberapa anggota Kongres baru sedang mewujudkan ruang bagi membolehkan orang ramai bersuara tentang isu ini tanpa rasa takut.

Lihat apa yang berlaku ketika AS menakluk Iraq pada tahun 2003 dan selepas peperangan mula tercetus. Pada waktu itu, sikap tidak menyokong peperangan tersebut tidak boleh diterima di AS.

Namun, peperangan tersebut tidak membuahkan ‘hasil’ seperti yang dijangkakan. Penaklukan itu kononnya dilancarkan kerana Iraq didakwa memiliki Weapons of Mass Destruction (WMD), tetapi tiada sebarang bukti kukuh yang menunjukkan kewujudan WMD.

Sebaliknya, ratusan ribu rakyat Iraq telah terbunuh dan merana akibat peperangan yang tidak membawa sebarang makna itu.

Oleh itu, kritikan terhadap Israel di dalam Kongres adalah penting dan wajar dalam memastikan hala tuju, kepentingan dan keutamaan yang perlu diberi perhatian oleh kerajaan AS.

Tidak sepatutnya wujud hasrat untuk menghalang mana-mana pihak untuk mengkritik Israel, dan hubungan AS-Israel.

Walaupun Ilhan menghadapi tentangan hebat, tiada sesiapa boleh mempersoalkan kesetiaan, patriotisme, dan semangatnya untuk berkhidmat demi negara dan rakyat.

Sumber: Saudi Gazette

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker