AntarabangsaIsu Semasa

Abu Sayyaf Semakin Membuas – Kini Memburu ‘Sasaran’ Bernilai Tinggi

Pasukan keselamatan di timur Sabah kini berada dalam keadaan berjaga-jaga berikutan laporan sekurang-kurangnya 17 anggota bersenjata kumpulan Abu Sayyaf yang diketuai oleh tiga sub-komander sedang memburu sasaran-sasaran culik baru.

Tiga orang sub-komander tersebut adalah Salip Mura, Majan Sahidjuan @ Apo Mike dan Abu Radin. Mereka dipercayai telah meninggalkan kubu kuat mereka di Jolo dua hari lalu dan menuju ke rangkaian kepulauan Tawi-Tawi di sempadan pantai timur Sabah untuk menculik tebusan.

Menurut sumber perisikan di Filipina, Abu Sayyaf akan berganding bahu dengan elemen-elemen jenayah berpangkalan di Tawi-Tawi yang berperanan sebagai pemerhati untuk mencari tebusan di sempadan perairan timur Sabah.

Komander Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom), Datuk Huzani Ghazali berkata, pihaknya sudah dimaklumkan tentang pergerakan lelaki-lelaki bersenjata itu di sepanjang sempadan perairan berkenaan.

“Kita kekal dalam keadaan berjaga-jaga sepenuhnya dan telah mengerahkan semua pasukan yang tersedia ke kawasan itu,” katanya kepada The Star pada Isnin.

Jelas beliau, fokus operasi adalah di seluruh sempadan perairan pantai timur dengan Filipina termasuk Semporna, Lahad Datu, dan Sandakan.

Sumber perisikan berkata, Salip, yang menjadi dalang disebalik sekurang-kurangnya dua penculikan pada penghujung tahun lepas di pantai timur, merupakan sebahagian daripada kumpulan yang menggunakan dua buah bot laju dengan 75 kuasa kuda ketika meninggalkan Jolo dua hari lalu.

“Bersamanya kali ini adalah sub-komander Mike Apo, yang aktif dalam melakukan penculikan di Sabah di antara tahun 2014 dan 2016,” ujar sumber.

Difahamkan, mereka ini sedang memburu sasaran yang mempunyai ‘nilai’ lebih tinggi kerana gagal mendapatkan perhatian yang cukup susulan penculikan nelayan warga Indonesia dan Malaysia.

Selepas berdiam selama hampir dua tahun, kumpulan-kumpulan penculik ini memunculkan diri semula pada September tahun lepas berikutan beberapa kumpulan politik berkuasa di Sulu menentang Wilayah Autonomi Muslim Bangsamoro Mindanao (BARMM) yang menggantikan Wilayah Autonomi Islam Mindanao (ARMM).

Tentera Filipina juga telah meningkatkan lagi operasi memerangi Abu Sayyaf yang dipercayai turut menjadi dalang disebalik insiden pengeboman gereja di Jolo pada Januari awal tahun ini.

Difahamkan, seorang nelayan rakyat Malaysia dan dua warga Indonesia yang diculik di perairan Pegasus Reef di Kinabatangan pada 5 Disember lalu masih berada di bawah tahanan Abu Sayyaf.

Sementara itu, perintah berkurung di pantai timur Sabah telah dilanjutkan selama dua minggu berkuatkuasa pada hari ini.

Komisioner Polis Sabah, Datuk Omar Mammah berkata, lanjutan perintah berkurung sehingga 27 Mac itu perlu dikuatkuasakan susulan ancaman berterusan kumpulan culik untuk wang tebusan dan penjenayah-penjenayah lain dari Filipina.

Sumber: The Star

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker