Isu SemasaTempatan

10 Pertuduhan Menghina Islam – Adakah Penjara 10 Tahun 10 Bulan Terlalu Berat?

Sejak kebelakangan ini, rakyat Malaysia telah disajikan dengan pelbagai berita yang membabitkan penghinaan agama oleh individu-individu yang tidak bertanggungjawab menerusi media sosial.

Sebagai contoh, seorang lelaki baru-baru ini telah dijatuhkan hukuman penjara selama 10 tahun dan 10 bulan (secara berasingan) kerana menghina Islam dan Nabi Muhammad S.A.W di laman Facebooknya.

Pemilik akaun Facebook berusia 22 tahun yang dikenali sebagai “Ayea Yea” itu mengaku bersalah atas 10 pertuduhan di Mahkamah Sesyen Kuching, Sarawak.

Menurut Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd Fuzi Harun, pertuduhan-pertuduhan yang dikenakan ke atas pesalah adalah mengikut Seksyen 298A Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKMM) 1998.

Selain daripada itu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut memfailkan pertuduhan terhadap tiga pemilik akaun media sosial lain kerana melakukan kesalahan yang sama, iaitu menghina Nabi Muhammad S.A.W.

Mereka adalah:

1. Pemilik akaun Twitter @ALVINCHOW333 – dituduh di Mahkamah Sesyen Jenayah, Kompleks Mahkamah Jalan Duta Kuala Lumpur, mengikut Seksyen 298A Kanun Keseksaan, Seksyen 505(c) KK dan Seksyen 233 AKMM.

2. Pemilik akaun Facebook ‘Danny A’antonio Jr’ – dituduh di Mahkamah Sesyen Jenayah Kompleks Mahkamah Jalan Duta mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 AKMM.

3. Pemilik akaun Facebook ‘YAZID KONG’ – dituduh di Mahkamah Sesyen Jenayah Kompleks Mahkamah Jalan Duta mengikut Seksyen 233(1)(a) AKMM 1998.

Selain daripada itu, PDRM baru-baru ini juga telah menahan seorang lagi pengguna Facebook yang bertindak memuat naik komen jelik terhadap agama Hindu pada Isnin.

Ujar Fuzi, suspek berusia 52 tahun itu (seperti kes-kes yang lain) disiasat mengikut Seksyen 298A Kanun Keseksaan,  Seksyen 233 AKMM 1998.

“Orang ramai diingat agar tidak menyalahgunakan media sosial atau sebarang rangkaian komunikasi dengan memuat naik atau berkongsi kenyataan berbentuk provokasi yang menyentuh sensitiviti mana-mana agama dan kaum di negara ini,” katanya.

Seksyen 298A Kanun Keseksaan memperuntukkan kesalahan atas alasan agama, menyebabkan suasana tidak harmoni, perpecahan atau permusuhan, benci-membenci atau niat jahat serta memudaratkan keharmonian dan perpaduan.

Seksyen 233 AKMM melibatkan penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian, dan lain-lain.

Seksyen 505(c) Kanun Keseksaan pula berkaitan kenyataan dengan niat mengapikan mana-mana golongan atau kaum melakukan kesalahan terhadap golongan atau kaum lain.

HUKUMAN 10 TAHUN PENJARA TERLALU BERAT?

Hukuman penjara 10 tahun yang dikenakan ke atas Ayea telah mengundang reaksi daripada pelbagai pihak, termasuk veteran Parti Tindakan Demokratik (DAP), YB Lim Kit Siang.

Lim menyifatkan tindakan mahkamah menjatuhkan hukuman berkenaan sebagai “berlebihan.”

“Semua rakyat Malaysia harus mendukung Perlembagaan dan menghormati semua agama di Malaysia, namun tidak perlu ada hukuman yang terlalu berat seperti hukuman 10 tahun penjara,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Sementara itu, peguam Latheefa Koya turut menggesa agar hukuman tersebut disemak semula kerana ia “tidak seimbang dengan kesalahan” dan boleh dianggap sebagai “melanggar kedaulatan undang-undang.”

“Terkejut dan tidak pernah terjadi mahkamah menjatuhkan hukuman sepuluh tahun penjara terhadap kesalahan sebegini.

“Dia (yang disabitkan pertuduhan itu) telah mengaku bersalah, (suatu hal) yang perlu diambil kira. Sepuluh tahun berturut-turut tidak seimbang dan perlu disemak semula.

“Ini melanggar kedaulatan undang-undang,” kata beliau yang juga pengarah eksekutif Lawyers for Liberty menerusi laman Twitter.

Walau bagaimanapun, seorang pakar perlembagaan berpandangan bahawa tidak ada keperluan bagi mana-mana pihak untuk mempertikaikan keputusan mahkamah berkenaan.

Menurut Pensyarah Undang-Undang Universiti Islam Antarabangsa (UIA), Profesor Madya Shamrahayu Abd Aziz, hukuman yang dikenakan ke atas pesalah mengikut Seksyen 298A Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 AKMM 1998 sebenarnya adalah hukuman yang paling minimum.

“Hukuman bagi Seksyen 298A Kanun Keseksaan secara umumnya menyatakan, 1 kesalahan tidak boleh kurang dari 2 tahun atau tidak lebih dari 5 tahun. Sekarang ini individu berkenaan dapat 10 tahun 10 bulan.

“Kita sebagai masyarakat perlu memahami undang-undang, kalau hendak kata banyak sangat hukuman, kena tengok juga berapakah kesalahan tertuduh dan ia turut dipersetujui oleh tertuduh. Jumlah keseluruhan adalah 10 kesalahan

“Saya tidak nampak kewajaran mempersoalkan hukuman dikenakan, cumanya persoalan mungkin dibangkitkan sesetengah peguam adalah, kenapa hukuman tersebut dilakukan secara berasingan, mungkin perkara ini yang akan dibawa untuk rayuan,” katanya kepada Free Malaysia Today (FMT).

PENGHINAAN KAUM DAN AGAMA BUKAN ‘KEBEBASAN BERSUARA’

Berdasarkan pemerhatian penulis, tindakan tidak bertanggungjawab sesetengah individu yang menghina sesuatu kaum atau agama di Malaysia dilakukan semata-mata kerana merasakan mereka mempunyai ‘hak untuk bersuara secara bebas’.

Walau bagaimanapun, mereka dilihat gagal memahami maksud dan konteks sebenar ‘kebebasan bersuara’ dan sebaliknya menganggap perbuatan berunsur perkauman, menghina, dan provokasi sebagai ‘hak’ mereka.

Dalam pada itu, Malaysia merupakan sebuah negara yang didiami oleh pelbagai agama, kaum dan budaya yang saling hidup dalam keadaan aman dan harmoni.

Tetapi, tindakan bebas bersuara secara mutlak sehingga sanggup menghina dan tidak memikirkan sensitiviti kaum/agama lain tidak boleh diterima sama sekali.

Selepas mencapai kemerdekaan, negara kita telah mengharungi titik hitam pada 13 Mei 1969, yang menyaksikan rusuhan perkauman sehingga menyebabkan ramai nyawa terkorban.

Adakah kita mahu sejarah gelap itu berulang sekali lagi? Sudah tentu tidak!

Walaupun keadaan masih lagi aman dan terkawal pada masa ini, kes-kes yang berlaku saban hari termasuk rusuhan di Kuil Sri Mahamariamman pada tahun lepas ternyata mencetuskan senario ketegangan kaum yang membimbangkan.

Lebih memburukkan keadaan lagi, rusuhan tersebut menyebabkan kematian seorang anggota bomba, Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim yang berada di tempat kejadian untuk melaksanakan tanggungjawabnya memadam kebakaran.

Belum reda lagi isu rusuhan dan kematian Adib, timbul pula kes-kes individu yang menghina agama di laman media sosial.

Demi menjaga keamanan dan keharmonian daripada terus tergugat, penulis berpandangan bahawa kerajaan mungkin perlu mempertimbang untuk mengembalikan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) atau memperkenalkan undang-undang yang lebih ketat demi memastikan pihak-pihak tertentu tidak mencetuskan ketegangan kaum dengan sewenang-wenangnya, lebih-lebih lagi atas alasan ‘hak kebebasan bersuara.’

Mungkin ISA dilihat kejam dan tidak berperikemanusiaan kerana individu yang disyaki boleh ditahan tanpa bicara buat tempoh tertentu, tetapi kadang kala tindakan keras perlu dilaksanakan untuk mencegah anaman atau insiden lebih besar yang tidak diingini daripada berlaku.

 

*Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili Toodia Dot My*

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button