Sukan

Sempena Kejayaan Beliau, Raja Hassan II Memerintahkan Semua Anak Perempuan Diberikan Nama Sepertinya

Seringkali wanita merasa dirinya didiskriminasi terhadap lelaki dan haknya diketepikan oleh masyarakat malah jika wanita mahu bersukan ada yang tidak bersetuju dengan keadaan ini dan ada yang melibatkan agama sebagai alasan.

Namun Nawal El Moutawakel menepiskan perspektif umum terhadap wanita Islam dalam bersukan.

 

Beliau berkata ‘ajarilah anak kamu’ dan dalam anak, hadirlah lelaki dan perempuan

Beliau yang telah memenangi emas di sukan Olimpik pada tahun 1984 dan menjadi wanita Islam pertama dari Afrika untuk memenanginya telah menegaskan bahawa agamanya tidak pernah menidakkan hak wanita untuk bersaing.

Beliau yang berucap di malam anugerah Laureaus berkata,”Dalam agama saya, wanita tidak pernah menghalang untuk bersaing. Nabi (Muhammad) kami sering kali bersaing dengan isterinya dalam lumba lati dan isterinya sering mengalahkan beliau sehinggalah, isteri beliau mendapati dirinya mengandung, dan dengan itu Nabi telah berjaya mengalahkan isterinya.

Wanita boleh bersaing standing dengan lelaki, oleh itu saya telah membesar dalam lingkungan yang sangat menyokong dan positif sehingga kini dan saya tidak pernah merasakan halangan,” jelas Nawal.

Nawal juga sempat menyelitkan hadis Rasullullah SAW untuk menyokong kata-katanya tentang agama Islam, wanita dan bersukan.

عَلِّمُواأَبْنَاءَكُمُالسِّبَاحَةَوَالرَّمْيَ

Maksudnya: “Ajarlah anak kamu berenang dan memanah”. [Lihat: al-Jami’ al-Saghir (5477)]

“Inilah agama kami. Beliau tidak pernah berkata ajarlah anak perempuan atau ajarlah anak lelaki. Beliau berkata ‘ajarilah anak kamu’ dan dalam anak, hadirlah lelaki dan perempuan,” ujar Nawal.

Nawal El Moutawakel yang juga anggota IOC berbual bersama Sheikh Joaan

‘Zero Menjadi Hero’

Nawal yang kini berusia 56 tahun telah melihatkan 54 saat di pentas Olimpik menukarkan kehidupannya dari ‘zero menjadi hero’.

Larian berpagar 400m yang dimenangi beliau telah melonjakkan kerjayanya menjadi penyelaras sukan dan diangkat menjadi Menteri Sukan sebanyak dua kali di samping menjadi ahli berpengaruh dalam International Olympic Committee (IOC) dan International Association of Athletics Federations (IAAF). 

“Saya menganggap diri saya sebagai contoh kepada pemenang Olimpik yang lain jika berada di rumah di Morocco.

Saya boleh sahaja tinggal dan meneruskan kehidupan saya untuk menikmati kejayaan pada tahun 1984 tetapi saya merasakan ia satu tindakan yang salah.

54 saat itu telah membenarkan saya untuk beredar dari situasi yang gelap menjadi cerah, ia seperti dari zero ke hero dan saya mahu berkongsi setiap detik kenangan tersebut dengan generasi muda,” jelas Nawal.

Ramai Anak Perempuan Dinamakan Sempena Beliau

Kejayaan Nawal El Moutawakel di Los Angeles telah menyebabkan Raja Hassan II memerintahkan setiap gadis yang dilahirkan pada hari tersebut dinamakan sempena namanya sebagai tanda kejayaan dari cabaran yang perlu ditempuhi oleh Nawal sepanjang hidupnya.

Namun Nawal sentiasa berendah diri dengan mengatakan kejayaannya adalah hanya sekadar untuk membuktikan bahawa wanita boleh melakukan lebih dari ‘hanya mencuci pinggan’.

Sokongan Keluarga Penting

Nawal yang juga merupakan ibu kepada seorang anak perempuan bernama Zineb dan seorang lelaki, Roda, berkata kejayaan beliau adalah hasil sokongan kedua ibubapanya terutamanya bapanya yang merupakan pemain professional judo. Manakala ibu Nawal merupakan seorang guru pendidikan jasmani di sekolah menengah.

“Saya tidak pernah merasakan halangan untuk menjadi seorang atlet sehinggalah pada hari saya memenangi pingat pada 8 Ogos 1984 di Sukan Olimpik dan ramai yang bertanyakan kepada saya tentang halangan yang saya lalui untuk memenangi pingat.

Saya bertanya, apakah maksud mereka?,” imbas Nawal yang berasa sedih kerana bapanya, Mohammed tidak dapat melihat kejayaan yang digapainya kerana telah meninggal dunia dalam sebuah kemalangan jalan raya pada awal tahun 1984, seminggu setelah Nawal mendaftarkan diri untuk melanjutkan pelajaran ke sebuah universiti di Amerika Syarikat.

‘Saya Hanya Diajar Untuk Berlari Bukan Untuk Bercakap’

“Semasa saya berlari pada tahun 1984, jurulatih saya (di Universiti Iowa, Ron Renko dan Pat Moynihan) hanya mengajar saya untuk berlari dan mereka tidak pernah mengajar bagaimana untuk bercakap,” kata Nawal.

“Oleh itu apabila saya harus bercakap di hadapan ratusan wartawan yang mahukan saya bersuara, saya hanya mampu berkata ‘saya tidak ada apa untuk kata, saya telah mempertunjukkan prestasi saya’.”

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button