MalaysiaPolitik

Impak Kerjasama UMNO-PAS Kepada PH Dan Politik Negara

Datuk Seri Azmin Ali tiba di Kelantan beberapa hari selepas Umno dan PAS mengumumkan bahawa mereka telah “berkahwin”.

Beliau memberi jaminan kepada kerajaan Kelantan mengenai tuntutan royalti minyak, bercakap mengenai projek persekutuan dan peluang pekerjaan di negeri itu dan menggesa rakyat Kelantan pulag untuk membantu kemajuan negeri.

Beliau bertemu Tengku Mahkota serta Menteri Besar, bersolat di masjid Melor pada hari Jumaat dan juga memandu sendiri untuk memeriksa projek lebuh raya yang sedang dalam pembinaan.

Ia adalah strategi yang baik untuk Azmin berikutan serangan kritikan terhadapnya selepas kekalahan di Semenyih.

Tetapi seperti rakan-rakan dalam Pakatan Harapan, Azmin sebenarnya amat bimbang tentang paksi Melayu baru yang ditubuhkan oleh kerjasama Umno dan PAS.

Alasannya jelas dan mudah, lebih separuh daripada 222 kerusi parlimen adalah kerusi majoriti Melayu di mana Umno dan PAS akan menerima sokongan.

Pengarah Pusat Merdeka, Ibrahim Suffian berkata landskap politik boleh berubah secara dramatik jika pakatan Umno-PAS berterusan dalam pilihan raya umum akan datang.

“Semasa pilihan raya umum lalu (PRU14), PAS dan Umno berjaya menawan kira-kira 75% undi Melayu.

“Pengundi Melayu menyumbang hampir dua pertiga daripada pengundi. Kerjasama antara dua parti Melayu terbesar itu bermakna penyokong teras mereka sendiri adalah lebih daripada dua pertiga daripada pengundi Melayu,” kata Ibrahim.

Beliau menegaskan bahawa kini terdapat sekurang-kurangnya 100 kerusi parlimen yang 70% majoriti Melayu dan dengan mudah boleh ditawan oleh mereka.

Ia juga bermaksud negeri-negeri majoriti Melayu seperti di Perlis, Kedah, Kelantan, Terengganu dan Pahang, di mana orang Melayu membentuk lebih daripada 75% penduduk, akan berada di luar jangkauan Pakatan Harapan.

Selain itu, Kedah dan Perak pula pada dasarnya hanya terselamat untuk menjadi negeri Pakatan kerana beberapa orang ahli Umno keluar parti selepas PRU14 yang lalu.

“Dengan pengecualian Pulau Pinang, semua negeri semenanjung yang kini dipegang oleh Pakatan, termasuk Selangor, adalah dalam bahaya,” kata Ibrahim.

Satu senarai 50 kerusi parlimen yang berada di bawah Pakatan yang akan jatuh kepada gabungan PAS dan Umno telah tersebar dalam kalangan penganalisis politik.

Hujahnya ialah undi gabungan PAS dan Umno dalam 50 kerusi ini jauh lebih besar daripada undi yang diperoleh oleh calon Pakatan dalam PRU14.

Kerusi-kerusi ini termasuk yang dipegang oleh menteri-menteri dan timbalan menteri-menteri seperti Datuk Seri Mukhriz Mahathir, Datuk Mahfuz Omar, Datuk Saifuddin Nasution, Fuziah Salleh, Datuk Dr Mujahid Yusof dan Datuk Seri Rina Harun.

Menurut Pengarah Strategi KRA, Amir Fareed Rahim, pakatan Umno-PAS tidak akan mendapat liputan nasional kerana formula itu tidak mungkin dijual di Sabah dan Sarawak.

Bagaimanapun, kata Amir, negeri-negeri Pakatan seperti Kedah dan Perak, di mana PAS dan Umno mempunyai kehadiran yang kuat, akan berada dalam bahaya.

“Negeri Sembilan, Melaka dan Johor juga boleh berada dalam bahaya untuk Pakatan terutamanya jika Umno berusaha lebih keras. Tetapi PAS dilihat tidak boleh membantu meningkatkan Umno dalam kawasan ini,” kata Amir.

Paksi Melayu baru di bawah kerjasama Umno-Pas adalah ancaman yang jelas kepada Pakatan yang kini menghadapi hakisan sokongan orang Melayu.

Pemimpin-pemimpin Pakatan telah mengecam kerjasama terbabit sebagai satu langkah yang bersifat perkauman.

Tetapi pemimpin Umno mengatakan mereka tidak mempunyai pilihan. Mereka telah dibuang oleh orang bukan Melayu dalam dua PRU dan mereka memerlukan sekutu baru untuk bertahan dalam PRU seterusnya.

Reaksi dari beberapa pemimpin Pakatan agak emosional, dengan beberapa mengatakan ia seolah-olah “mengisytiharkan perang ke atas orang bukan Melayu” dan menyamakannya dengan “dasar bumi hangus”.

“Permainan politik kini telah berubah dan Pakatan jelas bimbang. PAS berimpian untuk menjadi “kingmaker” dan kita sedang melihatnya sekarang. Malah Tun Dr Mahathir Mohamad sendiri mahu sokongan PAS,” kata pengulas politik Dr Azmi Omar.

Pemimpin Pakatan, kata Amir, menyedari kesan sokongan Melayu yang semakin berkurangan dan mereka perlu menggandakan usaha untuk meraih kepercayaan.

Semua ini membina trend yang sangat buruk di mana kita akan menyaksikan sebuah gabungan pemerintah yang didominasi oleh orang bukan Melayu di satu pihak dan pembangkang yang didominasi orang Melayu di pihak yang lain.

Setiap isu akan cenderung melibatkan perkauman dan agama kerana PAS cenderung meletakkan hujah Islam mengenai setiap isu.

Bersama-sama, PAS dan Umno akan menjadi suara Melayu yang sangat kuat dan berpengaruh.

Pakatan PAS-Umno tidak lama lagi akan menjalani ujian di Rantau, yang merupakan kerusi campuran yang akan menguntungkan Pakatan sebelum undi Melayu dikuasa oleh kerjasama pembangkang.

Melayu terdiri daripada 54% daripada pengundi, India 27% dan Cina 19%.

Penganalisis telah meramalkan satu lagi kemenangan untuk Umno tetapi pilihan raya kecil akan mencabar untuk kedua-dua belah pihak kerana suasana bukan Melayu masih lagi pro-Pakatan.

Adakah Malaysia dalam perjalanan untuk menjadi sebuah negara yang berpecah berdasarkan perkauman memandangkan berlakunya penjajaran kaum dalam politik kebangsaan?

“Bangsa dan agama mungkin akan menjadi sebahagian daripada retorik PAS dan Umno. Mudah-mudahan, Pakatan tidak akan tergoda untuk mengalahkan mereka menggunakan retorik yang sama. Melawan api dengan api tidak akan membuahkan hasil yang baik,” kata Amir. – The Star

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button