AntarabangsaIsu Semasa

Dalam 4 Bulan, Dua Pesawat Boeing 737 Max 8 Telah Terhempas. Apa Terjadi Sebenarnya?

Pada Ahad, 10 Mac 2019, pesawat Ethiopian Airlines ET302 yang dalam perjalanan dari Addis Ababa ke Nairobi telah terhempas 6 minit setelah berlepas.

Insiden ini telah mengorbankan kesemua 149 penumpang dan 8 anak kapal yang berada di dalam pesawat.

Setakat ini, masih tiada maklumat terperinci berhubung nahas itu, namun menurut Ethiopian Airlines, juruterbang yang membawa pesawat tersebut bernama Kapten Yared Getachew adalah seorang yang berpengalaman dan mempunyai rekod penerbangan cemerlang.

Walau bagaimanapun, beliau melaporkan berlakunya kesulitan dan telah diminta untuk berpatah balik.

Rekod keselamatan penerbangan Afrika tidak pernah baik, namun Ethiopia dianggap sebagai pengecualian.

Pakar-pakar teknikal dari Boeing kini bersiap sedia untuk siasatan antarabangsa terhadap kemalangan yang melibatkan penumpang dari sekurang-kurangnya 32 negara.

Sebelum ini, berlaku insiden nahas pada hujung bulan Oktober tahun lalu yang membabitkan pesawat Lion Air 610.

Pesawat itu dilaporkan hilang dari radar 13 minit sejurus selepas berlepas dari Jakarta, dan kemudian menjunam ke Laut Jawa di pantai utara Indonesia sekali gus mengorbankan kesemua 189 penumpang di dalamnya.

MODEL BARU BOEING 737 MAX 8 PUNCA KEMATIAN?

Lebih membimbangkan lagi, kedua-dua pesawat Lion Air dan Ethiopian Airlines menggunakan model yang sama, iaitu Boeing 737 Max 8.

Yang menjadi persoalan sekarang, adakah nahas yang berlaku berpunca daripada masalah teknikal model baru Boeing itu?

Difahamkan, Boeing 737 Max 8 adalah pesawat baru yang didaftarkan pada November lepas. Lebih daripada 300 model itu sedang digunakan dan lebih daripada 5,000 telah ditempah di seluruh dunia sejak tahun 2017.

737 merupakan pesawat yang paling laris dijual dalam sejarah dan mempunyai keupayaan  untuk terbang secara autonomi. Max 8 adalah varian terbaru 737.

Tetapi, penerbangan autonomi boleh mendatangkan pelbagai masalah. Juruterbang di seluruh dunia berang apabila mendapat tahu bahawa pengubahsuaian ke atas sistem “auto pilot” Max 8 tidak diberitahu kepada juruterbang yang berkaitan.

Malah, juruterbang-juruterbang juga tidak diarahkan untuk menjalani sebarang latihan bagi menyesuaikan diri dengan sistem baru itu

Pesawat baru ini akan mengimbangi secara automatik jika ia percaya sudutnya berada dalam keadaan berisiko untuk terhenti. Ia merupakan ciri keselamatan yang sedikit berbeza dengan pesawat 737 yang biasa digunakan.

Berdasarkan kotak hitam Lion Air, juruterbang pesawat 610 mengalami kesukaran ketika berdepan isu tersebut.

Walau bagaimanapun di dalam kemalangan penerbangan terdahulu termasuklah kemalangan AirFrance 447 di Atlantik Selatan, ia telah menunjukkan bahawa sensor sistem komputer pesawat mampu tidak berfungsi dan jika juruterbang yang terlalu yakin dengan teknologi tersebut, pasti akan bingung sekiranya berlaku masalah .

Industri penerbangan dengan bangganya menyatakan bahawa ia lebih selamat berbanding sebelum ini dan Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa melaporkan tiada kemalangan yang melibatkan jet penumpang komersial moden selama beberapa dekad.

Turboprops dan pesawat kargo lama mungkin gagal, tetapi kemalangan pesawat dianggap sebagai satu perbuatan yang disengajakan seperti serangan pengganas, juruterbang yang membunuh diri, tembakan peluru berpandu Rusia – atau, dalam kes MH370, tidak dapat dijelaskan.

Mana-mana maklumat yang muncul dari kes Ethiopia mungkin tiada kaitan langsung dengan masalah di Lion Air atau 737 yang baru. Boeing dan Pihak Berkuasa Penerbangan Persekutuan berharap ia tidak disebabkan olehnya.

Jadi fakta yang mengatakan pesawat baru adalah lebih selamat mungkin tergugat.

TUNTUTAN INDONESIA

Dalam pada itu, satu tuntutan saman telah difailkan oleh kira-kira 30 saudara mara salah seorang mangsa bernama Sudibyo Onggo Wardoyo dari Jakarta, Indonesia, kerana mahu Boeing bertanggungjawab ke atas nahas yang telah berlaku.

Tuntutan tersebut mendakwa bahawa pengeluar pesawat itu adalah “berbahaya secara tidak munasabah”, dan sistem keselamatan Max 8 dipasang secara tidak wajar, dan juruterbang juga tidak diberi arahan secukupnya oleh Boeing bagaimana untuk memberi tindak balas (jika berlaku kesulitan berkaitan sistem baru).

Mereka turut mendakwa bahawa kesilapan Max 8 menjadi “punca kematian.”

“Bukan sahaja Boeing meletakkan pengesan yang menyediakan data tidak tepat, ia juga gagal menyediakan arahan mencukupi kepada juruterbang pesawat.

“Ia seperti Boeing menutup mata dan kemudian mengikat tangan juruterbang untuk kali pertama,” kata peguam keluarga itu, Thomas Demetrio dalam satu kenyataan.

CHINA TANGGUH PENGGUNAAN MAX 8

Susulan insiden nahas Ethiopian Airlines, Pentadbiran Penerbangan Awam China telah mengarahkan semua syarikat penerbangan tempatan menangguhkan operasi komersil bagi Boeing 737 Max 8 berkuatkuasa mulai Isnin, 11 Mac 2019 pada jam 6 petang.

Difahamkan, China memiliki 60 pesawat model Max 8.

Arahan tersebut dikeluarkan selaras dengan “prinsip pihak pengurusan yang tidak bertoleransi terhadap sebarang risiko keselamatan,” memandangkan kemalangan membabitkan Ethiopian Airlines adalah insiden yang kedua selepas Lion Air.

Sementara itu, Cayman Airways berkata, ia sudah menangguhkan buat sementara waktu operasi dua pesawat Max 8 yang dimilikinya.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Fabian Whorms mengakui bahawa punca nahas Ethiopian Airlines masih tidak jelas, tetapi pihaknya tetap melaksanakan langkah sewajarnya kerana komited mendahulukan “keselamatan penumpang dan anak kapal.”

MALAYSIA TIDAK MENGGUNAKAN MAX 8 PADA MASA INI

Malaysia Airlines mahu mencari butiran teknikal lebih lanjut mengenai pesawat Max 8 daripada Boeing susulan nahas pesawat Ethiopian Airlines.

Menurut syarikat penerbangan itu, ia masih terlalu awal untuk membuat sebarang kenyataan berhubung insiden terbabit memandangkan punca kejadian masih belum diketahui.

“Kami bagaimanapun, menulis kepada Boeing, mendapatkan lebih banyak butiran teknikal sebelum penghantaran daripada tempahan kami yang dijangka pada 2020,” menurut Malaysia Airlines dalam satu kenyataan kepada The Star.

Jelas Malaysia Airlines, ia tidak beroperasi dengan mana-mana pesawat Max 8 pada masa ini.

Pada tahun 2016, syarikat itu mengumumkan satu perjanjian bernilai AS$5.5 bilion (RM22.5 bilion) yang membabitkan pembelian 50 pesawat Max.

Sumber: The Guardian, Time, The Star

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker