AntarabangsaIsu Semasa

Singapura Ingin Beli F-35 Kerana Tidak Percaya Dengan ‘Jaminan’ China Di Laut China Selatan?

Singapura berhasrat untuk menjadi negara sekutu Amerika Syarikat (AS) yang keempat untuk memiliki jet pejuang generasi kelima canggih AS, F-35.

Ketika berucap di Parlimen pada minggu lepas, Menteri Pertahanan Singapura, Ng Eng Hen mengumumkan rancangan negara itu untuk membeli 12 buah F-35 daripada AS.

Ng berkata, pentadbiran Presiden Donald Trump dan Pentagon bersetuju dengan urus niaga berkenaan, namun ia masih memerlukan kelulusan daripada Kongres.

Dalam pembentangan menteri pertahanan itu, ia menyatakan bahawa “Angkatan Tentera Generasi Baru Singapura akan menjadi lebih berbahaya dalam semua aspek.”

Pembentangan itu juga memaparkan peralatan-peralatan ketenteraan lain yang ingin dimiliki oleh Singapura menjelang tahun 2030 dalam usaha meningkatkan keupayaan ketahanannya.

Selain daripada mahu meningkatkan keupayaan pertahanan, apakah sebab lain yang mendorong Republik itu untuk membeli F-35?

Menurut penganalisis, keputusan Singapura untuk memiliki pesawat tempur halimunan itu merupakan petunjuk bahawa terdapat kebimbangan yang semakin meningkat di dalam Asia berhubung “cita-cita serantau China.”

“Singapura mungkin tidak mempercayai jaminan China bahawa tuntutannya ke atas Laut China Selatan adalah berniat baik, tanpa sebarang niat ketenteraan, dan tidak akan membawa kepada China menguasai perdagangan udara dan laut,” kata Carl Schuster, bekas pengarah operasi di US Pacific Command’s Joint Intelligence Center. 

Difahamkan, China telah menuntut hampir kesemua Laut China Selatan yang mempunyai keluasan 1.3 juta kilometer persegi sebagai kedaulatan wilayahnya.

Washington juga aktif dalam mencabar Beijing dengan menghantar kapal perang dalam operasi kebebasan navigasi di sekitar kepulauan yang dituntut oleh China, dan kadang kala juga menghantar pesawat pengebom untuk terbang di sekitar Laut China Selatan.

Apabila Singapura memperoleh F-35, ia akan menyertai sekutu-sekutu AS seperti Australia, Jepun dan Korea Selatan dalam mengendalikan jet itu di Pasifik.

“Beijing perlu melihat perkembangan ini bahawa terdapat permintaan yang kuat di rantau Asia Pasifik terhadap kehadiran AS,” kata Timothy Heath, penganalisis kanan pertahanan di RAND Corp.

“Rangkaian pasukan udara yang menggunakan F-35 meluaskan lagi kemungkinan bahawa tentera-tentera ini boleh bekerjasama sebaga satu gabungan jika perlu.

“Ini boleh memberi mesej yang kuat kepada China mengenai ‘tingkah lakunya’ di Laut China Selatan dan Timur,” ujar Heath.

Walaupun pembelian F-35 oleh Singapura menghantar satu mesej yang kuat kepada China, penganalisis berpandangan bahawa Singapura menyampaikannya secara berhati-hati.

Menteri Pertahanan tidak menyebut China ketika mendedahkan rancangan untuk membeli jet itu pada minggu lepas.

Di dalam pembentangannya, beliau hanya menyatakan bahawa jet itu akan meningkatkan keupayaan untuk melindungi keselamatan dan kedaulatan Singapura.

“Walaupun menjalinkan hubungan yang baik bersama AS, Singapura secara umumnya berat hati untuk memainkan peranan kepimpinan dalam mencabar kuasa China kerana saiznya yang kecil dan juga mempunyai hubungan ekonomi bersama China,” jelas Heath lagi.

Sementara itu, Schuster turut menambah bahawa:

“Singapura tidak mahu mencetuskan kemarahan China…Singapura cenderung bertindak secara senyap dan secara halus.”

Jelas Schuster lagi, Singapura melihat peranannya sebagai fasilitator keselamatan dan kestabilan serantau, dan bukan sebagai anggota mana-mana perikatan yang menyasarkan mana-mana negara secara khusus.
Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker