Hiburan

Gadis Punjabi Dimahkotakan Sebagai Miss Universe Malaysia 2019

Gadis manis berketurunan Punjabi, Shweta Sekhon, 22 tahun, telah dinobatkan sebagai penyandang Miss Universe Malaysia untuk tahun ini.

Menerusi acara yang berlangsung di Majestic Hotel, Kuala Lumpur itu, Shweta mengenepikan saingan daripada 18 peserta lain yang turut sama mempamerkan kehebatan dan kebolehan mereka yang tersendiri.

Tempat kedua, ketiga dan keempat disandang oleh Yaw Hui Jing yang berusia 25 tahun, Tessminderjit Kaur yang berusia 23 tahun dan Lee Su Hsien, 25 tahun.

Image result for shweta sekhon miss universe malaysia 2019

Menerusi akaun Instagram rasminya, Shweta meluahkan rasa terharunya terhadap kepercayaan dan kemenangan yang diperoleh kali ini.

Gadis itu juga mengucapkan terima kasih kepada mentornya, pelakon dan pengacara TV Elain Daly, keluarga, rakan dan peminat untuk semua sokongan yang diterima sepanjang perjalanan untuk bergelar Miss Universe Malaysia.

Kemenangan gadis kelahiran Kuala Lumpur ini menepati ramalan ramai kerana kepetahannya dalam menjawab soalan juri disertakan dengan aura hebatnya sewaktu berada di atas pentas.

Malah, ada yang mencadangkan supaya pihak organisasi menghantarnya untuk mengikuti kursus di Filipina yang terkenal dengan kualiti dan populariti dalam menggilap bakat ratu cantik sehingga melahirkan beberapa pemenang Miss Universe dalam edisi sebelum ini.

Miss Universe Malaysia yang baru ini sudah bersedia untuk memberi inspirasi kepada generasi muda supaya tidak mudah berputus asa pada impian mereka.

“Misi saya sebagai Miss Universe Malaysia adalah untuk membina keyakinan diri dan meningkatkan harga diri semua wanita muda untuk bersatu dan bangga dengan diri sendiri,” kata gadis berketinggian 172cm itu.

“Saya ingin mengingatkan mereka bahawa wanita mampu melakukan lebih banyak perkara tidak kira apa halangan, rintangan dan cabaran yang terpaksa dihadapi.”

Merupakan seorang model fesyen sambilan, Shweta yang juga merupakan penyandang Miss World Malaysia untuk edisi 2016, akan mewakili negara dalam pertandingan Miss Universe 2019 di Korea Selatan.

Apabila ditanya tentang rancangannya untuk pertandingan Miss Universe, Shweta berkata dia komited untuk memperbaiki diri dan bersedia untuk acara antarabangsa yang akan dijalankan pada tahun ini.

Bersama gelaran itu, Shweta membawa pulang mahkota Habib Jewels bernilai RM2.38 juta, wang tunai dan hadiah tajaan dengan nilai gabungan RM180,000 dan biasiswa pendidikan penuh dari HELP University.

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button