AntarabangsaIsu Semasa

Betul Ke Menteri Pelancongan Benar-Benar Maksudkan Gay “Tidak Wujud” Di Malaysia?

Awal minggu ini, media Jerman, Deutsche Welle mendakwa bahawa Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Malaysia, Datuk Mohamaddin Ketapi menyatakan komuniti Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender (LGBT) tidak wujud di Malaysia.

“Saya tidak fikir ada perkara seperti itu (LGBT) di negara kami,” katanya ketika memberi respon sama ada Malaysia menerima kedatangan pelancong gay selepas majlis pembukaan Pameran Pelancongan Antarabangsa Bourse (ITB) Berlin.

Sehubungan dengan itu, beliau juga dikatakan mengelak soalan berhubung keselamatan LGBT di apabila ditanya oleh wartawan Deutsche Welle.

AHLI POLITIK JERMAN BANTAH PENGLIBATAN MALAYSIA

Mana-mana pihak yang dilihat tidak menyokong gaya hidup LGBT atau mengecam kekejaman yang dilakukan oleh Israel pasti secara automatik akan dilabel sebagai ‘homofobik’ dan ‘anti-semitik.’

Pendirian tegas Malaysia dalam isu homoseksual dan tindakan mengharamkan atlet Israel daripada bertanding dalam sebuah acara renang antarabangsa telah menerima kritikan hebat oleh pihak Barat.

Menurut aktivis hak asasi gay, Thilaga Sulathireh, kenyataan yang dikeluarkan oleh Mohamaddin “sangat aneh dan terputus daripada realiti.”

Ahli Politik parti German Green, Volker Beck pula membantah penglibatan Malaysia dalam acara di Berlin itu yang merupakan salah satu expo pelancongan yang terbesar di dunia.

Ujar Beck, kerajaan Malaysia mempunyai dasar-dasar khusus yang bersifat “diskriminasi kepada golongan gay dan Yahudi.”

“Negara yang mengamalkan homofobia dan anti-semitisme tidak boleh menjadi negara rakan kongsi,” katanya.

KEDAULATAN MALAYSIA PERLU DIHORMATI

Tetapi, adakah kenyataan Mohamaddin itu benar-benar bermaksud beliau menafikan atau tidak tahu akan kewujudan LGBT di Malaysia seperti yang didakwa media asing?

Sebenarnya, situasi ini dilihat lebih kepada salah faham atau sikap terlalu ‘cepat melenting’ pihak-pihak tertentu apabila bercakap tentang isu-isu sensitif seperti LGBT.

Difahamkan, Mohamaddin kemudian menerusi laman Twitter menjelaskan bahawa respon beliau kepada soalan yang diajukan oleh wartawan berkenaan sebenarnya merujuk kepada ketidakwujudan kempen khusus yang memberi fokus terhadap pelancong LGBT di negara ini.

Tambah beliau, Malaysia mengamalkan dasar terbuka dalam mengalu-alukan kedatangan pelancong asing ke negara ini dan “tidak akan sesekali menghalang kedatangan tetamu berdasarkan orientasi seksual, agama, atau budaya” mereka.

Namun ujar Mohamaddin, Malaysia sebagai sebuah negara yang berdaulat, mempunyai pandangannya tersendiri berhubung komuniti LGBT dan Israel, sambil menegaskan bahawa kedaulatan Malaysia juga perlu dihormati oleh negara-negara lain.

Pegawai menteri kemudian menjelaskan bahawa kenyataan tersebut dikeluarkan atas kapasiti peribadi Mohamaddin, tetapi ia selaras dengan pendirian kerajaan Malaysia yang tidak mengiktiraf golongan LGBT.

“Pelancong yang datang ke Malaysia seperti negara-negara lain dialu-alukan tanpa mengira agama, seksualiti, atau warna kulit,” tambah pegawai itu.

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker