Isu SemasaTempatan

Malaysia Telah Menandatangani Statut Rom Mahkamah Jenayah Antarabangsa, Tetapi…

Baru-baru ini, Malaysia telah menandatangani surat cara untuk menyertai Statut Rom Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC).

Menurut kenyataan Wisma Putra, Surat Cara penerimaan Statut Rom ICC telah ditandatangani oleh Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah pada Isnin 4 Mac 2019, di mana surat tersebut kemudian diserahkan kepada Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

“Penerimaan Malaysia kepada Statut Rom itu mencerminkan komitmennya dalam memerangi jenayah antarabangsa untuk keamanan dan keselamatan global,” kata Wisma Putra.

Wisma Putra turut menyatakan bahawa Saifuddin telah memaklumkan keputusan Kabinet untuk menerima Statut Rom ICC kepada Yang di-Pertuan Agong (YDPA), Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada 15 Februari 2019.

Walau bagaimanapun, terdapat kebimbangan bahawa penyertaan Malaysia sebagai ahli Statut Rom mendatangkan implikasi terhadap kedudukan YDPA sebagai Ketua Negara dan Panglima Tertinggi Angkatan Tentera Malaysia seperti yang termaktub di bawah Perkara 32 (1) dan 42 Perlembagaan Persekutuan.

APA ITU STATUT ROM?

Dr Fareed Mohd Hassan, Pensyarah Kanan di Fakulti Syariah dan Undang-Undang, Universiti Sains Islam Malaysia, menerusi penulisannya di ProjekMM berjudul “Statut Rom gugat kuasa Agong” menjelaskan, Statut Rom merupakan satu perjanjian di peringkat antarabangsa yang telah dipersetujui oleh wakil-wakil negara di dunia pada Julai 1998 dan kemudian dikuatkuasakan pada Julai 2002 bagi penubuhan Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC), yang berpangkalan di The Hague, Belanda.

Beliau berkata, Perkara 6 sehingga 8 yang termaktub di bawah statut tersebut memperuntukkan bidang kuasa ICC bagi mendengar dan memutuskan kes-kes jenayah membabitkan:

1. Pembunuhan beramai-ramai (Genocide)

2. Jenayah terhadap kemanusiaan (Crimes against humanity)

3. Jenayah perang (War crimes)

4. Jenayah pencerobohan (Crimes of aggression)

“Antara aspek-aspek penting yang perlu diberikan perhatian yang mendalam sebelum menjadi sebuah negara anggota atau ahli Statut Rom ialah Perkara 27, Perkara 28(a), Bahagian Kesembilan serta Perkara 120 Statut Rom.

“Perkara 27 dan Perkara 28 Statut Rom memperuntukkan bahawa ketua negara dan komander tentera adalah tertakluk kepada bidang kuasa ICC jika mana-mana jenayah tersebut dilakukan oleh mana-mana orang bawahan atau pihak berkuasa negara tersebut,” katanya.

Selain itu, sebarang bentuk imuniti atau kekebalan yang diperuntukkan kepada Ketua Negara dan Komander Tentera juga tidak akan terpakai sekiranya mereka dibicarakan di ICC.

Ini adalah kerana pihak berkuasa tempatan atau mahkamah dalaman sesebuah negara ahli tidak mampu atau tidak mahu menyiasat atau mendengar dan memutuskan kes-kes terbabit dengan jenayah-jenayah tersebut.

Oleh itu kata Fareed, ICC akan meminta pihak berkuasa negara berkenaan untuk bekerjasama bagi menangkap dan menyerahkan mereka yang telah melakukan jenayah tersebut, termasuk Ketua Negara dan Komander Tentera seperti yang termaktub di dalam Bahagian Kesembilan Statut Rom.

“Tidak seperti perjanjian-perjanjian antarabangsa yang lain yang memperuntukan bahawa sesebuah negara ahli boleh menghadkan pemakaian beberapa peruntukan didalam negara mereka, Perkara 120 Statut Rom secara jelas tidak membenarkan mana-mana peruntukan yang termaktud didalam Statut Rom dihadkan penggunaannya didalam negara ahli.”

“Ini bermakna, Perkara 27, 28(a) dan Bahagian Kesembilan Statut Rom akan dikuatkuasakan sepenuhnya oleh negara Ahli,” ujar beliau.

KEDUDUKAN ISTIMEWA YDPA AKAN TERGUGAT

Walaupun Malaysia mempunyai Mahkamah Khas bagi mendakwa YDPA atau Raja-Raja Melayu lain bagi jenayah termasuk kesalahan atau saman sivil, terdapat beberapa halangan dan implikasi yang ada dari segi perundangan untuk membicarakan mereka bagi sebarang pertuduhan.

“Sebarang tindakan atau pertuduhan jenayah (atau saman sivil) keatas Agong (atau mana-mana Raja Melayu) hanya boleh dilakukan jika mendapat persetujuan awal daripada Peguam Negara seperti yang termaktub dibawah Perkara 183 Perlembagaan Persekutuan,” jelas Fareed.

Tetapi pada masa yang sama, beliau berkata bahawa pertuduhan jenayah atau saman sivil ke atas YDPA atau mana-mana Raja Melayu hanya boleh dilaksanakan atas kapasiti persendirian dan bukan atas kapasiti jawatan rasmi mereka.

Sejak Mahkamah Khas tersebut ditubuhkan pada 1993, kes-kes yang telah dihadapkan adalah berkenaan tuntutan sivil sama ada ke atas Agong atau mana-mana Raja-Raja Melayu yang lain.

Tambah Fareed, ini adalah kerana YDPA atau mana-mana Raja Melayu akan kehilangan kedudukan mereka sebagai Agong dan raja pemerintah bagi negeri-negeri di dalam Persekutuan jika disabitkan dengan mana-mana kesalahan jenayah.

“Justeru, kekebalan Seri Paduka Baginda (dan Kebawah Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu yang lain) atas kapasiti atau jawatan rasmi adalah tidak tergugat.

“Jika ini berlaku, pihak berkuasa tempatan atau mahkamah dalaman negara ini akan dilihat sebagai tidak mampu atau tidak mahu (unable or unwilling) untuk menyiasat atau mendengar dan memutuskan kes-kes berkenaan dengan jenayah-jenayah tersebut,” katanya.

Namun di bawah Statut Rom, Malaysia akan diminta oleh ICC untuk menangkap dan menyerahkan Ketua Negara dan Panglima Tertinggi Angkatan Tentera Malaysia, seperti yang terjadi kepada Presiden Sudan dan Libya.

“KEDUDUKAN RAJA-RAJA MELAYU MUNGKIN TIDAK RELEVAN LAGI”

Sementara itu, isu Statut Rom ini turut mengundang reaksi daripada pelbagai pihak, termasuk Tunku Mahkota Johor (TMJ), Duli Yang Amat Mulia Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim.

Baginda menerusi laman Twitter telah ditanya oleh akaun Friends of Johor, adakah kedaulatan Raja-Raja Melayu tergugat susulan tindakan kerajaan menandatangnai Statut Rom.

TMJ kemudian memberi respon tersebut:

Jelas baginda, kedudukan Raja-Raja Melayu mungkin tidak lagi relevan selepas ini selain daripada kedaulatan Raja-Raja yang turut akan tergugat akibat penandatanganan Statut Rom.

Tambahnya, hal ini sekali gus akan memberi kesan kepada kedudukan orang Melayu dan agama Islam di Malaysia.

NEGARA-NEGARA LAIN YANG MEMPUNYAI SISTEM BERAJA TIDAK SERTAI STATUT ROM

Fareed berkata, negara-negara lain yang mengamalkan sistem pemerintahan beraja atau Raja berperlembagaan seperti Brunei, Thailand, Oman, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Qatar dan lain-lain tidak menjadi ahli Statut Rom.

Maka, beliau berpandangan bahawa tindakan Malaysia menandatangani Statut Rom pada masa ini adalah tidak wajar.

“Ini kerana beberapa undang-undang, terutama Perlembagaan Persekutuan harus diperhalusi dan dipinda sebelum Malaysia menjadi negara ahli kepada Statut Rom ini bagi mengelakkan sebarang ketidakmampuan atau ketidakmahuan Malaysia bagi menangani jenayah-jenayah tersebut dalam negara, terutama bagi memelihara kedudukan dan keistimewaan Seri Paduka Baginda (dan Kebawah Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu yang lain),” tegasnya.

PENYERTAAN MALAYSIA SELARI DENGAN DASAR KERAJAAN ‘MALAYSIA BARU’

Namun, Kementerian Luar Negeri dalam satu siaran akhbar yang diterbitkan pada Ahad, 10 Mac 2019 menjelaskan bahawa keputusan kerajaan untuk menyertai Statut Rom adalah selari dengan dasar kerajaan ‘Malaysia Baru’ yang menegakkan prinsip kebenaran, hak-hak kemanusiaan, kedaulatan undang-undang, keadilan, tadbir urus yang baik, integriti dan kebertanggungjawaban.

Kementerian itu turut berkata, perkara ini telah pun dikaji secara mendalam sebelum sebarang keputusan dibuat mengenainya, termasuk menjamin kedudukan dan kekebalan YDPA.

“Keputusan dibuat setelah Kerajaan yakin bahawa kedudukan dan kekebalan SPB Yang di-Pertuan Agong tidak akan terjejas.

“Perkara 40 Perlembagaan Persekutuan jelas menyatakan bahawa SPB Yang di-Pertuan Agong membuat sesuatu keputusan di atas nasihat YAB Perdana Menteri atau Jemaah Menteri. YB Menteri Luar Negeri juga telah menyembahmaklum perkara ini kepada PB Yang di-Pertuan Agong dan memberi penerangan tentang hasrat kerajaan untuk menyertai Statut Rome pada 15 Februari 2019,” ujar kementerian tersebut lagi.

*Artikel dikemas kini 11 Mac 2019*

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker