Isu SemasaPolitikTempatan

Betul Ke Ramai Orang Tak Setuju Anwar Jadi PM?

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, telah berjanji  untuk  menyerahkan tanggungjawab sebagai Perdana Menteri Malaysia kepada bekas anak didiknya, Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas tempoh dua tahun.

Namun belum sampai tempoh dua tahun, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Uban, Kumaresan Aramugam telah mengeluarkan kenyataan bahawa , Anwar perlu diangkat sebagai PM dengan segera untuk meraih semula kepercayaan rakyat berikutan kekalahan berterusan Pakatan Harapan (PH) dalam beberapa Pilihan Raya Kecil (PRK).

Tegas Kumaresan, kekalahan terbaru PH dalam PRK Semenyih pada Sabtu lalu berpunca daripada kelemahan pakatan itu sendiri, sambil merujuk kepada kegagalan menunaikan janji-janji utama di dalam manifesto.

Oleh itu, beliau mendakwa bahawa pelantikan Anwar sebagai PM pada masa ini akan membantu PH memenangi semula keyakinan rakyat.

Kain rentang “Mahathir Letak Jawatan!!!” di jejantas Jalan Bangsar – Sumber: Utusan Online

Malah terdapat golongan yang berani menaikkan kain rentang dengan tulisan “Mahathir letakkan jawatan!!” di beberapa lokasi termasuk jejantas Jalan Bangsar, dan berhampiran Taman Permata di Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2), berdekatan pasar raya besar Giant.

Walau bagaimanapun, ramai juga pihak mempersoalkan adakah Anwar benar-benar layak dan memenuhi kriteria untuk menjadi pemimpin tertinggi Malaysia?

ANWAR MEMPUNYAI KELAYAKAN, TETAPI…

Menurut pakar Politik Baru dan Pilihanraya, Keselamatan Politik, Keselamatan Alam Sekitar, Profesor  Madya Dr. Mohd Rizal Mohd Yaakop dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu sudah mempunyai kelayakan dan pengalaman yang sewajarnya dalam arena politik, tetapi perlu memberi peluang kepada Dr Mahathir untuk melaksanakan janji-janji yang terkandung di dalam manifesto PH terlebih dahulu.

“Kelayakan Anwar Ibrahim sudah semestinya ada…pengalaman beliau dalam arena politik Malaysia ini – kita lihat beliau ‘keluar masuk penjara’ menjadi pengajaran kepada masyarakat untuk menilai sama ada beliau berkemampuan atau tidak untuk mengemudi politik Malaysia.

“Cuma sekarang ini Mahathir masih PM Malaysia, dan kita perlu memberi peluang kepada beliau untuk membuktikan apa sahaja yang dikatakan dalam manifesto PH, walaupun ia akan mengambil masa yang agak lama,” katanya dalam satu temubual bersama Toodia Dot My.

Dr. Rizal berpandangan bahawa waktu yang terbaik untuk Anwar mengambil alih tampuk kepimpinan ialah dalam tempoh dua atau tiga tahun lagi.

“Sekiranya sekarang ini Anwar jadi PM, sudah tentu banyak halangan yang akan dihadapi oleh beliau, tambah lagi daripada PKR sendiri atau PH,” jelas beliau.

Halangan untuk menjadikan Anwar sebagai PM ke-8 sudah mula terlihat apabila ramai anggota Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) turut menggesa Tun Dr Mahathir agar terus memerintah untuk satu penggal yang penuh (5 tahun) ketika perhimpunan agung tahunannya pada Disember 2018.

Malah menurut Anwar sendiri, terdapat beberapa unsur di dalam PH yang tidak bersetuju dengan pelantikannya sebagai PM ke-8.

 “Apa yang saya kata ialah anda tidak boleh menafikan beberapa unsur yang ‘tidak bersetuju’. Itu proses demokratik,” katanya.

Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil juga tidak menolak kemungkinan ada sesetengah pemimpin dalam parti itu sendiri yang membantah Anwar menjadi pemimpin negara.

“Saya sendiri tidak pernah buat bancian untuk kenal pasti siapa dan berapa ramai (tidak setuju Anwar sebagai perdana menteri), tapi kalau presiden PKR beranggapan sedemikian, saya percaya ada kemungkinan ia berlaku.

“Kemungkinan itu ada (pemimpin PKR dan parti komponen PH) tidak bersetuju,” ujar Fahmi.

 

 APA KATA NETIZEN?

Hasrat Dr Mahathir untuk menyerahkan kuasa kepada Anwar telah mengundang pelbagai reaksi daripada rakyat Malaysia.

Awal minggu ini, Toodia Dot My telah melakukan tinjauan pendapat atas talian di laman Facebook untuk mengetahui sama ada rakyat Malaysia bersetuju atau tidak jika Anwar diangkat menjadi perdana menteri menggantikan Mahathir dalam masa terdekat ini.

Berdasarkan keputusan, 69% pengguna tidak setuju jika Anwar mengambil alih jawatan Perdana Menteri daripada Dr. Mahathir dalam masa terdekat, dan hanya 31% sahaja yang bersetuju.

Tinjauan pendapat tersebut membabitkan seramai 261 orang responden.

Malah, ada juga beberapa pengguna di ruang komen yang menyatakan bahawa mereka tidak mahu Anwar dan Mahathir untuk memegang jawatan itu.

KEKEJAMAN YANG PERNAH DILALUI TIDAK MENJAMIN KELAYAKAN

Bagi peniaga berusia 30 tahun, Muhammad Muzakkir, dia meragui Anwar Ibrahim kerana beliau dilihat seolah-olah mempunyai agenda tersendiri, dan bukan (berjuang) untuk rakyat.

Peniaga muda itu mengambil ceramah Anwar sempena PRK Semenyih sebagai contoh apabila Anwar mendedahkan bahawa PAS terpaksa membayar sebanyak RM1.4 juta kepada pengasas dan pengarang Sarawak Report, Clare Rewcastle-Brown berhubung penyelesaian luar mahkamah kes saman fitnah yang difailkan oleh Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Malah ujar Ketua Umum PH itu, beliau mempunyai dokumen transaksi bank membabitkan pembayaran tersebut, tetapi hanya akan mendedahkannya sekiranya PAS terus mencabarnya.

“Saya melihat Anwar tiada sebab yang munasabah untuk jatuhkan PAS, lebih-lebih lagi ketika waktu nak pilihan raya,” tambah Muzakkir lagi.

Graduan dalam jurusan undang-undang, Salahuddin Hamzah, 25 tahun, berkata dia meragui sebab sebenar Anwar mahu dijadikan PM.

“Jika pelantikan beliau sebagai PM hanya sebagai ‘compensation’ (pampasan) ke atas kekejaman yang dilalui beliau, saya percaya itu bukanlah satu sebab yang melayakkan beliau memegang jawatan PM,” ujar Salahuddin yang merujuk kepada kisah silam yang menyaksikan Anwar dipenjarakan sebanyak dua kali atas kesalahan liwat.

Seorang tenaga pengajar yang dikenali sebagai Daryl pula tidak bersetuju sekiranya Anwar dilantik secara automatik dan tidak mengikut undang-undang sistem demokrasi berparlimen.

“Kalau berlakunya pelantikan secara automatik, ia bercanggah dengan perlembagaan negara kita.”

Seperti yang termaktub dalam Perkara 40(2)(a) Perlembagaan Persekutuan, Yang di-Pertuan Agong (YDPA) hendaklah melantik “ahli Dewan Rakyat yang pada hematnya mungkin mendapat kepercayaan majoriti ahli-ahli Dewan itu” sebagai perdana menteri.

Ini bermakna seseorang individu hanya boleh dilantik menjadi perdana menteri sekiranya beliau adalah Ahli Dewan Rakyat (bukan Senator di Dewan Negara), dan perlu memperoleh sokongan majoriti, sekurang-kurangnya 112 daripada 222 Ahli Parlimen, diikuti perkenan YDPA.

Bagi Adenan, pesara kerajaan berusia 66 tahun, beliau berpandangan bahawa hanya dua individu sahaja yang layak menggantikan Dr Mahathir.

“Pada saya, hanya ada dua pilihan (calon PM)…Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datuk Seri Azmin Ali.

“Tetapi, Anwar terlalu banyak isu dan pendirian tidak menentu. Azmin Ali lebih sesuai,” kata Adenan.

Sementara itu, walaupun Dr Mahathir berjanji untuk menyerahkan kuasa kepada Anwar, akhbar Amerika Syarikat (AS), The Washington Times dalam satu artikel pada tahun lepas mendakwa bahawa Perdana Menteri Malaysia ke-7 itu tidak akan memberi ruang kepada Anwar untuk menggantinya.

Malah, L. Todd Wood, penulis artikel tersebut mendakwa bahawa berdasarkan “sumber-sumber yang boleh dipercayai”, Dr Mahathir akan mencalonkan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Azmin Ali sebagai PM untuk diperkenankan oleh YDPA.

ANWAR DIHORMATI DAN DIKAGUMI DI SERATA DUNIA

Walaupun Anwar pernah dituduh sebagai “ejen yahudi, ejen CIA” dan sebagainya, Fauziah, seorang bekas guru mempercayai bahawa ahli politik itu sebenarnya amat dihormati dan dikagumi di serata dunia.

Wanita berusia 58 tahun itu juga kagum dengan pemikiran Anwar yang ke hadapan dan pada masa yang sama tidak melanggar prinsip Islam.

“Beliau sangat berwibawa dan mempunyai ketokohan. Terbukti kepimpinannya sejak (zaman mahasiswa) lagi.

“Anwar sangat dihormati dan dikagumi di serata dunia. Tutur bahasanya santun dan tersusun. Pemikirannya terkehadapan, namun masih mematuhi prinsip-prinsip Islam,” kata Fauziah.

Pada pandangan seorang pensyarah pula, Anwar mempunyai kaliber untuk menjadi pemimpin negara.

“Saya rasa beliau layak. Tiada sesiapa lagi pada masa ini yang boleh menggantikan Tun kecuali Anwar. Individu-individu lain tidak layak,” jelas Vathy, 56.

Crystal, pelajar di sebuah institusi pengajian tinggi awam bersetuju jika Anwar menjadi Perdana Menteri Malaysia ke-8, tetapi perlu menunggu waktu yang sesuai.

“Saya setuju, tetapi bukan sekarang. Tun M mempunyai lebih banyak pengalaman sebagai PM dan mampu memimpin negara lebih efisyen dalam keadaan sekarang berbanding Anwar,” kata wanita berusia 22 tahun itu.

Dalam pada itu, seorang arkitek merasakan dia terpaksa memilih Anwar untuk menjadi PM di atas dasar umur dan kesihatan Dr Mahathir.

“Jika diberi pilihan di antara Tun dan Anwar, saya dengan terpaksa memilih Anwar. Memang benar Anwar mempunyai sejarah gelap, tetapi saya cuba lihat dari perspektif jangka masa panjang,” kata Muhammad Lukman.

“Tun mungkin masih mampu mentadbir, tetapi atas dasar umur dan kesihatannya, saya bimbang jika berlaku sebarang insiden yang tidak diingini.

“Rakyat juga tidak mempunyai banyak pilihan untuk memilih calon yang mampu mentadbir Malaysia. Jika Anwar gagal, maka rakyat harus bertindak adil dan mengundi pemimpin lain dalam pilihan raya akan datang,” tambah arkitek berumur 29 tahun tersebut.

ANWAR WAJAR DIBERI PELUANG

Tidak dinafikan bahawa pandangan rakyat mengenai seseorang pemimpin itu memainkan peranan besar dalam menentukan sama ada beliau layak atau tidak untuk mentadbir negara.

Walaupun mempunyai masa silam yang gelap, Anwar wajar diberi peluang untuk diangkat sebagai perdana menteri kerana sudah mempunyai pengalaman yang luas dalam urus tadbir kerajaan.

“Apa yang terjadi kepada Anwar (pada masa dahulu) adalah perkara biasa – asam garam dalam politik. Bukan setakat dalam politik Malaysia, tetapi di serata dunia pun sebegitu juga.

“Jadi, beliau wajar diberi peluang,” kata Dr Rizal.

Tetapi pada masa yang sama, penulis berpendapat bahawa Anwar tetap tidak boleh terlalu yakin atau rasa ‘terjamin’ beliau akan menduduki jawatan tertinggi dalam kerajaan itu sehinggalah ia benar-benar menjadi kenyataan.

Suka atau tidak, beliau harus kekal bersabar dan sentiasa “menjaga tingkah laku” selagi impiannya itu masih belum menjadi realiti.

Anwar sendiri sudah amat arif tentang apa yang Mahathir boleh lakukan, dan sudah pasti beliau tidak mahu “pisang berbuah dua kali.”

Dengan hanya memegang gelaran Ahli Parlimen Port Dickson dan tidak memegang sebarang jawatan rasmi dalam pentadbiran kerajaan, amat mudah peluang Anwar dicantas oleh individu yang memegang portfolio besar, seperti Azmin.

*Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili Toodia Dot My*

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button