Isu SemasaTempatan

5 Teori Tentang Misteri Kehilangan MH370

Pada 8 Mac 2014, pesawat Malaysia Airlines MH370 hilang ketika dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing, mencetuskan persoalan terbesar dalam sejarah penerbangan dunia.

Hanya beberapa serpihan jet yang ditemui, semuanya di tepi pantai Lautan Hindi dan usaha pencarian berakhir secara rasmi pada tahun lepas.

Kehilangan ini telah menimbulkan pelbagai teori, ada yang boleh dipercayai dan ada beberapa yang aneh. Berikut adalah lima teori terbabit:

1. Peristiwa Hipoksia

Perhatian dunia lebih menumpukan kepada kemungkinan kegagalan mekanikal atau struktur. Sesetengah pakar telah mengemukakan teori bahawa berlaku kebakaran dalam komponen elektronik, yang menghasilkan asap ke suluruh kapal terbang sehingga membuatkan penumpang dan anak kapal tidak sedarkan diri.

Pesawat itu kemudian bergerak secara autopilot ke arah Lautan Hindi, di mana usaha pencarian telah difokuskan, sebelum kehabisan bahan bakar dan terhempas.

Teori yang dipanggil “peristiwa hipoksia” – “hipoksia” merujuk kepada kekurangan oksigen – disokong oleh beberapa penganalisis.

Dalam laporan tahun 2014 yang membentangkan butiran kawasan carian, Biro Keselamatan Pengangkutan Australia yang mengetuai misi pencarian, berkata bahawa “kru yang tidak responsif/ peristiwa hipoksia” sepadan dengan keadaan akhir pesawat MH370.

2. Juruterbang MH370

Juruterbang MH370 Zaharie Ahmad Shah telah menjadi subjek spekulasi hangat dan ada yang percaya dia mungkin sengaja menghilangkan Boeing 777 dari radar dan menghempaskannya.

Dalam beberapa bulan selepas kapal terbang itu lenyap, media meneliti segala-galanya tentang juruterbang itu termasuk kepercayaan politik dan kesihatan mentalnya untuk petunjuk tentang apa yang mungkin berlaku.

Laporan yang tidak disahkan berkata Zaharie mungkin mempunyai masalah perkahwinan atau kecewa dengan keputusan mahkamah terhadap kes liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim beberapa jam sebelum MH370 berlepas.

Tetapi keluarga dan kawan-kawan Zaharie, seorang juruterbang veteran yang sangat dihormati, dengan tegas menolak dakwaan tersebut dan mengatakannya tidak berasas.

Pada tahun 2016, para pegawai Malaysia mendedahkan Zaharie telah merancang laluan di Lautan Hindi dalam simulator penerbangan tetapi menekankan bahawa ini tidak membuktikan dia sengaja menghempaskan pesawat itu.

3. Plot Keganasan

Terdapat juga teori yang tidak dapat dibuktikan bahawa pesawat itu dirampas sebagai sebahagian daripada plot keganasan.

Rupert Murdoch adalah antara yang menyokong idea itu. Dalam tweet yang aneh selepas pesawat itu hilang, Murdoch menyatakan ia “dicuri” dan “disembunyikan dengan berkesan, mungkin di Pakistan Utara, seperti Bin Laden.”

Dia merujuk kepada pemimpin al-Qaeda Osama bin Laden, yang terbunuh dalam serbuan Seal Angkatan Laut AS di Pakistan pada tahun 2011.

Terdapat juga saranan bahawa pesawat itu telah dirampas untuk digunakan sebagai “bom terbang” bagi memusnahkan kem tentera AS di pulau Diego Garcia dan ditembak jatuh oleh orang Amerika. Amerika Syarikat bagaimanapun menolak dakwaan itu.

4. Dikawal oleh AS

Sesetengah pakar pula telah membuat spekulasi bahawa pesawat itu mungkin telah diambil alih dan dikawal dari jauh untuk menggagalkan rampasan.

Menurut laporan, Boeing pada tahun 2006 diberikan paten AS untuk sistem di mana apabila diaktifkan, AS boleh mengawal pesawat komersil itu sekiranya berlaku rampasan.

Salah satu penyokong utama idea itu ialah Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad, yang memberitahu akhbar The Australian tahun lepas bahawa: “Keupayaan untuk melakukan itu adalah mungkin. Teknologi itu wujud.”

5. Krisis Rusia

Salah satu teori yang paling aneh muncul dalam artikel majalah New York oleh pakar penerbangan Amerika, Jeff Wise pada tahun 2015.

Beliau mencadangkan MH370 telah dirampas dan dibawa ke kemudahan Rusia di Kazakhstan, mungkin satu usaha oleh Presiden Vladimir Putin untuk menakut-nakutkan Barat di tengah-tengah krisis yang semakin meningkat di Ukraine, atau untuk mendapatkan akses kepada penumpang atau barang tertentu yang ditahan.

“Tidak ada cara untuk mengetahui kesahihannya. Itulah perkara utama dalam membuat teori MH370: Sukar untuk menghasilkan motif yang munasabah untuk tindakan yang tidak mempunyai manfaat yang jelas,” tulisnya.

Sumber: NST

Show More

Related Articles

Back to top button