AntarabangsaIsu Semasa

Arab Saudi Sedang Berdepan ‘Konflik Diraja’?

Sejak kebelakangan ini, terdapat pelbagai petanda yang menunjukkan bahawa sedang berlaku ketegangan di antara Raja Arab Saudi, Raja Salman bin Abdulaziz Al Saud dan anaknya, Putera Mahkota Mohammed Bin Salman (MBS).

Difahamkan, kedua-dua beranak itu berselisihan pendapat terhadap pelbagai isu membabitkan dasar-dasar penting, termasuk peperangan di Yaman.

Konflik di antara Raja Salman dan MBS dilaporkan telah bermula sejak pembunuhan wartawan Washington Post, Jamal Khashoggi di konsular Arab Saudi di Istanbul, Turki pada bulan Oktober lepas, lebih-lebih lagi kerana Putera Mahkota itu disyaki menjadi dalang utama.

 

‘ANCAMAN’ DI MESIR

Namun, ketegangan ini dilihat meningkat secara rastik pada penghujung bulan Februari ketika Raja Salman melakukan lawatan ke Mesir.

Pada waktu itu, baginda telah diberi amaran oleh penasihat-penasihatnya bahawa baginda berisiko berdepan ancaman yang bertujuan untuk menentangnya.

Bimbang dengan ancaman tersebut, sebuah pasukan keselamatan baru yang terdiri daripada 30 individu yang setia dengan baginda daripada Kementerian Dalam Negeri telah diterbangkan ke Mesir bagi menggantikan pasukan sedia ada.

Menurut sumber, langkah tersebut diambil dengan pantas kerana wujud kebimbangan bahawa terdapat kemungkinan sesetengah kakitangan keselamatan yang asal adalah “pengikut setia” Putera Mahkota.

Bukan itu sahaja, malah penasihat-penasihat baginda turut mengenepikan kakitangan keselamatan Mesir yang ditugaskan untuk melindungi baginda ketika berada di sana.

 

MBS TIDAK HADIR UNTUK MENYAMBUT KEPULANGAN RAJA SALMAN

Ketegangan dalam hubungan bapa dan anak itu dilihat menjadi semakin jelas apabila MBS tidak hadir di lapangan terbang Riyadh untuk menyambut kepulangan Raja Salman dari Mesir.

Satu siaran akhbar rasmi yang menyenaraikan nama-nama individu yang menyambut kepulangan Raja Salman turut mengesahkan bahawa MBS tidak tersenarai.

Dalam pada itu, Mohammed yang menggalas tanggungjawab sebagai “Timbalan Raja” ketika ketiadaan Raja Salman, telah melakukan dua perubahan tanpa pengetahuan ayahandanya.

 

MEMBUAT KEPUTUSAN TANPA PENGETAHUAN RAJA

Perubahan ini termasuk pelantikan Puteri Reema Bandar sebagai duta wanita pertama Arab Saudi ke Amerika Syarikat (AS), dan Khalid Bin Salman, adik kepada MBS, sebagai Timbalan Menteri Pertahanan pada 23 Februari bulan lepas.

Raja Salman dikatakan murka dengan tindakan anak lelakinya itu sambil menyifatkan keputusan MBS untuk memberi jawatan yang lebih senior kepada Putera Khalid sebagai “tidak matang.”

Selalunya, pelantikan diraja diumumkan dengan nama Raja, namun dekri pada 23 Februari tersebut ditandatangani oleh “Timbalan Raja.”

Seorang pakar berkata, gelaran Timbalan Raja sudah lama tidak digunakan dengan “cara tersebut” selama berdekad-dekad.

Memetik laporan The Guardian, Raja Salman dan pasukannya hanya menyedari akan perubahan-perubahan yang dilakukan oleh MBS menerusi siaran televisyen.

 

HALANG PUTERA MAHKOTA DARIPADA MENDAPAT LEBIH BANYAK KUASA

Sejak pembunuhan Khashoggi, Raja Salman telah berusaha keras untuk memulihkan ‘kerosakan-kerosakan’ yang menimpa Arab Saudi.

Para penyokongnya juga telah menggesa baginda untuk lebih aktif melibatkan diri dalam membuat keputusan berkaitan negara demi menghalang Putera Mahkotanya daripada memperoleh kuasa yang lebih banyak.

Pada bulan lalu juga, Putera Mohammed telah mencetuskan kemarahan orang ramai apabila beliau berjalan di atas Kaabah di Makkah.

Hal ini sekali gus menyebabkan ulama-ulama mengadu kepada Raja sambil menyatakan bahawa tindakan MBS itu adalah “tidak sopan.”

 

BAPA DAN ANAK TIDAK SEHALUAN

Selain itu, Raja dan Putera tersebut juga bercanggah pendapat dalam perkara-perkara berkaitan dasar luar, termasuk layanan ke atas banduan perang di Yaman, dan respon Arab Saudi berhubung isu protes di Sudan dan Algeria.

Raja Salman tidak bersetuju dengan pendekatan Putera Mohammed yang menggunakan kekerasan untuk menghentikan protes.

Walaupun Raja Salman bukan seorang “reformis”, baginda dikatakan menyokong liputan yang lebih bebas dalam media Arab Saudi berhubung protes tersebut.

Selepas pembunuhan Khashoggi, keluarga diraja Arab Saudi juga dilaporkan secara aktif mempertimbangkan untuk mengganti kedudukan MBS sebagai pewaris takhta dengan individu lain.

Susulan hubungan yang semakin tegang bersama anaknya, adakah Raja Salman akan mengambil tindakan ke atas MBS? Adakah terdapat kemungkinan baginda akan menggunakan kuasanya untuk memecat MBS dan melantik Putera Mahkota baru?

Melihat pada keadaan yang sedang berlaku, situasi tersebut tidak mustahil untuk terjadi.

Sumber: The Guardian

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button