Ibu dan AnakIsu SemasaTempatan

Ibubapa Masih Takut Dengan Kesan Sampingan Vaksin?

Semasa zaman kerajaan Barisan Nasional, mereka pernah cuba untuk menjadikan suntikan vaksin sebagai prasyarat untuk bersekolah setelah beberapa kematian akibat penyakit difteria pada tahun 2016.

Walau bagaimanapun terdapat kekangan dan tentangan untuk menguatkuasakan undang-undang ini. Oleh yang demikian, Menteri Kesihatan ketika itu, Datuk Seri Dr S. Subramaniam berkata kementeriannya akan cuba menasihatkan ibubapa untuk mendapatkan vaksin bagi anak-anak mereka.

 

Sukar Apabila Menggunakan Agama Sebagai Alasan Untuk Tidak Mendapatkan Vaksin

Menurut Timbalan Menteri Kesihatan yang terkini, Dr Lee Boon Chye, ia sukar apabila ibubapa menggunakan agama dan kepercayaan sebagai alasan untuk tidak memberi vaksin kepada anak-anak mereka.

Berdasarkan statistik Kementerian Kesihatan, kebanyakan ibubapa tidak membenarkan suntikan vaksin ke atas anak mereka adalah kerana informasi salah yang mereka terima sehingga menyebabkan peningkatan jumlah penyakit yang boleh dikekang melalui suntikan vaksin melonjak sepuluh kali ganda dengan 125 kes pada tahun 2013 sehingga menjadi 1,467 kes di tahun 2018.

Kesan utama yang dikesan mengapa perkara sebegini terjadi dalam enam kematian akibat demam campak dan 19 daripada 22 kematian akibat batuk kokol adalah akibat tidak mendapatkan imunisasi.

 

Vaksin terdapat DNA Babi Masih Menjadi Kepercayaan Sesetengah Ibubapa

Sebuah laman telah menyenaraikan 10 sebab mengapa ibubapa tidak mahu mendapatkan vaksin untuk anak mereka. Antaranya ialah vaksin mengandungi toksin berbahaya seperti merkuri, aluminium, formaldehid dan tak halal kerana terdapat DNA babi.

Walhal telah berulang kali diberitakan serta terkini Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof turut menegaskan bahawa vaksin di Malaysia adalah halal. Perkara ini turut difatwakan oleh Mufti Wilayah Persekutuan.

Beliau juga menyarankan supaya perdebatan sama ada vaksin dibenarkan dalam Islam seharusnya dihentikan kerana ia melibatkan kesihatan anak.

“Dalam Islam, sudah dijelaskan berdasarkan fatwa bahawa ia adalah digalakkan untuk orang Islam membenarkan suntikan vaksin ke atas anak mereka malah ia boleh diwajibkan jika melibatkan kesihatan anak tersebut,”jelas Dr Mujahid.

Bukti Kanak-Kanak Tidak Mengambil Vaksin Menjejaskan Kesihatan Kanak-Kanak Lain

Di Johor, terdapat lima kanak-kanak yang positif difteria* selepas bermain dengan seorang kanak-kanak berusia dua tahun yang dipercayai tidak mendapatkan vaksin dan telah meninggal dunia akibat penyakit tersebut.

Salah seorang kanak-kanak tersebut ialah kakak kepada mangsa yang turut tidak mendapatkan vaksin tetapi empat lagi kanak-kanak yang dijangkiti difteria telah mendapatkan imunisasi vaksin.

*Difteria wujud akibat jangkitan bakteria Corynebacterium diphtheriae yang memberi simptom seperti demam dan sakit tekak sehingga menyebabkan kerongkong dan tonsil membengkak.

Jadi Kalau Sudah Suntik Vaksin Ia Tidak Berkesan Ke?

Menurut Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO), tiada satu pun vaksin yang efektif 100% dan tidak semua vaksin boleh membina imuniti badan. Walau bagaimanapun, vaksin sememangnya boleh mengurangkan risiko untuk dijangkiti penyakit sebanyak 85% hingga 95%.

Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) Amerika Syarikat menganggarkan keberkesanan vaksin MMR adalah 99%. Jika ianya benar, dan kita anggap 100% daripada rakyat Malaysia divaksin, kita akan melihat :

1% daripada populasi masih terdedah kepada campak
1-2% (anggaran kasar) populasi masih terdedah akibat sistem badan menolak vaksin (mereka yang mempunyai alahan atau sistem ketahanan badan yang teruk)
7-8% daripada populasi terdedah kerana belum cukup umur untuk menerima dos penuh vaksin

Dari sini kita dapat melihat walaupun setiap rakyat Malaysia mengambil vaksin, masih terdapat 10% daripada kita terdedah kepada jangkitan. Dan jika ramai yang menolak vaksin, angka ini akan lebih bertambah jelas portal iluminasi.

 

Alasan Ibubapa Yang Tidak Mahu Anak Mereka Mendapatkan Vaksin

Terdapat ibubapa yang berpendapat bahawa anak mereka akan membesar dengan membina sistem pertahanan mereka sendiri secara alami. Malah ada tanggapan jika anak mereka mendapat suntikan vaksin, mereka mungkin akan mendapat kesan sampingan yang tidak terduga.

Jika berdasarkan statistik, tanggapan sebegini seharusnya mudah ditepis kerana suntikan vaksin ini bukan perkara baharu.

Malah statistik menunjukkan kanak-kanak yang mengambil vaksin secara penuh, yang berusia dua tahun, sistem ketahanan badan mereka mampu melawan 14 jenis penyakit. Ia hampir dua kali ganda mereka yang lahir pada tahun 70an dan 80an yang mana hanya mampu melawan 8 penyakit.

Menurut Dr. Mark Sawyer, seorang pakar penyakit berjangkit dan profesor di klinik perubatan kanak-kanak Universiti California San Diego, beliau tidak melihat mana-mana kanak-kanak yang dijangkiti penyakit selepas mengambil vaksin ketika berusia 2,4 dan 6 bulan.

“Jika vaksin dengan kerap mengganggu sistem ketahanan badan kanak-kanak, jangkitan pasti akan berlaku, namun ia tidak,” tegas Professor Dr. Mark Sawyer, Sekolah Perubatan dan Hospital Kanak-kanak Rady, University California San Diego.

 

Ibubapa Masih Takut Dengan Kesan Sampingan Vaksin Seperti Autisme

Pengakuan seorang ibu yang hanya dikenali sebagai Siti, 42 tahun kepada TheStar, dia yang telah mengikut jadual imunisasi untuk dua daripada lima anak secara penuh tetapi tiga lagi anaknya hanya dilakukan sehingga berusia 5 bulan kerana takut setelah membaca kesan sampingan akibat vaksin.

Sememangnya dengan teknologi informasi di hujung jari ini, makin ramai ibubapa mendapatkan informasi yang berbelah bahagi sehingga ada yang takut anak mereka menjadi autisme kerana vaksin.

Mereka yang menyokong anti-vaksin ini sering memetik nama Andrew Wakefield yang mengaitkan hubungan antara vaksin dan autisme.

Kaitan yang didakwa oleh Andrew dalam kertas kajiannya menyebabkan panik di kalangan manusia, walaupun ia tidak membuktikan sebab dan akibat. Komuniti saintifik mengenalpasti masalah etika dalam kajian beliau, dan data kajian itu juga tidak dapat diulang.

Antara kriteria penting dalam sesuatu kajian adalah kebolehulangan kajian itu sendiri. Ia membolehkan kajian tersebut dibuat dengan cara dan prosedur yang sama oleh penyelidik lain, dan membandingkan keputusan yang diperoleh.

Maka, penemuan yang dibuat oleh Andrew ditolak. Namun masih ada yang berkata walaupun tiada bukti hubungan vaksin dan autisma, ia tak bermakna vaksin tidak menyebabkan autisma.

 

Hak Ibubapa Untuk Memilih Sama Ada Mahu Anak Mereka Mendapatkan Vaksin Atau Tidak

Senthi Murugaiyan pula percaya bahawa setiap manusia mempunyai hak untuk memilih dan dia tidak menyokong cadangan kementerian untuk menjadikan imunisasi sebagai perkara wajib untuk memasuki sekolah.

Dan pada 5 Mac kelmarin, Kementerian Pendidikan mengeluarkan kenyataan bahawa mereka tidak berhasrat mewajibkan suntikan vaksin sebagai syarat kepada murid untuk bersekolah.

Menterinya, Dr Maszlee Malik, berkata ini sejajar dasar kementerian yang mahu memastikan semua kanak-kanak mendapat akses pendidikan.

Tetapi bukankah lebih elok untuk mengambil langkah berjaga-jaga dengan mencegah daripada merawat?

Kerajaan sudah menyediakan kelengkapan yang mudah dan percuma. Ibubapa tidak perlu mengeluarkan wang untuk anak anda diberikan suntikan vaksin hanya luangkan sedikit masa untuk kesihatan yang lebih baik dan masa depan yang lebih sihat tanpa penyakit berjangkit seperti difteria, demam campak, batok kokol dan lain-lain.

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker