AntarabangsaIsu Semasa

Korea Utara Mungkir Janji Dengan AS Untuk Musnahkan Tapak Pelancaran Roket?

Korea Utara dilaporkan mula membangunkan semula tapak pelancaran roket yang telah diruntuhkan sebahagiannya sebelum ini.

Imej satelit menunjukkan kerja-kerja pembinaan semula dilaksanakan sebelum sidang kemuncak kedua di antara Korea Utara dan Amerika Syarikat (AS) di Hanoi, Vietnam pada minggu lepas.

Penasihat Keselamatan AS, John Bolton memberi amaran sekiranya rejim pimpinan Kim Jong Un itu tidak menghapuskan tapak-tapak nuklearnya, sekatan ketat yang dikenakan ke atas Pyongyang akan ditingkatkan lagi.

Menurut Bolotn, Washington sedang menunggu untuk melihat sama ada Pyongyang komited untuk menamatkan “program senjata nuklear serta segala perkara lain yang berkaitan dengannya.”

“Jika mereka tidak rela melakukannya, saya rasa Presiden Trump sudah menyatakan secara jelas…..mereka tidak akan dibebaskan daripada sekatan ekonomi telah dikenakan ke atas mereka dan malah, kita mempertimbang untuk meningkatkan sekatan itu,” katanya.

Memetik laporan The Guardian, sidang kemuncak di Hanoi telah ditamatkan lebih awal berbanding perancangan asal selepas Trump dan Kim gagal mencapai sebarang perjanjian denuklearisasi.

Selepas perkhidmatan perisikan Korea Selatan melaporkan terdapat kerja-kerja pembangunan di pusat pelancaran satelit Sohae, dua laman sesawang penyelidikan bebas turut menerbitkan imej-imej satelit yang menunjukkan bahawa juruteknik Korea Utara telah memulihkan ‘struktur bergerak’ yang pernah digunakan untuk memindahkan kenderaan-kenderaan pelancaran angkasa dari landasan ke sebuah tapak pelancaran.

Sebuah alat yang pernah digunakan untuk menguji enjin roket juga mempunyai tanda-tanda pembinaan semula.

Waau bagaimanapun, penganalisis berpandangan bahawa kerja-kerja pembinaan semula itu tidak bermakna pelancaran peluru berpandu akan berlaku.

Menurut penganalisis, tapak pelancaran Sohaei itu setakat ini hanya pernah digunakan untuk melancarkan satelit, dan bukan peluru berpandu balistik.

Pakar-pakar Korea Utara pula meramalkan bahawa kerja-kerja pembinaan semula di Sohae bertujuan untuk menghantar ‘mesej’ kepada Washington bahawa hubungan di antara kedua-dua negara boleh kembali tegang sekiranya tiada sebarang perkembangan dalam mengurangkan sekatan yang telah dikenakan ke atas Pyongyang.

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker