Sukan

Keputusan Penyingkiran Singa Utara Dari Liga Perdana Kekal

Harapan Perlis untuk kembali bersaing sekurang-kurangnya dalam divisyen M3 musim ini disifatkan sukar selepas mereka perlu menyelesaikan segala masalah membelenggu pasukan terlebih dulu.

Ini kerana skuad Singa Utara itu mungkin perlu ‘menggantung but’ lebih lama selagi masih gagal melunaskan tunggakan gaji dan masalah yang mengakibatkan mereka disingkirkan daripada saingan Liga Perdana musim ini.

Manakala status peruntukan geran berjumlah RM1 juta kepada skuad Perlis akan diputuskan pada mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) pada 15 Mac ini.

Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Kevin Ramalingam berkata, keputusan Perlis disingkirkan dalam Liga Malaysia musim ini adalah muktamad dan hanya isu berkenaan geran sahaja akan dibincangkan dalam mesyuarat itu.

Namun beliau tidak menolak peluang kembali seandainya dapat ‘membersihkan’ masalah dihadapi mereka.

“Perlis disingkirkan daripada saingan Liga Perdana dan jika mereka mahu membuat permohonan untuk mendaftarkan pasukan sekali lagi, pertimbangan hanya akan diberikan kalau semua isu berkaitan tunggakan gaji diselesaikan.

“Pendaftaran mereka untuk menyertai mana mana peringkat liga tidak boleh diterima jika pasukan itu masih bergelut dengan masalah dihadapi,” katanya.

“Mengenai geran untuk pasukan Perlis, kita perlu menunggu keputusan daripada Ahli Lembaga Pengarah yang akan mengadakan mesyuarat nanti.

“Kita juga akan turut menyelesaikan perkara membabitkan enam lagi pasukan. Kita memerlukan masa untuk meneliti dan membuat analisis sebelum apa apa keputusan diambil,” katanya.

“Mengapa kes Perlis yang dikeluarkan dahulu kerana pasukan itu boleh mengganggu perjalanan saingan liga yang sedang berlangsung,” jelas Kevin selepas majlis undian pusingan kedua Shopee Piala FA.

Sebelum ini, Perlis dibelenggu pelbagai masalah khususnya membabitkan isu tunggakan gaji hingga mendorong badan pengendali liga itu membatalkan penyertaan dan menyingkirkan pasukan itu daripada saingan liga.

Meskipun Persatuan Bolasepak Perlis (PFA) sudah mengemukakan rayuan namun MFL tetap dengan keputusan menyingkirkan pasukan itu memandangkan dokumen kewangan yang dikemukakan tidak memenuhi syarat ditetapkan.

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker