AntarabangsaIsu Semasa

Facebook ‘Haramkan’ Iklan Politik Asing Menjelang Pilihan Raya Indonesia

Syarikat Facebook telah ‘mengharamkan’ iklan-iklan politik dari luar Indonesia menjelang pilihan raya presiden negara itu yang akan berlangsung pada bulan depan.

Langkah ini diambil oleh gergasi media sosial itu berikutan kritikan hebat Kesatuan Eropah (EU) ke atas mereka kerana “tidak berusaha dengan cukup” untuk menangani campur tangan pihak luar dalam pilihan raya.

Facebook berkata, ia sudah mula menyekat sebarang bentuk “bahan/iklan berbayar yang berkaitan ahli politik, parti, atau cubaan menghasut orang ramai untuk tidak keluar mengundi” daripada pengiklan yang berpangkalan di luar Indonesia.

“Kita mahu menyukarkan campur tangan dalam pilihan raya di platform ini (Facebook), dan memudahkan orang ramai untuk memastikan suara mereka didengari secara sah dalam proses politik,” kata Facebook dalam satu kenyataan.

Difahamkan, sekatan ke atas pengiklanan asing ini mula dikuatkuasakan pada Selasa, 5 Mac 2019.

Awal tahun ini, pegawai-pegawai EU telah ‘menyerang’ Facebook kerana tidak mengambil langkah yang cukup untuk mengawal selia pengiklanan di platformnya menjelang pilihan raya Kesatuan Eropah pada bulan Mei ini.

Susulan itu, syarikat tersebut memperkenalkan peralatan dan peraturan baru yang mewajibkan iklan-iklan politik berkaitan pilihan raya untuk menyertakan identiti pengiklan dan menyatakan secara jelas iklan itu dibayar oleh siapa.

Facebook dilaporkan sudah memulakan usaha untuk menangani campur tangan dalam pilihan raya selepas kempen Pilihan Raya Presiden Amerika Syarikat (AS) pada tahun 2016 didakwa dipengaruhi oleh Rusia.

Namun begitu, sesetengah pemimpin menganggap bahawa gergasi media sosial itu lambat dalam mengambil tindakan yang sewajarnya.

Dalam pada itu, Facebook menyatakan bahawa ia akan menggunakan gabungan automasi dan manusia untuk membuang sebarang iklan yang sensitif berkaitan Indonesia.

Negara Asia Tenggara tersebut juga sedang berjuang menentang gelombang ucapan kebencian atas talian yang berleluasa, memandangkan terdapat pelbagai kumpulan konservatif yang mengeksploitasi media sosial untuk menyebarkan fitnah dan menyasarkan golongan minoriti.

Pihak berkuasa turut meluahkan kebimbangan kerana bahan-bahan radikal yang diterbitkan di atas talian berpotensi mencetuskan ketegangan kaum dan agama pada pilihan raya nanti.

Pada bulan Februari, Facebook telah menghapuskan ratusan akaun dan laman yang berkaitan dengan kumpulan siber Indonesia, Saracen yang dituduh menyebarkan berita palsu dan ucapan kebencian.

Sumber: AFP
Tags
Show More

Related Articles

Check Also

Close
Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker