Isu SemasaTempatan

Dua Pegawai Polis Wanita Ini Bukan Calang-Calang Orang

Pada 15 November 2018, Superintendan (Supt) Shafa’aton Abu Bakar melakar sejarah baru apabila dilantik menjadi Ketua Polis Daerah (OCPD) Sungai Buloh, segali kus menjadi polis wanita pertama untuk memegang jawatan berkenaan di Selangor.

Kemudian pada 13 Disember, seorang lagi pegawai polis wanita, Asisten Komisioner (ACP) Nurulhuda Mohd Salleh turut diberi kepercayaan untuk menggalas tanggungjawab sebagai OCPD di Klang Utara.

Kedua-dua wanita yang berusia dalam lingkungan 40an ini bukan calang-calang orang dan mereka mempunyai pengalaman yang luas dalam Jabatan Siasatan Jenayah (CID).

“Ketika saya pertama kali mendapat berita bahawa saya akan dinaikkan pangkat, saya berasa takut…sehinggakan saya menyimpan perkara itu pada diri saya sendiri selama tiga hari.

“Saya bertanya diri saya sama ada saya benar-benar bersedia. Tetapi saya mendapat sokongan daripada rakan-rakan polis yang lain.

“Salah satu individu yang saya hubungi adalah Supt Haslah (Supt Haslah Bachok), yang merupakan OCPD wanita pertama di Negeri Sembilan. ‘Abang-abang’ saya di dalam pasukan polis juga memberitahu saya bahawa saya mampu melakukannya,” kata Supt Shafa’aton.

Sementara itu, ACP Nurulhuda turut mengongsikan kebimbangan yang sama.

“Saya mendapatkan nasihat daripada senior-senior, termasuk pendahulu saya. Mereka memberitahu saya untuk menjaga kebajikan anggota-anggota lain dan memantau rapat trend jenayah semasa.

“Keluarga saya juga bimbang, tetapi saya meyakinkan mereka bahawa saya sudah bersedia,” jelas ACP Nurulhuda.

Dalam pada itu, barisan kepimpinan tertinggi polis, termasuk Ketua Polis Negara (IGP), Tan Sri Mohamad Fuzi Harun dan Ketua Polis Selangor, Komisioner Datuk Mazlan Mansor juga telah memberi semangat dan dorongan kepada kedua-dua pegawai polis wanita berkenaan.

“Komisioner Datuk Mazlan memberitahu kami berdua untuk bersedia berdepan banyak permohonan melakukan temubual daripada media,” kata ACP Nurulhuda.

Mengurangkan kadar jenayah di daerah masing-masing menjadi misi utama Supt Shafa’aton dan ACP Nurulhuda.

Berdasarkan statitstik, kadar jenayah di Klang Utara dan Sungai Buloh menyaksikan penurunan yang agak ketara (kira-kira 24.22% dan 14.7%) pada tahun 2018, berbanding 2017.

Walau bagaimanapun, mereka berdua akan terus berusaha dengan lebih keras untuk mengurangkan lagi kadar jenayah.

“Kepolisan komuniti amat penting kepada kerja kami dan sasaran kami pada tahun ini adalah untuk memberi fokus yang lebih terhadap aspek itu,” ujar ACP Nurulhuda.

Supt Shafa’aton turut menambah bahawa polis sedang berusaha untuk menjalinkan kerjasama yang lebih rapat dengan komuniti perumahan di daerahnya.

Bercakap tentang jika terdapat diskriminasi jantina, kedua-dua wanita berkenaan berkata bahawa mereka tidak pernah lagi menghadapinya di dalam dunia pekerjaan polis.

Namun begitu, kebanyakan pegawai berpangkat tinggi dalam pasukan polis secara umumnya adalah lelaki, tetapi masa kian berubah.

“Pada pandangan saya, ia adalah tentang kepercayaan yang diberi oleh kepimpinan tertinggi. Lihat pada negara kita sekarang, timbalan perdana menteri kita adalah seorang wanita.

“Bikan hanya dalam PDRM, tetapi dalam jabatan-jabatan lain juga, wanita telah ditempatkan pada kedudukan-kedudukan yang lebih berkuasa,” jelas Supt Shafa’aton.

Sementara itu, ACP Nurulhuda juga menjelaskan bahawa akan ada lebih ramai wanita yang akan diberi kedudukan berpangkat tinggi pada era ini.

“Sepanjang pekerjaan saya, saya tidak pernah berhadapan sebarang bentuk diskriminasi jantina. Ia hanya bergantung pada diri kita, sama ada kita mahu atau tidak bergerak kehadapan dan bersaing.

“Saya mempercayai bahawa pada era hari ini, akan terdapat lebih banyak wanita yang diberi jawatan-jawatan berpangkat tinggi. Jika diberi peluang yang lebih pada masa akan datang, mungkin akan ada OCCI (ketua CID negeri) wanita. InsyaAllah, akan ada juga timbalan IGP atau IGP wanita,” tambah beliau.

Pasukan polis mempunyai matlamat untuk mengisi sekurang-kurangnya 30% jawatan berpangkat tinggi dengan pegawai wanita pada masa akan datang.

Sumber: The Star

 

 

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button
Close