AntarabangsaIsu SemasaPolitik

Keadaan Akan Menjadi “Huru-Hara” Menjelang Pilihan Raya Indonesia?

Timbalan Ketua Polis Negara Indonesia, Komisioner Jeneral Ari Dono Sukmanto menyatakan bahawa pihak polis memberi fokus untuk menghalang konfrontasi yang semakin meningkat di antara penyokong calon-calon presiden menjelang pilihan raya badan perundangan dan presiden pada bulan April ini.

Ari berkata, peningkatan konfrontasi di antara penyokong-penyokong tersebut tidak hanya berlaku di media sosial, tetapi juga di tempat-tempat awam.

“Mereka selalunya ‘bising’ di media sosial sahaja, tetapi mereka kini melakukannya di luar talian (offline) juga. Kita perlu membendung trend ini,” katanya dalam satu forum di sebuah hotel di Jakarta Selatan baru-baru ini.

Forum tersebut dihadiri oleh pelbagai institusi, termasuk polis, kumpulan hak asasi manusia Setara Institute, serta pakar-pakar politik.

Dengan lebih daripada separuh populasi negara mempunyai akses terhadap internet, rakyat Indonesia amat aktif di platform-platform media sosial termasuk Facebook, Twitter dan Instagram.

Ini sekali gus menjadikan gejala berita palsu dan ucapan kebencian di media sosial lebih cenderung untuk mencetuskan pertelingkahan di luar talian.

Pada bulan November lepas, seorang lelaki ditembak mati di Sampang, Madura, selepas menerbitkan status yang menyokong seorang calon presiden di Facebook.

Mangsa kemudian terserempak dengan seorang individu yang tidak bersetuju dengannya di jalanan dan kemudian terlibat dalam pergaduhan yang membawa kepada pembunuhan itu.

Polis juga telah menahan individu-individu yang didakwa menyebarkan ucapan kebencian menerusi media sosial.

Baru-baru ini, terdapat sebuah video tular di media sosial yang menunjukkan tiga wanita di Karawang, Jawa Timur, menuduh bahawa jika Presiden Joko Widodo (Jokowi) dilantik untuk memerintah bagi penggal kedua, beliau akan mengharamkan seruan azan dan menghalalkan perkahwinan sejenis.

Wanita-wanita berkenaan kemudian ditahan atas kesalahan melakukan ucapan kebencian di bawah Undang-Undang Informasi dan Transaksi Elektronik.

Dalam pada itu, polis dan pakar-pakar politik turut meluahkan kebimbangan bahawa berita palsu dan penyebaran ucapan kebencian mungkin akan bertambah buruk menjelang pilihan raya.

“(Kesalahan maklumat) telah berlaku pada pilihan raya presiden Amerika Syarikat (2016). Ini mungkin akan berlaku kepada kita juga.

“Orang awam perlu bersedia untuk memberi respon kepada perkara ini secara kritikal,” kata Ari yang merujuk kepada maklumat palsu yang berleluasa di Facebook yang dikatakan telah mempengaruhi pilihan raya AS.

Tambah beliau, polis mengambil langkah tegas untuk menentang maklumat yang salah, sambil meluahkan harapan agar lebih banyak organisasi sivil menghulurkan bantuan untuk mengurangkan ketegangan yang sedang berlaku.

Sumber: Jakarta Post

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button