AntarabangsaIsu Semasa

Arab Saudi Akan Masukkan Subjek Bahasa Cina Ke Dalam Silibus Pelajaran

Arab Saudi dan China telah sebulat suara bersetuju untuk memasukkan subjek Bahasa Cina ke dalam kurikulum di semua peringkat pendidikan di sekolah dan universiti di seluruh negara Arab itu.

Perjanjian ini dimeterai ketika lawatan Putera Mahkota Arab Saudi, Mohammed Bin Salman (MBS) bersama pegawai-pegawai China di beijing pada hujung bulan Februari, dalam usaha mengukuhkan lagi hubungan persahabatan dua hala dan kerjasama, serta perkongsian strategik di semua peringkat di antara kedua-dua negara.

Memetik laporan Arab News, langkah ini juga bertujuan untuk membolehkan perkongsian strategik komprehensif mencapai aspirasi kepimpinan Arab Saudi – China dan merebut peluang-peluang yang menjanjikan.

Dalam pada itu, kemasukan Bahasa Cina dalam silabus pelajaran ini juga dikatakan akan meningkatkan lagi kepelbagaian budaya di Arab Saudi dan membantu merealisasikan matlamat-matlamat yang ingin dicapai dalam sektor pendidikan negara itu untuk Visi 2030.

Pengenalan Bahasa Cina dalam kurikulum turut disifatkan sebagai langkah yang penting ke arah membuka cakrawala akademik baru untuk pelajar daripada pelbagai peringkat pendidikan di Arab Saudi.

Selain itu, mempelajari Bahasa Cina akan berperanan sebagai jambatan yang menghubungkan rakyat kedua-dua negara sekali gus boleh menyumbang kepada peningkatan perdagangan dan hubungan kebudayaan.

Sumber: Arab News

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button