Bisnes & Ekonomi

Mampu Menyara Keluarga Dengan Menjual Ais

Setelah dari Plush And Play dan membuat ‘soft toy’ kami sendiri, kami telah dibawa untuk mencuba salah satu perniagaan mikrofrancais di bawah syarikat Palamigan Co. yang membuat ais dan menjadikan ais loli dan smoothie.

 

Kami disambut mesra oleh seorang wanita yang bakal menunjukkan kepada rombongan kami bersama myHarapan bagaimana untuk membuat smoothie yang segar dan lazat.

Anielyn Dabuan berkata selalunya dia membuat ais kepal (popsicles atau ‘ice lollies’) namun pada hari tersebut dia mahu berkongsi dengan kami cara pembuatan smoothie menggunakan timun, moringa, limau dan madu.

Sumber Imej : signalhfx.ca


Pada hari yang sangat panas sememangnya resipi yang dikongsi olehnya melegakan tekak kami.

Resipi seterusnya yang dikongsikan bersama kami ialah smoothie buah, nenas, pisang, susu, madu. Tidak kedekutnya dengan madu yang diberikan, Anielyn berkongsi dengan kami bahawa madu tersebut juga diternak di ladang Gawad Kalinga Enchanted Farm (GKEF) dan kami boleh membelinya jika mahu.

 

Apa lagi, ramai di antara rombongan kami pun memesan kepadanya kerana dengan harga RM14 untuk sebotol besar madu asli, sukar untuk kita dapat di Malaysia.

Kehidupan Setinggan Di Manila Membuat Mereka Rasa Berada GKEF Seperti Di Disneyland

Anielyn sebelum ini tinggal di Manila sebelum berpindah ke GKEF dan memiliki rumahnya sendiri. Pada awalnya dia berulang alik dari Manila ke GKEF dengan masa menunggu yang sangat lama – tiga jam atau lebih untuk menantikan kenderaannya dan perjalanan untuk ke GKEF mengambil masa lebih kurang dua jam lagi untuk sampai.

Anielyn dan suaminya merupakan antara warga pelopor yang mendapat bahagian dari inisiatif murni GKEF. Anielyn telah menjadi sukarelawan program pendidikan melalui sebuah organisasi di perkampungannya.

Mengumpul Titisan Peluh Untuk Memiliki Sebuah Rumah Sendiri

Pada awal kehadirannya di GKEF, tanah tersebut hanya ada pokok mati menurutnya. Anielyn dan suaminya diberi 10 meter persegi tanah dengan tanaman tomato, daun kucai dan limau nipis.

 

Melalui tanah yang diberikan inilah mereka berhasil mendapatkan rumah. Ini kerana di GKEF, mereka mengikuti program berkebun selama 13 minggu dengan pilihan jika mereka boleh memberi 1000 jam untuk mengeluarkan tenaga membantu komuniti atau memberi ‘sweat equity’ (ekuiti peluh), mereka akan menerima rumah mereka sendiri yang mana ia sesuatu perkara luar dari jangkauan mereka sekeluarga.

GKEF sebenarnya tercetus kerana pada awalnya komuniti Gawad Kalinga bantu membina rumah untuk 2000 komuniti. Namun mereka sedar bahawa mereka tidak hanya memerlukan rumah untuk mengangkat mereka keluar dari kemiskinan tetapi mereka perlu cara untuk menyara kehidupan sekeluarga. Oleh sebab itu, GK telah membuat inisiatif GKEF.

Mengambil Mikrofrancais Palamigan Co. Untuk Menambahkan Pendapatan

Sepanjang Anielyn berada di GKEF, terdapat banyak syarikat dari luar negara telah membantu para petani di GKEF dengan projek-projek yang dijalankan di sini.

 

Anielyn mengambil bahagian dari salah satu perniagaan sosial di GKEF, iaitu Palamigan Co. yang membawa maksud Syarikat Sejuk. Mesin membuat ais serta peti beku yang dimiliki oleh Anielyn telah didermakan kepadanya.

Melalui perniagaan ini, Anielyn boleh menjual kira-kira 200 ais loli sehari di mana satu ais loli itu dijual di antara 7-10 pesos (RM0.50 – RM0.80).

Pengasas Dan Impian Palamigan Co.

Bagi pengasas Palamigan Co., Vip Isada dan Rodmark Barriga bersama Pengarah Eksekutif GKonomics, Rose Cabrera, mereka gembira telah berjaya menghasilkan sebuah sistem francais melalui mesin ais yang dikeluarkan oleh Palamigan Co.

Ia telah membolehkan banyak komuniti mendapat pulangan yang baik melalui penjualan ais ini. Ia lumayan kerana tidak semua orang memiliki peti ais di rumah mereka dan mereka membeli ais ini untuk menyimpan ikan dan membuat minuman pada hari panas dan sebagainya.

Palamigan Co mempunyai aspirasi untuk memberi peluang kepada 1500 mikrofrancais dalam masa 10 tahun dan mereka telah pun memenangi anugerah oleh CNN & BPI Sinag 2018.

Sumber Imej Terencana: twirltheglobe.com

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker