AntarabangsaIsu Semasa

Konflik India Dan Pakistan Masih Tiada Penghujungnya. Apakah Puncanya?

Pakistan dan India merupakan dua buah kuasa nuklear yang sudah sekian lama terpalit dalam konflik bersenjata yang telah mengorbankan ratusan ribu nyawa.

Apakah punca permusuhan yang masih belum ada penghujungnya ini? Mari kita imbas kembali sejarah silam.

Ketika British memerdekakan India daripada dijajah olehnya pada tahun 1947, mereka bersetuju untuk membahagikannya kepada dua negara iaitu:

1. Pakistan – majoriti populasi Islam

2. India – majoriti populasi Hindu

Sementara itu, Bangladesh juga pada asalnya adalah sebahagian daripada Pakistan, namun ia memperoleh kemerdekaan pada tahun 1971 selepas peperangan singkat di antara India dan Pakistan.

Pemisahan secara mengejut (India dan Pakistan) yang dilakukan oleh British menyebabkan jutaan orang berhijrah di antara kedua-dua negara dan kemudian membawa kepada keganasan keagamaan yang menyebabkan ramai nyawa terkorban.

Namun begitu, hanya Jammu dan Kashmir, negeri majoriti penduduk Islam sahaja tidak ditetapkan statusnya selepas peninggalan British.

Difahamkan, kawasan tersebut diperintah oleh seorang putera tempatan.

Disebabkan status yang masih ‘tergantung’ itu, India dan Pakistan saling merebut kawasan berkenaan sekali gus mencetuskan ketegangan dan pertempuran.

Kedua-dua negara selepas itu mula mengerahkan tentera masing-masing, di mana Pakistan menduduki 1/3 dari negeri itu manakala India pula mendominasi 2/3.

Walaupun putera itu telah menandatangani perjanjian agar wilayah itu menjadi sebahagian daripada India, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu kemudian mencadangkan agar sebuah pilihan raya diadakan bagi membolehkan orang ramai menentukannya.

Tetapi, pilihan raya itu tidak dilaksanakan, dan kedua-dua negara terus mentadbir bahagian masing-masing, namun masih berharap untuk mendapat kawalan penuh ke atas wilayah itu sehingga ke hari ini.

Lebih memburukkan keadaan, puak militan sering menggunakan keganasan untuk mengusir tentera India daripada wilayah kawalan mereka.

Pakistan pula dilaporkan menyokong kebanyakan militan itu.

KEADAAN BERTAMBAH BURUK

Pada 14 Februari 2019, seorang anggota militan yang masih muda melancarkan serangan bom berani mati dan meletupkan konvoi trak yang membawa anggota tentera palamiter India di Pulwama, selatan Kashmir.

Insiden itu disifatkan sebagai serangan terburuk sejak 30 tahun yang berlaku di wilayah tersebut memandangkan sekurang-kurangnya 40 anggota palamiter maut.

Kemudian pada 27 Februari, jet pejuang India dan Pakistan terlibat dalam pertempuran di sempadan Jammu dan Kashmir.

Sekurang-kurangnya sebuah pesawat India ditembak jatuh, di mana Pakistan kemudian menahan juruterbangnya.

Pertempuran itu berlaku sehari selepas jet India terbang masuk ke Pakistan dan melancarkan serangan berhampiran bandar Balakot.

Kerajaan India mendakwa bahawa tenteranya menyerang sebuah kem latihan Jaish-e-Muhammed, kumpulan pengganas yang dikatakan menjadi dalang di sebalik serangan bom berani mati pada 14 Februari.

Walau bagaimanapun, Pakistan secara keras menafikan penglibatannya dalam insiden tersebut.

APA YANG AKAN BERLAKU SELEPAS INI?

Pada tahun 2016, insiden yang lebih kurang serupa pernah berlaku apabila kumpulan militan menyerang sebuah pangkalan tentera India di Uri, Kashmir.

Selepas itu, tentera India menceroboh Garisan Kawalan (Line of Control) dan melancarkan serangan balas ke atas kem pengganas di sana.

“Serangan selepas insiden di Uri masuk akal. Kerajaan India memperoleh simpati daripada negara Barat.

“Tetapi kini, memandangkan jet pejuang India ditembak dan juruterbangnya ditahan, situasi mungkin akan bertambah buruk dengan pantas. Ia mustahil untuk keluar daripada situasi sebegini tanpa serangan balas,” kata Myra Macdonald, bekas wartawan yang telah menghasilkan dua buku mengenai hubungan India-Pakistan.

Namun, Sreeram Chaulia, seorang dekan di O.P. Jindal Global University, mempunyai pandangan lain.

Beliau meramalkan bahawa konflik ketenteraan India-Pakistan akan reda tidak lama lagi.

Tetapi, Chaulia sebaliknya meluahkan kebimbangannya tentang kemungkinan militan disokong Pakistan akan melancarkan serangan di India.

“Ancaman pengganas masih belum tamat,” katanya.

Walau bagaimanapun, Perdana Menteri Pakistan, Imran Khan menggesa India untuk menyelesaikan masalah ini menerusi rundingan dan perbincangan, bukan keganasan.

“Semua peperangan besar berpunca daripada kesilapan perhitungan. Soalan saya kepada India, dengan senjata yang kita ada, adakah kita akan melakukan perhitungan yang salah?,” ujar Imran.

Sumber: New York Times

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button