AntarabangsaIsu Semasa

Mengapa Tentera Filipina Sering Tewas Dalam Pertempuran Menentang Abu Sayyaf?

Angkatan Tentera Filipina (AFP) telah melancarkan pelbagai operasi ketenteraan ke atas militan Abu Sayyaf (ASG) yang telah bersumpah taat setia dengan IS, dalam usaha membanteras gejala ekstremisme dan keganasan yang berleluasa.

Namun begitu, usaha menghapuskan militan itu sepenuhnya bukanlah sesuatu tugas yang mudah.

Menurut pakar, walaupun jumlah anggota AFP adalah jauh lebih besar daripada ASG, AFP kerap tewas kepada ASG dalam pertempuran bersenjata.

Apakah faktor yang memberi kelebihan kepada ASG?

“Ia disebabkan persekitaran di sana. ASG amat mahir dengan persekitaran itu memandangkan ia adalah kawasan mereka. Mereka boleh tutup mata dan mengetahui di mana mereka berada.

“Bagi ramai anggota tentera pula, ini adalah kali pertama mereka di pulau Jolo. Mereka tidak biasa dengan persekitaran. Ramai tentera yang masih muda. Mereka tidak mempunyai titik rujukan di hutan,” kata seorang pegawai perisikan.

Dalam pada itu, keadaan di hutan juga amat berbeza mengikut waktu dan keadaan cuaca. Seseorang tentera boleh berada di lokasi yang sama selama berjam-jam, namun pokok-pokok akan kelihatan lain setiap kali.

“Jika pada waktu tengah hari, daun lebih hijau. Apabila sudah hampir senja, ia (daun) akan menjadi warna coklat,” kata seorang wanita dari kaum Tausug yang menetap di pulau itu.

Wanita tersebut menyifatkan permukaan tanah/persekitaran di sana rumit seperti ‘jigsaw puzzle’ yang dipenuhi dengan periuk api.

Di hutan Patikul pula, terdapat dua kumpulan Abu Sayyaf yang diketuai secara berasingan oleh Radulan Sahiron dan Hajan Sawadjaan yang berpangkalan di kawasan tebing tinggi.

“Sekiranya ada operasi ketenteraan di bawah, Ajang-Ajang (sub-kumpulan kepada kumpulan Sawadjaan) akan memaklumkannya kepada anggota bersenjata ASG, yang kemudian berundur ke sebuah lokasi yang sudah ditetapkan,” kata Octavio A. Dinampo, pensyarah sains politik di Mindanao State University.

Jelas beliau, tentera kerajaan selalu tewas kerana anggota-anggota ASG berjuang secara gerila manakala AFP pula menggunakan strategi konvensional.

“Apabila saya kata secara konvensional, divisyen infantri bergerak secara beramai-raai. Jadi, jika anda tidak nampak sekali pun, tembakan anda akan terkena mereka.

“Pejuang ASG pula bergerak dengan pantas dan bersembunyi dengan mudah. Sukar untuk membunuh mereka,” ujar Dinampo yang pernah diculik oleh ASG pada 8 Jun, 2008.

Sementara itu, Zachary Abuza, seorang profesor di National War College di Washington menyatakan bahawa keadaan persekitaran di sana memudahkan ASG untuk melancarkan serangan hendap.

“Persekitaran itu membolehkan serangan hendap dilancarkan. Kanopi hutan di Jolo amat tebal. ASG menyesuaikan diri mereka dengan baik. Mereka mahir dengan persekitaran.

“Sejujurnya, AFP kurang terlatih. Jika ya (dilatih dengan baik), mereka tidak perlu bergantung kepada peluru artileri sebagai taktik serangan balas,” ujarnya.

Abuza turut mempersoalkan bagaimana ASG sentiasa mempunyai bekalan senjata dan peluru yang mencukupi.

Beliau berkata, mungkin berlaku rasuah dalam kalangan AFP sendiri.

“Mereka (ASG) sentiasa mempunyai senjata api dan peluru yang cukup. Mungkin mereka memperolehnya daripada anggota-anggota tentera kerajaan yang terbunuh, tetapi keupayaan mereka untuk mencetuskan peperangan selama bertahun-tahun menunjukkan (kemungkinan) berlaku rasuah dalam kalangan AFP,” jelas beliau.

 

Sumber: The Star – “Deadly Homeground Advantage” oleh Philip Golingai

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button