AntarabangsaIsu Semasa

Kenapa Putera Mahkota Arab Saudi Tidak Mahu Menjejakkan Kaki Ke Negara Barat?

Sejak pembunuhan kejam wartawan Washington Post, Jamal Khashoggi pada Oktober lepas, nama dan imej Putera Mahkota Arab Saudi, Mohammed Bin Salman (MBS) telah tercalar dengan teruk di mata dunia khususnya negara-negara Barat, termasuk sekutu rapatnya Amerika Syarikat (AS).

Hal ini adalah kerana pembunuhan tersebut dipercayai didalangi oleh MBS sendiri, lebih-lebih lagi kerana wartawan terkemuka itu adalah pengkritik hebat kerajaan Arab Saudi.

Malah menurut laporan CNN, Putera itu pada tahun 2017 pernah memberitahu pembantunya bahawa beliau mahu “menggunakan peluru” ke atas Khashoggi.

Baru-baru ini pula, Mohammed dilaporkan telah mengadakan lawatan ke tiga negara gergasi Asia iaitu China, India, dan Pakistan.

Namun persoalannya, apakah tujuan beliau?

Difahamkan, reputasi Putera Mahkota itu masih berada dalam keadaan baik di negara-negara berkenaan.

Di Pakistan, kehadiran MBS disambut dengan tembakan meriam sebanyak 21 das, iringan jet pejuang, dan beliau turut menerima hadiah sub-mesingan bersalut emas.

Di India, Perdana Menteri Narendra Modi melanggar protokol apabila beliau menyambut kedatangan MBS di landasan kapal terbang sambil memberi beliau pelukan yang besar.

Di China pula, MBS berpeluang untuk bergambar dengan Presiden Xi Jinping, yang merupakan salah seorang pemimpin yang paling berkuasa di dunia.

Tetapi sekiranya Mohammed memutuskan untuk melawat AS atau Eropah pada waktu ini, terdapat kemungkinan besar beliau tidak akan menerima layanan yang baik.

Dalam pada itu, China sudah lama menjadi rakan kongsi dagang terbesar Arab Saudi. Ketika lawatan, tiada seorang pun pemimpin yang membuka cerita tentang kes Khashoggi, dan MBS juga tidak mengkritik, malah menyokong langkah ‘anti-keganasan’ China yang menempatkan umat Islam di wilayah Xinjiang di dalam kem tahanan.

Walaupun serangan ke atas golongan minoriti Islam menjadi satu isu yang besar di India, MBS dilihat tidak menghiraukan perkara itu dan sebaliknya berbincang tentang potensi perjanjian bernilai AS$100 bilion dengan negara tersebut.

Bagi senario di Pakistan pula, Jonathan Fulton, seorang profesor di Zayed University di Abu Dhabi yang pakar dalam hubungan China-Timur Tengah berkata, Pakistan merupakan negara yang amat penting kepada Arab Saudi, terutamanya sejak bekas bintang kriket, Imran Khan menjadi Perdana Menteri.

Arab Saudi dan Pakistan telah lama menjalinkan hubungan yang kuat, dan salah satu faktor utama adalah kerana memegang kepercayaan agama yang serupa iaitu Islam.

Arab Saudi juga pernah membantu Pakistan ketika penaklukan Soviet di Afghanistan.

Selepas kematian Khashoggi pada tahun lepas, pemimpin-pemimpin perniagaan Barat telah memboikot sebuah persidangan pelaburan di Arab Saudi yang diberi gelaran “Davos in the Desert.”

Namun, Khan merupakan salah seorang pemimpin dunia yang hadir ke persidangan itu, dan kemudian sanggup bergambar bersama MBS.

Kemudian, Arab Saudi dilaporkan memberi Pakistan AS$6 bilion untuk mengurangkan beban ekonomi negara tersebut, sekali gus mengukuhkan lagi persahabatan di antara kedua-dua negara.

Sementara itu, India dan China juga merupakan rakan kongsi penting bagi Arab Saudi yang menyediakan kepakaran teknologi kepadanya.

“Hubungan di antara India dan Arab Saudi sudah berada dalam DNA kami. India telah menjadi sebahagian daripada pembangunan Arab Saudi selama 70 tahun,” kata Putera Mahkota itu.

Kini, seramai 3 juta rakyat India menetap di Arab Saudi dan mereka menjadi sumber tenaga kerja yang penting.

Tahun lepas, China merupakan rakan kongsi dagang Arab Saudi yang terbesar dengan jumlah import bernilai AS$46 bilion.

Anoush Ehteshami, seorang profesor hubungan antarabangsa di University of Durham, sambutan baik yang diterima MBS ketika melawat Asia merupakan satu kemenangan buat Arab Saudi.

“Pesanannya kepada Barat adalah: Anda boleh menjauhi saya, tetapi saya tidak berseorangan,” jelas Ehteshami.

Sumber: CNN, Saudi Gazette
Tags
Show More

Related Articles

Back to top button
Close