AntarabangsaIsu Semasa

Jika Menang Pilpres 2019, Jokowi Ada Rancangan Istimewa Untuk Penduduk Kampung

Presiden Indonesia, Joko Widodo atau lebih mesra dikenali sebagai Jokowi berikrar untuk meningkatkan dana bagi masyarakat kampung di seluruh negara kepada hampir AS$30 bilion bagi tempoh lima tahun akan datang sekiranya beliau memenangi Pilihan Raya Presiden 2019 (Pilpres 2019) pada April ini.

Walau bagaimanapun, terdapat perdebatan dan pertikaian tentang keberkesanan program yang dikenali sebagai “Dana Desa” itu.

Bukan itu sahaja, malah wujud juga kebimbangan bahawa program itu boleh memburukkan lagi gejala rasuah di negara yang mempunyai populasi Muslim terbesar di dunia itu.

Pada pilihan raya kali ini, Jokowi akan sekali lagi menentang bekas jeneral tentera, Prabowo Subianto yang pernah menjadi pesaing beliau ketika pemilihan tahun 2014.

Jokowi berkata, pentadbirannya akan menyalurkan 257 trilion rupiah kepada penduduk desa, dan angka itu dijangka meningkat kepada 400 trilion rupiah jika beliau diberi mandat untuk memerintah buat penggal yang kedua (lima tahun lagi).

“Separuh daripada rakyat Indonesia menetap di desa dan tahap kemiskinan di sana lebih tinggi berbanding di kawasan bandar.

“Dengan penggunaan (dana) yang lebih baik, kesejahteraan rakyat dapat diagihkan dengan lebih adil ke kawasan-kawasan kampung terpencil,” ujarnya.

Difahamkan, agensi anti-rasuah Indonesia telah menahan ratusan pegawai-pegawai kampung atas kesalahan rasuah sejak program Dana Desa dilancarkan pada tahun 2015.

Berdasarkan statistik, terdapat 181 kes rasuah berkaitan dengan skim itu setakat hujung tahun lalu.

Prabowo juga mengkritik Jokowi kerana kesilapannya dalam urus tadbir ekonomi sambil mendakwa bahawa kesalahan itu telah menyebabkan ramai rakyat Indonesia menjadi miskin.

Kem Prabowo turut menuduh Presiden tersebut menggunakan Dana Desa dan Dana Daerah yang baru diperkenalkan, semata-mata untuk memenangi undi.

Dalam laporan pada tahun 2017, Bank Dunia menyatakan bahawa dana itu tidak berjaya mengurangkan kemiskinan di kawasan pedalaman disebabkan kekangan yang mengehadkan perbelanjaan.

Namun begitu, Bank Dunia tetap mengiktiraf jasa Jokowi untuk meningkatkan impak program tersebut.

Sementara itu, Prabowo berjanji untuk memberi 1 bilion rupiah kepada setiap kampung di seluruh kepulauan itu jika beliau meraih kemenangan pada April ini.

Sumber: Reuters:

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button