Gaya HidupKesihatan

Jauhi Makanan Ini Kata Doc K!

Bagi kanak-kanak, alahan terhadap makanan bukanlah sesuatu yang luar biasa. Tapi bagi ibu bapa, masalah ini sudah cukup untuk membuatkan mereka panik.

Supaya anda lebih bersedia untuk berhadapan dengan masalah ini, berhati-hati dengan makanan berikut.

 

1. Susu lembu atau susu soya

Alahan terhadap susu lembu mungkin disebabkan oleh tubuh tidak dapat menerima laktosa atau tidak dapat menerima protein susu. Masalah ini sangat biasa dihadapi oleh kanak-kanak. Alahan ini boleh menyebabkan kanak-kanak mengalami cirit-birit yang teruk atau muntah-muntah.

 

2. Telur, ikan dan madu

Ibu bapa perlu lebih berhati-hati jika ingin memberi anak makan telur, ikan dan madu kerana makanan ini boleh menyebabkan alahan.

Bayi tidak digalakkan diberi makan telur kerana mengandungi bakteria salmonella manakala dalam madu mentah pula mengandungi botulism.

Kanak-kanak yang alah terhadap telur dan ikan biasanya akan mengalami ruam atau muntah. Kesan alahan terhadap telur boleh berlaku serta-merta atau sehari selepas mengambilnya.

 

3. Kekacang dan kerang-kerangan

Pakar pediatrik menyarankan ibu bapa tidak memberi anak mereka makan kekacang atau kerang-kerangan selagi mereka belum berusia dua tahun. Kekacang dan kerang-kerangan boleh menyebabkan anafilaksis iaitu tindak balas abnormal terhadap antigen tertentu.

 

4. Strawberi

Ramai yang tidak mengetahui bahawa ada sesetengah kanak-kanak alahan terhadap buah beri seperti strawberi. Walaupun jarang berlaku, hal ini tidak boleh dipandang ringan.

Alahan terhadap strawberi boleh menyebabkan kanak-kanak tersebut mengalami ruam pada pipi dan sekitar mulut.

Ada kalanya, alahan tersebut boleh menyebabkan bengkak sekitar mulut, bibir, tekak dan muka. Biasanya pakar pediatrik menyarankan agar kanak-kanak hanya diberi selepas mereka berusia satu tahun.

 

5. Gandum

Alahan terhadap gandum boleh menyebabkan cirit-birit, kekeringan dan gatal pada kulit dan kepala. Biasanya alahan ini disebabkan oleh kandungan gluten dalam gandum.

Kanak-kanak yang alah terhadap gandum perlu mengamalkan diet yang betul-betul bebas gluten.

 

Empat soalan tentang alahan makanan

Soalan 1:

Apakah yang dimaksudkan dengan alahan makanan?

Jawapan:

Alahan makanan berlaku apabila sistem imun tubuh bertindak balas dengan protein yang wujud dalam sesetengah jenis makanan.

 

Soalan 2:

Bolehkah alahan terhadap makanan ini dielakkan?

Jawapan:

Boleh. Caranya ialah dengan melambatkan proses memperkenalkan makanan yang berpotensi menyebabkan alahan kepada anak.

 

Soalan 3:

Apakah tanda-tanda yang menunjukkan seseorang kanak-kanak itu mengalami alahan?

Jawapan:

Ruam pada kulit, sukar untuk bernafas, loya, muntah-muntah, sakit perut dan anafilaksis.

 

Soalan 4:

Bagaimanakah caranya untuk merawat alahan?

Jawapan:

Elakkan makanan yang berpotensi menyebabkan alahan tersebut. Jika masalah berlarutan, segera bawa anak berjumpa doktor untuk pemeriksaan lanjut.

Sumber : http://pama.karangkraf.com

Untuk maklumat lanjut, anda boleh hubungi Dr. Khairul Izan Md Ghani di laman Facebooknya, Get Well By Doc K. 

* Dr Khairul Izan Md Ghani merupakan Pakar Bedah yang berpengalaman dalam bidang perubatan lebih daripada 13 tahun dan menjadi Pakar Bedah untuk lebih daripada 10 tahun. Beliau yang pernah berkhidmat di Hospital Kuala Lumpur, Hospital Putrajaya, Hospital Ampang dan Pusat Perubatan UKM ini juga merupakan mantan pensyarah perubatan, penulis dan konsultant di beberapa institusi di Kuala Lumpur. Pengalaman yang luas ini juga menyebabkan beliau sering dijemput untuk memberi ucaptama dalam seminar dan acara di dalam dan luar negara.
Kini beliau berkhidmat di Hospital Colombia Asia Petaling Jaya.

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button