Sukan

Siapakah CEO Institut Sukan Negara Yang Baharu?

Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman semalam telah mengumumkan pelantikan Timbalan Pengarah Bahagian Perkhidmatan Sosial, Kementerian Hal Ehwal Ekonomi, Ahmad Faedzal Md Ramli sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Institut Sukan Negara (ISN) yang baharu.

Pengumuman yang dibuat melalui media sosial rasmi Instagram Kementerian Belia dan Sukan dilakukan setelah Dr Mohd Khairi Zawi memendekkan tempoh kontraknya dari Januari 2019 kepada 30 November yang lalu.

 

Kaedah Perlantikan Melalui Proses Terbuka

Syed Saddiq berkata pelantikan tersebut telah melalui proses terbuka di mana sesiapa sahaja boleh menghantar permohonan untuk mengisi kekosongan jawatan tersebut.

“Ahmad Faedzal merupakan calon terbaik dengan berpengalaman luas selama 18 tahun dalam bidang pengurusan. Beliau sebelum ini mengendalikan akaun ISN dan Majlis Sukan Negara (MSN) ketika berkhidmat di Unit Perancang Ekonomi (EPI),” kata Syed Saddiq menerusi Bernama.

 

CEO Yang Berpengalaman Dalam Sukan

Ahmad Faedzal, 41 tahun berkelulusan Ijazah Sarjana Pengurusan Sukan dari Florida State University sebelum ini merupakan Setiausaha Agung Majlis Kebajikan dan Sukan Anggota-Anggota Kerajaan Malaysia (MAKSAK) dan memiliki Lesen Futsal Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) Tahap 1.

Beliau berazam untuk membawa dimensi baharu dalam melaksanakan peranan utama bidang sains sukan dan sains perubatan sukan.

“Peranan ISN kembali seperti dahulu di mana ISN memberi perkhidmatan sains sukan, sains perubatan sukan dan khidmat kepakaran analisis seperti analisis prestasi.

ISN dan MSN akan berkolaborasi dengan baik untuk pastikan atlet-atlet kita bersedia khususnya untuk Sukan SEA akan datang dan Sukan Olimpik 2020 dengan sasaran meraih pingat emas pertama negara di temasya berkenaan. Kita akan kukuhkan kerjasama dengan MSN demi matlamat itu,” kata Faedzal.

 

Menyerap Kembali Tenaga Kerja Tempatan

Katanya lagi beliau yakin tenaga kerja tempatan yang terlibat dengan Program Podium sebelum ini yang diserap kembali ke dalam ISN mampu untuk melaksanakan visi dan misi ISN dalam pembangunan sains sukan, sains perubatan sukan serta sukan negara.

“Ketika Program Podium di bawah ISN, banyak tenaga dari luar negara dan ia memberi kebaikan kepada saintis sukan tempatan mempelajari sesuatu daripada mereka.

Saya yakin pakar tempatan telah belajar daripada tenaga luar dan pengalaman tiga tahun bekerjasama dalam Program Podium dapat membantu pelaksanaan tugas berikutnya,” katanya.

 

Hanya Tinggal 1/5 Tenaga Luar Di ISN

Menurut Ahmad Faedzal lagi, ketika ini hanya tujuh tenaga luar masih bertugas di ISN berbanding 35 petugas sebelum ini.

Ahmad Faedzal juga menjangkakan pendapatan antara RM15 juta hingga RM20 juta menerusi perkhidmatan yang diberikan kepada atlet negara dan beberapa perkhidmatan yang dikomersilkan melalui pelaksanaan model baharu ISN.

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button