AntarabangsaIsu Semasa

Puteri Reema: Duta Wanita Pertama Arab Saudi Ke AS

Arab Saudi baru-baru ini telah melantik Puteri Reema Binti Bandar sebagai duta barunya ke Amerika Syarikat (AS) bagi menggantikan Putera Khalid Bin Salman, iaitu adik lelaki Putera Mahkota Mohammed Bin Salman (MBS).

Ini sekali gus menjadikan Puteri Reema duta wanita pertama negara itu ke Washington, manakala Puter Khalid pula kini dilantik sebagai Naib Menteri Pertahanan.

Difahamkan, rombakan ini dilakukan berikutan hubungan Arab Saudi-AS yang semakin tegang susulan kes pembunuhan kejam wartawan terkemuka, Jamal Khashoggi, yang didakwa didalangi oleh MBS.

Khashoggi dibunuh pada bulan Oktober tahun lepas di konsulat Arab Saudi di Istanbul, Turki.

Pada asalnya kerajaan Arab Saudi berkali-kali menafikan sebarang penglibatan dalam kes itu, namun akhirnya mengakui bahawa pembunuhan tersebut dilakukan ejen-ejennya.

Walau bagaimanapun, kerajaan menyifatkan pembunuhan itu sebagai “rogue operation”, di mana ia dilakukan oleh ejen-ejen berkenaan dengan sendiri tanpa pengetahuan dan kelulusan daripada pihak atasan.

Kini, Puteri Reema berdepan cabaran besar untuk menyelesaikan krisis ini memandangkan penggubal undang-undang AS mengugut untuk mengambil tindakan keras terhadap Arab Saudi di atas pembunuhan yang tidak berperikemanusiaan itu.

Cabaran utama yang akan dihadapi oleh Puteri Reema adalah untuk memenangi hati Kongres, yang pada awal bulan ini telah sebulat suara bersetuju untuk menamatkan penglibatan AS dalam peperangan Yaman yang diketuai oleh Arab Saudi.

Bukan itu sahaja, malah Kongres juga mengecam tindakan Presiden Donald Trump yang secara terang-terangan menzahirkan sokongannya terhadap MBS.

Dalam pada itu, AS juga berpandangan bahawa MBS, secara peribadi bertanggungjawab dalam melaksanakan pembunuhan Khashoggi, lebih-lebih lagi kerana wartawan Washington Post itu adalah pengkritik hebat kerajaan Arab Saudi.

“Pelantikan duta baru ini menandakan usaha Riyadh untuk cuba dan memperbaharui semula hubungan bersama Washington dan menyelesaikan isu Khashoggi,” kata Kristian Ulrichsen, seorang felo di Rice University’s Baker Institute di AS.

Puteri Reema merupakan anak perempuan kepada bekas duta Arab Saudi ke AS, dan beliau mengetuai rancangan pemerkasaan wanita di negara itu.

Puteri tersebut juga pernah berkhidmat di Pihak Berkuasa Umum Sukan Arab Saudi, di mana beliau mengetuai kempen yang bertujuan untuk meningkatkan penglibatan wanita dalam sukan.

Sumber: AFP

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker