AntarabangsaIsu Semasa

Keadaan Hak Asasi Manusia Masih Teruk Di Korea Utara, Tetapi…

Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump dan pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un akan bertemu buat kali kedua dalam sidang kemuncak yang akan berlangsung pada Rabu dan Khamis ini dalam usaha mencapai keamanan di Semenanjung Korea.

Pelbagai isu akan dibincangkan pada sidang kemuncak tersebut, terutamanya berhubung denuklearisasi penuh (menghentikan program senjata nuklear sepenuhnya) Korea Utara.

Walau bagaimanapun, terdapat satu isu yang sudah lama diketahui tetapi mungkin terlepas pandang, iaitu masalah hak asasi manusia.

Menurut kumpulan hak asasi manusia, kira-kira separuh rakyat Korea Utara yang belot telah mengharungi seksaan fizikal di tangan pihak berkuasa rejim itu.

Pada tahun 2015 dan 2018, satu kajian telah dilaksanakan oleh sebuah pertubuhan yang berpangkalan di Korea Selatan, iaitu Transitional Justice Working Group.

Kajian yang membabitkan 451 pembelot itu mendapati kira-kira 48% daripada responden pernah menjadi mangsa kekejaman pihak berkuasa Pyongyang termasuk dipukul, diseksa, dan dirogol.

Dalam satu wawancara baru-baru ini, Setiausaha Negara AS, Mike Pompeo yang kini sudah berada di Vietnam untuk menghadiri sidang kemuncak itu, memberi jaminan tentang komitmen Washington untuk bersuara dan mengambil tindakan ke atas pelanggaran hak asasi manusia, termasuk yang berlaku di Korea Utara.

“Amerika Syarikat akan mengkritik pelanggaran hak asasi manusia tidak kira di mana-mana pun ia berlaku, sama ada kes Uighur ditahan dalam kem tahanan China, mahupun kegiatan di Korea Utara.

“Tiada negara lain yang bertindak menentang pelanggaran hak asasi manusia seperti yang dilakukan oleh AS, dan Presiden Trump berada di barisan paling hadapan dalam membuat demikian,” kata Pompeo.

Walau bagaimanapun, isu hak asasi manusia dilihat tidak berada dalam senarai agenda rundingan AS-Korea Utara kali ini.

Sementara itu, Menteri Luar Korea Selatan, Kang Kyung-wha memberitahu Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bahawa “hak asasi manusia tidak boleh menyaksikan sebarang kemajuan sekiranya tiada keamanan,” memandangkan masih tiada perkembangan memberangsangkan dalam isu denuklearisasi Korea Utara.

Jelas beliau, perkembangan dalam inisiatif menjadikan “Semenanjung Korea bebas nuklear” akan mendatangkan pelbagai manfaat, termasuk keadaan hak asasi manusia yang lebih baik.

Sumber: Straits Times – Reuters

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button
Close