AntarabangsaIsu Semasa

Suu Kyi Minta Pelabur Melakukan Pelaburan Di Negeri Rakhine

Pemimpin berkontroversi Myanmar, Aung San Suu Kyi menyeru pelabur-pelabur untuk melakukan pelaburan di negeri Rakhine yang terpalit dengan pelbagai krisis.

Beliau berkata, dunia hanya “memberi fokus terhadap aspek negatif secara sempit” di negeri itu yang menyaksikan kira-kira 730,000 warga etnik Islam Rohingya melarikan diri susulan kekejaman dan penindasan yang dilakukan oleh tentera Myanmar ke atas mereka.

Dalam satu lawatan yang jarang berlaku ke Rakhine, Suu Kyi turut menekankan kepentingan amalan perniagaan bertanggungjawab.

Walaupun bercakap tentang konflik di Rakhine, beliau tidak menyebut langsung tentang krisis yang menimpa etnik Rohingya.

Ramai warga Rohingya masih berada di Bangladesh, dan ratusan ribu warga etnik itu serta orang Islam lain juga masih terperangkap di kem dan kampung di Rakhine, di mana pergerakan mereka turut disekat.

“Perhatian masyarakat antarabangsa sudah terlalu lama memberi fokus secara sempit ke atas aspek-aspek negatif berkaitan dengan masalah di utara Rakhine berbanding gambaran lebih besar yang menunjukkan potensi yang ada pada negeri ini untuk keamanaan dan pembangunan,” kata Suu Kyi.

Ujar beliau, kerajaan pimpinannya juga menyedari “cabaran-cabaran besar” yang ia menghadapi di Rakhine dan sedang melakukan yang terbaik untuk menangani masalah-masalah berkenaan.

Dalam pada itu, penerima Anugerah Nobel itu juga berikrar untuk menjadikan Myanmar menjadi lebih mesra pelaburan memandangkan kerajaannya sedang berusaha untuk meningkatkan pelaburan asing yang semakin menurun serta pelancongan di bahagian Barat.

Menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), kempen ketenteraan pada tahun 2017 yang mengusir Rohingya telah dirancang dengan tujuan melakukan “genosid.”

Namun, Myanmar secara keras terus menafikan tuduhan-tuduhan yang mendakwa ia melakukan pembunuhan secara besar-besaran dan juga rogol.

Jelas Myanmar, operasi ketenteraan itu adalah “tindak balas yang sah” untuk membanteras ancaman pemberontakan, sambil menyatakan bahawa kerajaan kini menerima kepulangan pelarian ke tanah air.

Sementara itu, sebuah laporan pada bulan Disember mendedahkan bahawa pegawai-pegawai kerajaan telah membina rumah-rumah baru untuk penganut Buddha di kawasan yang pernah menjadi tempat tinggal warga Rohingya.

Ini sekali gus menjadikan ia mustahil bagi ramai pelarian Rohingya untuk pulang semula ke kediaman mereka.

Tetapi kerajaan Myanmar berkata, ia telah bersedia untuk menerima kepulangan pelarian sejak bulan Januari lagi dan menafikan sebarang diskriminasi ke atas orang Islam yang kekal di Rakhine.

Sumber: Reuters

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button