Bisnes & Ekonomi

Daripada Seorang Sukarelawan Menjadi Usahawan ‘Soft Toy’ Kebanggaan Filipina

Bagi orang Filipina, mungkin jenama “Plush And Play” soft toy sudah tidak asing lagi bagi mereka kerana ia merupakan satu-satunya pengeluar mainan lembut tempatan.

Ia merupakan hasil idea seorang pemuda Perancis yang telah menjadi sukarelawan di Gawad Kalinga Enchanted Farm selama tiga bulan. Beliau telah menubuhkan sebuah kumpulan orang muda yang berbakat disebalik pembikinan mainan lembut dengan konsep sayur dan buah-buahan tempatan Filipina yang bernama Batang Bayani International, Inc. (BBI).

 

Daripada Seorang Sukarelawan Menjadi Usahawan

Fabien Courteille. Sumber Imej : philstar.com

Fabien Couteille, merupakan pengasas BBI ini telah ke Filipina semasa sedang menyiapkan Sarjana Perniagaannya di Perancis pada tahun 2011.

Ia merupakan tahun yang sama negara-negara di Eropah sedang mengalami krisis kewangan. Dan pada masa itu menurutnya semua ahli perniagaan atau pemilik syarikat dianggap orang yang jahat kerana terpaksa memberhentikan kerja, menggunakan perkhidmatan dari negara luar dan meninggalkan syarikat mereka.

“Saya keliru ketika itu dan berfikir adakah saya mahu menjadi seorang yang jahat? Walhal menjadi seorang usahawan seharusnya boleh memberi peluang kepada orang lain, mencipta pekerjaan untuk orang ramai, mencari solusi ekonomi, sosial dan masalah alam sekitar.

Akhirnya saya mengambil keputusan untuk berhenti seketika pembelajaran saya dan mencari model perniagaan yang baharu.

Saya terdengar tentang Gawad Kalinga melalui sebuah pertubuhan pelajar AIESEC. Saya membaca tentang visi dan matlamat mereka sehingga akhirnya saya memutuskan untuk menjadi sukarelawan selama tiga bulan,”cerita Fabien kepada Choose Philippines.

 

Mahu Mendidik Kanak-kanak Melalui Mainan Lembut

Semasa berada di Gawad Kalinga, beilau telah terinspirasi dengan visinya untuk menjadi “Silicon Valley” untuk perniagaan sosial. Oleh itu dia telah berhasrat untuk mendirikan perniagaan sosialnya sendiri sehingga berdirinya BBI pada Oktober 2012.

Melihat semua mainan lembut yang dijual di Filipina adalah buatan luar negara, Fabien berhasrat untuk menjadi pelopor pengeluar mainan lembut hasil buatan warga Filipina sendiri.

BBI akhirnya telah mengeluarkan sebuah konsep mainan lembut yang mesra alam, selamat serta boleh mendidik kanak-kanak Filipina serta serata dunia dengan misi untuk memberi inspirasi dan mendidik generasi baharu berdasarkan prinsip, cerita dan nama Filipina serta Gawad Kalinga.

Para Ibu Yang Menjahit Telah Dibuang Kerja Menjadi Pendorong Utama

“Saya telah terdorong melakukan ini kerana terdengar cerita para ibu yang telah hilang kerja menjahit mereka kerana syarikat tersebut telah menggunakan perkhidmatan dari luar negara seperti China dan Kemboja.

Saya mahu melihat jika sebuah perniagaan sosial baharu boleh terbina berdasarkan latar belakang perniagaan yang saya pelajari dengan kemahiran yang terdapat ibu-ibu ini, serta inspirasi yang datang dari kanak-kanak pelbagai perkampungan. Oleh itu, kami telah mencipta produk sebegini.

Mainan Lembut Dilihat Menjadi Medium Baik Untuk Bahan Cerita Kanak-kanak

Kami juga telah mencipta sebuah cerita untuk dijadikan inspirasi bagi generasi muda Filipina dan mainan lembut sebagai medium yang baik untuk menjadi bahan cerita,” jelas Fabien yang lahir di Normandie, Perancis yang memberi setiap watak mainan lembut ini berdasarkan orang ternama di Filipina seperti Manny Pakwan (Manny Pacquiao, petinju terkenal), Okra Aunor (Nora Aunor, pelakon Filipina), Buko Martin dan banyak lagi.

Masih Giat Mendorong Warga Miskin Filipina Keluar Dari Kancah Kemiskinan

Sehingga kini, Fabien yang berusia 30 tahun rajin untuk menjadi sukarelawan Gawad Kalinga dan masuk ke daerah kecil untuk mengetengahkan konsep perniagaan sosial ini kepada mereka dengan misi GK untuk mengeluarkan 5 juta warga miskin Filipina keluar dari kepompong kemiskinan yang dialami.

Mengakui kejayaannya mencipta sebuah jenama bukannya mudah, beliau berkata,”Jangan takut untuk mempunyai impian yang besar dan berjalanlah pada jalan anda sendiri, carilah perkara yang membuat anda minat dan jika ia dapat membantu orang lain keluar dari kancah kemiskinan, lakukanlah secara besar-besaran!”

 

Boleh Didapati Di Pusat Membeli-Belah dan Mal Atas Talian

Kini Push & Play boleh didapati di beberapa pusat membeli-belah di Filipina seperti Kingdom SM Megamall, The Parenting Emporium, The Philippine Artisan Trade, Yiippee Store, Able Store, dan Hop/Bop Shop.

Selain itu ia turut dijual di atas taian seperti Lazada, Shopinas dan The Good Store dan bagi sesiapa yang melawat Gawad Kalinga Enchanted Farm, anda boleh membeli produk keluaran mereka disamping dapat membuat mainan lembut hasil jahitan anda sendiri!

Salah seorang peserta rombongan MyHarapan ke GKEF cuba menjahit mainan lembut buatan sendiri

Modal Perniagaan Hanya RM400!

Menurut Fabien, hasil pendapatan mereka yang terbesar merupakan pelanggan korporat mereka dengan kemasukan sebesar USD$20,000.

Selain daripada menjual produk mereka, BBI juga mengadakan bengkel untuk membuat mainan lembut dan mengelolakan aktiviti di sekolah serta majlis keraian.

Ini merupakan kejayaan yang dibanggakan BBI/Plush&Play kerana di Filipina terdapat kekangan sebagai orang luar untuk mendirikan perniagaan di Filipina. Fabien mendirikan syarikat ini tanpa modal yang besar.

Ia dimulakan dengan hanya 5000 pesos (RM391.50), oleh itu BBI harus sangat berhati-hati dengan setiap sen yang mereka miliki dan memastikan setiap wang yang dikeluarkan bakal memperoleh hasil yang terbaik.

 

Pasaran Bermusim

Menurutnya lagi, industri ini bermusim oleh itu kita perlu mendapatkan wang secukupnya untuk meletakkan syarikatnya pada posisi yang boleh bertahan sepanjang tahun. Apatah lagi pasaran mainan lembut ini sering dibanjiri dengan produk murah. Dengan itu, Plush & Play harus menunjukkan kreativiti dan nilai yang lebih berharga untuk pelanggannya menerima dan membeli barangan keluaran mereka.

 

Tips Usahawan Memulakan Perniagaan oleh Fabien

Melalui temubual Fabien dengan mommyginger, Fabien telah berkongsi tiga ciri-ciri yang patut ada untuk seorang usahawan startup memulakan perniagaan:-

1. Seseorang perlu komited. Ia bukannya sebuah hobi, ia merupakan pekerjaan sepenuh masa.
2. Seseorang perlu belajar untuk “menyerah diri” kepada orang yang betul kerana ia memerlukan sekumpulan untuk menjalankan sesebuah organisasi.
3. Seseorang itu perlu menjadi pemimpin yang bertauladan, harus bersedia untuk melakukan pekerjaan yang perlu dilakukan dan memastikan keperluan pihak berkepentingan (pelanggan, pekerja, dan sebagainya)

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker