AntarabangsaIsu Semasa

Filipina Tidak Akan Tunduk Kepada Tuntutan Abu Sayyaf

Kerajaan Filipina dalam satu kenyataan pada Jumaat, 22 Februari 2019 memberi jaminan akan berusaha bertungkus lumus demi menyelamatkan tebusan dua warga Indonesia dan seorang rakyat Malaysia yang diculik oleh kumpulan militan Abu Sayyaf.

Walau bagaimanapun, kerajaan kekal dengan pendirian tegas untuk tidak tunduk pada permintaan militan itu yang menuntut kerajaan untuk membayar wang tebusan lumayan dibayar bagi membebaskan mangsa-mangsa culik.

“Kita sedang melakukan yang terbaik untuk memastikan pembebasan tebusan-tebusan daripada cengkaman kumpulan Abu Sayyaf yang kejam, tetapi kita berpegang teguh kepada dasar kami yang tidak akan membayar wang tebusan.

“Menunduk pada tuntutan pengganas dan kumpulan-kumpulan haram lain hanya akan menggalakkan lagi mereka untuk melakukan lebih banyak penculikan,” kata jurucakap presiden, Salvador Panelo.

Tambah Panelo, pembayaran wang tebusan kepada pengganas juga akan membolehkan mereka melakukan kegiatan-kegiatan keganasan dan jenayah lain kerana mereka akan mampu membeli lebih banyak senjata.

Awal minggu ini, terdapat sebuah video tular yang menunjukkan tebusan-tebusan merayu kepada kerajaan negara masing-masing agar membebaskan mereka sementara penculik meletakkan pisau ke leher mereka.

Tebusan-tebusan tersebut membuat rayuan itu dalam keadaan melutut dan mata ditutup oleh kain, dan Abu Sayyaf dilaporkan menuntut wang tebusan bernilai lebih daripada AS$700,000 (RM2.8 juta).

Mereka dipercayai berada di kepulauan Jolo yang terletak 1,000 kilometer daripada Manila, ibu kota Filipina.

Panelo berkata, pasukan kerajaan akan terus memburu Abu Sayyaf yang menjadi dalang di sebalik beberapa serangan pengganas yang terburuk di Filipina dan kes-kes penculikan untuk tebusan berprofil tinggi.

Difahamkan, tebusan-tebusan berkenaan diculik pada 5 Disember 2018 daripada kapal pemukat ikan di wilayah Tawi-Tawi.
Sebelum ini, Abu Sayyaf pernah memenggal kepala mangsa mereka kerana wang tebusan tidak dibayar. Salah seorang mangsa merupakan rakyat Jerman berusia 70 tahun yang berada di bawah tahanan militan itu selama tiga bulan pada tahun 2017.

Sumber: Straits Times – DPA

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker