AntarabangsaIsu SemasaPolitik

Kurang Dua Bulan Menjadi Ahli Kongres, Ilhan Omar Terpalit Dengan Pelbagai ‘Kontroversi’

Ilhan Omar melakar sejarah baru pada bulan Januari apabila menjadi warga Somalia-Amerika yang pertama dan salah seorang wanita Islam pertama dilantik sebagai ahli Kongres Amerika Syarikat (AS).

Pelantikan beliau ke dalam Kongres adalah berikutan kemenangannya dalam Pilihan Raya Pertengahan Penggal yang berlangsung pada bulan November tahun lalu.

Namun kurang daripada dua bulan memegang jawatan itu, Omar sudah pun terpalit dengan pelbagai ‘kontroversi’.

Baru-baru ini, beliau dipaksa untuk memohon maaf di atas kenyataannya yang disifatkan oleh pemimpin-pemimpin Demokrat sendiri sebagai mengandungi “unsur anti-semitik dan tuduhan yang memudaratkan.”

Tidak cukup dengan itu, kritikan hebatnya ke atas  Elliot Abrams, iaitu seorang pegawai kepada Presiden Donald Trump sekali lagi menjadi tajuk utama berita.

Difahamkan, Omar muncul sebagai ‘mimpi ngeri’ utama terhadap Republikan, yang sering ‘menyerang’ beliau ke atas pandangannya mengenai isu hubungan Palestin-Israel.

“Ahli Kongres Ilhan Omar dengan pantas membina reputasi untuk dirinya sendiri sebagai seorang individu muda, berani, dan progresif yang sanggup mencabar sesetengah perkara sensitif Washington DC yang tidak patut dipersoalkan, kumpulan-kumpulan berkepentingan yang kuat, dan ‘godfather’ konservatif seperti Elliot Abrams.”

“Ini adalah mengapa penduduk-penduduk di kawasannya melantik beliau (sebagai wakil Dewan Perwakilan), mengapa beliau terus menginspirasi kemajuan dan ini adalah bukti apa yang mereka (pengundi) mengharapkan daripadanya – iaitu menuntut kebertanggungjawaban, pengawasan, dan mengkritik semua orang, tanpa sebarang penyesalan,” kata Wajahat Ali, kolumnis akhbar New York Times.

Walau bagaimanapun tambah Ali, Omar sedang belajar bahawa perkara ini bergerak secara dua hala.

Jelas Ali, kontroversi yang terpalit dengan wakil rakyat itu menunjukkan bahawa beliau “masih mentah dan perlu menjadi lebih sensitif dengan bahasa yang digunakannya.”

Tetapi ujar penulis itu lagi, Omar turut menjadi ‘sasaran’ pihak-pihak tertentu hanya kerana beliau adalah seorang wanita beragama Islam dan berkulit hitam.

“Beliau telah meminta maaf, nampaknya beliau memahaminya. Tetapi, Omar juga menjadi sasaran kerana beliau adalah seorang wanita berkulit hitam dan beragama Islam,” tegas Ali.

Sejak menjadi anggota Kongres, pendirian Omar mengenai Israel, iaitu salah satu sekutu rapat AS, telah mencetuskan kontroversi kerana dianggap melanggar ‘tradisi’ yang sudah lama di Washington.

Difahamkan, beliau menyokong pergerakan  BoycottDivestment and Sanctions (BDS) yang diwujudkan untuk memberi tekanan kepada Israel supaya menamatkan penempatan haram mereka di Tebing Barat.

Menurut Omar, beliau hampir ketawa apabila ahli-ahli politik AS mengangkat Israel sebagai contoh ‘demokratik.’

Disebabkan kenyataan-kenyataannya yang dianggap berkontroversi, Trump berkata Omar patut meletak jawatan, manakala Naib Presiden Mike Pence pula berpandangan bahawa wanita itu perlu dipecat daripada jawatankuasa hal ehwal luar Dewan tersebut.

 

Sumber: The Guardian

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker