Sukan

Kisah Sang Singa Utara Yang Terpaksa Akur Dengan Keputusan

Selepas bekas penyerang skuad Singa Utara, Safee Sali meninggalkan pasukan bola sepak Perlis dan berkata bahawa akan ada beberapa pemain yang akan mengikut jejak langkahnya kerana kecewa dengan pengurusan yang gagal menyelesaikan tunggakan gaji mereka, bekas kapten Kelantan, Mohd Badhri Radzi atau Piya pula meninggalkan pasukan tersebut susulan masalah yang sama.

“Saya rasa mungkin ada yang akan meninggalkan pasukan ini kerana mereka juga mempunyai keluarga, tanggungan dan kehidupan sendiri.

“Mereka pun sudah berfikir panjang dan menunggu selama dua bulan. Sudah tentu sebarang keputusan yang diambil adalah demi keluarga mereka,” kata Safee Sali kepada BH.

Perancang tengah pasukan Perlis, Piya pula mendedahkan kepada BH Sukan bahawa kira-kira lapan pemain juga sebenarnya sudah meninggalkan Perlis untuk mencari pasukan baharu.

 

Kapten Perlis Curiga Dengan Kemampuan Kewangan Sejak Tujuh Bulan Tidak Dapat Gaji

Bagi Kapten Perlis Northern Lions II, Ezzrul Ikmanizar Abd Rahman, 30, setelah sekian lama curiga dengan kemampuan sumber kewangan Pasukan Bola Sepak Perlis (PFA) sejak awal musim lagi.

Menurutnya, sejak dia dan 17 orang rakan pasukan tidak dibayar tujuh bulan tunggakan gaji untuk musim lepas, mereka mulai syak sesuatu yang tidak kena.

“Akhirnya terbukti dan apa yang kami bimbang berlaku juga,” katanya dalam satu kenyataan yang dikirim melalui WhatsApp kepada wartawan UtusanOnline.

 

Gesa Laporan Polis Dan SPRM Ke Atas Presiden PFA

Ezzrul turut menggesa polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat latar belakang Presiden PFA, Datuk Ahmad Amizal Shaifit Ahmad Rafie.

Katanya, individu itu perlu bertanggungjawab sepenuhnya terhadap segala apa yang berlaku kepada PFA.

“Selain itu, Presiden (Ahmad Amizal Shaifit) juga telah tidak menandatangani kontrak kami (musim ini) walaupun pemain diarah tanda tangan,” katanya.

Ezzrul Ikmanizar adalah antara 11 orang pemain Northern Lions II yang mendedahkan nasib mereka yang terpaksa membuat kerja sambilan setelah tidak dibayar gaji tujuh bulan, pada musim lepas.

 

Presiden PFA Yaking Dengan Singa Utara Tetapi…

Sementara itu, Presiden Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA), Datuk Ahmad Amizal Shaifit Ahmad Rafie masih yakin mampu membawa Singa Utara bersaing dalam Liga Perdana meskipun beberapa pemain bintang termasuk sudah angkat kaki tetapi akhirnya Liga Bolasepak Malaysia (MFL) membatalkan wakil dari Utara itu dan keputusan itu berkuatkuasa serta merta.

Keputusan sebulat suara itu diambil oleh Ahli Lembaga Pengarah MFL selepas mendapati pasukan itu tidak memiliki jaminan kukuh dari segi kewangan bagi terus bertahan musim ini.

 

Keputusan MFL Sebulat Suara Untuk Menggugurkan Perlis

Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Kevin Ramalingam berkata, MFL sudah memberikan bantuan dan ruang secukupnya bagi Perlis mengatasi masalah kewangan untuk mengelak daripada berlaku kesan lebih buruk kepada pemain dan Liga M.

Bagaimanapun, Kevin berkata selepas meneliti secara terperinci dokumen kewangan yang diserahkan Persatuan Bolasepak Perlis (PFA), pihaknya mendapati sumber kewangan pasukan itu tidak mencukupi.

“Selepas mengambil kira segala aspek, Ahli Lembaga Pengarah sebulat suara membatalkan penyertaan Perlis pada Liga Perdana musim ini. Faktor utama keputusan pembatalan Perlis bermain Liga Perdana musim ini disebabkan kegagalan mereka mengatasi masalah kewangan serta tidak mempunyai perancangan kewangan yang menyakinkan untuk mereka terus bertahan.

 

Enam Pasukan Lain Turut Dikaji MFL

“Selain kes Perlis, MFL turut mengkaji enam lagi pasukan yang berdepan masalah tunggakan gaji tetapi buat masa ini kami mengumumkan dahulu keputusan membabitkan Perlis kerana ia adalah kes lebih berat dan mendapat perhatian ramai pihak. Ahli Lembaga Pengarah kini sedang menilai kes enam lagi pasukan itu dan akan mengumumkan keputusan dalam masa terdekat,” katanya.

Untuk rekod, skuad Perlis dinaikkan ke Liga Perdana bagi menggantikan Petaling Jaya City (dulu dikenali MIFA) yang ‘naik pangkat’ beraksi di Liga Super selepas penarikan diri Felcra FC.

 

Pemain Perlis Diberi Sehingga 20 Mac Untuk Mencari Pasukan Baharu

Pada masa sama, Ahli Lembaga Pengarah MFL turut bersetuju untuk melanjutkan tempoh pendaftaran membabitkan pemain Perlis sehingga 20 Mac ini.

“Kami prihatin dengan kemelut yang bakal dihadapi pemain Perlis. Justeru itu, Ahli Lembaga Pengarah MFL bersetuju untuk melanjutkan tempoh pendaftaran pemain-pemain Perlis selama 30 hari bermula hari ini, bagi memberikan ruang kepada mereka mencari pasukan baharu memandangkan tempoh pendaftaran pemain akan ditutup pada jam 11.59 malam ini (semalam),” katanya.

 

Bekas Pemain Perlis Menyokong Tindakan MFL

Bagi bekas pemain Perlis pula, mereka menganggap tindakan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) membatalkan penyertaan Singa Utara dalam Liga Malaysia (Liga M) sebagai tindakan yang tepat dan harus dijadikan pengajaran kepada pasukan lain.

 

Sebaliknya Penyokong Kecewa Dengan MFL

Penyokong pasukan Perlis pula kecewa dengan pengguguran Perlis daripada Liga Malaysia (Liga M) dan melepaskan kemarahan kepada MFL kerana didakwa gagal meneliti latar pengurusan serta kewangan pasukan itu sebelum menaikkan mereka ke Liga Perdana.

Peminat bola sepak seluruh Malaysia turut menyuarakan rasa simpati terhadap pemain serta barisan jurulatih Perlis, begitu juga penyokong Singa Utara yang sebelum ini kelihatan amat bersemangat untuk menyokong pasukan mereka pada musim baharu.

 

Tindakan Terhadap Perlis Bukti Ketegasan MFL – TMJ

Sementara itu, Pengerusi MFL, Tunku Ismail Sultan Ibrahim berkata, tindakan yang dikenakan terhadap Perlis adalah bukti ketegasan badan itu dalam mengatasi masalah gaji yang sering membelenggu pemain.

Tindakan keras seperti itu turut memberi isyarat kepada pasukan lain bahawa mereka tidak boleh mengambil mudah isu gaji atau boleh berdepan penyingkiran.

Menurut Tunku Ismail lagi, yang membuat keputusan tersebut adalah anggota liga iaitu semua pasukan bertanding.

“Peluang kepada mana-mana pasukan harus diberi. Tetapi apabila pasukan tidak ikut peraturan, tindakan akan diambil. Yang Liga Super pun masih banyak berutang,” katanya lagi.

 

TCFC Merayu MFL Untuk Memberi Mereka Peluang Menyertai Liga Perdana

Terkini bekas pemain Terengganu City FC (TCFC), Shafuan Adli Shaari merayu belas ihsan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) memberikan ‘talian hayat’ kedua kepada skuadnya untuk menyertai saingan Liga Perdana musim ini.

Shafuan yang mewakili rakan sepasukannya berkata, dia sudah berbincang dengan pihak pengurusan baharu skuad The Sharks itu sebaik mengetahui pasukan Perlis digugurkan daripada beraksi dalam saingan Liga Perdana musim ini berkuat kuasa serta merta semalam.

“Kami tetap sedia beraksi walaupun sudah berlalu tiga perlawanan, sekarang FAM dah gugurkan Perlis, harap menerima TCFC beraksi dalam Liga Perdana bagi menggantikan slot pasukan itu, tidak ada masalah buat kami, harap FAM dan MFL dengar dan menerima kami menyertai liga itu atas belas ihsan.

“Kami bersedia bertemu dengan pihak MFL dan FAM bagi perbincangan lebih lanjut berhubung perkara itu demi kelangsungan hidup dan sumber pendapatan kami sebagai pemain,” ujar Shafuan.

 

TCFC “Diharamkan” Oleh FAM Susulan Kedegilan Melunaskan Tunggakan Gaji Walaupun Menjadi Juara Piala FAM

Pada 19 November 2018, juara Piala FAM musim lalu itu terpaksa berputih mata untuk beraksi dalam kancah Liga Perdana musim ini selepas ‘diharamkan’ oleh MFL walaupun mendapat tiket automatik susulan kedegilan pasukan itu melunaskan tunggakan gaji pemain dan pegawainya.

Bagaimanapun bulan lalu, pengurusan baharu skuad TCFC berjanji sedia menjelaskan semua tunggakan gaji pemain dan jurulatih pasukan itu berjumlah lebih RM900,000 tetapi dengan syarat FAM dan MFL membenarkan pasukan itu beraksi dalam saingan Liga Perdana musim ini.

Namun, permintaan itu tidak dilayan FAM dan MFL sekali gus bukan saja menyebabkan pemain `gigit jari’ tidak dapat beraksi dalam saingan liga divisyen dua itu malah sehingga kini masih belum menerima tunggakan gaji mereka.

TCFC meraih kejuaraan Piala FAM selepas menundukkan Selangor United 2-0 pada final di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras, pada September tahun lalu.

 

Sumber Imej Terencana : wave125maroon.blogspot.com

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker