AntarabangsaIsu Semasa

“Jika Anda Melancarkan Sebarang Serangan, Pakistan Akan Membalasnya” – PM Pakistan Kepada India

Perdana Menteri Pakistan, Imran Khan menegaskan bahawa negaranya tidak mempunyai sebarang peranan dalam serangan bom berani mati di Kashmir yang mengorbankan lebih daripada 40 anggota tentera India.

Dalam pada itu, beliau turut memberi amaran akan “melancarkan serangan balas” sekiranya India menyerang Pakistan.

Difahamkan, India telah menuduh Pakistan “terlibat secara langsung” dalam serangan keganasan yang berlaku pada 14 Februari 2019, di mana Jaish-e-Mohammad, sebuah kumpulan bersenjata yang berpangkalan di Pakistan, mengaku menjadi dalang.

Kenyataan Khan yang turut merujuk kepada pilihan raya yang bakal berlangsung di India, dikeluarkan sehari selepas Perdana Menteri, Narendra Modi berkata bahawa waktu untuk mengadakan dialog bersama Pakistan sudah berlalu.

“Ini adalah tahun pilihan raya anda dan kami memahami bahawa ketika pilihan raya, anda akan lebih bersemangat untuk ‘memberi pengajaran’ kepada Pakistan.

“Jika anda (India)….melancarkan sebarang serangan….Pakistan akan membalasnya,” katanya.

Tambah Khan, beliau telah mendiamkan diri selama ini kerana tidak mahu mengalihkan fokus susulan lawatan Putera Mahkota Arab Saudi, Mohammed Bin Salman (MBS) ke Pakistan dan juga India.

“Kita tahu ia amat mudah untuk memulakan peperangan. Ia terletak di tangan manusia untuk memulakan peperangan; tetapi untuk mengakhiri peperangan tidak terletak di tangan kita,” tegas Khan.

Bagi membalas kenyataan bekas bintang kriket itu, Kementerian Luar India (MEA) menyifatkan Pakistan sebagai “pusat keganasan.”

“Ia adalah satu fakta yang popular bahawa Jaish-e-Mohammad dan ketuanya, Masood Azhar, berpangkalan di Pakistan. Ini adalah bukti yang cukup bagi Pakistan untuk mengambil tindakan (terhadap mereka),” kata jurucakap MEA, Raveesh Kumar.

Ujar Kumar, ia adalah satu perkara yang amat dikesali kerana Khan berpandangan bahawa tindak balas India terhadap serangan pengganas ditentukan oleh pilihan raya umum yang akan datang.

India dan Pakistan dilaporkan telah berperang sebanyak tiga kali disebabkan Kashmir dan kerap terlibat dalam pertempuran di sepanjang sempadan “Line Of Control,” walaupun sudah mempunyai perjanjian gencatan senjata.

Tegas India, rundingan bersama Pakistan akan bergantung kepada sekiranya Islamabad mengambil tindakan ke atas kumpulan pengganas yang beroperasi di sana atau tidak.

Walau bagaimanapun, Pakistan pula kekal dengan pendirian mereka bahawa Kashmir adalah isu utama yang menyebabkan ketegangan ini berlanjutan.

Sumber: Straits Times

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button